Menu

 

A+ A A-

PANDUAN MENGAGIHKAN ZAKAT SENDIRI

Saya bercadang untuk menyerahkan sendiri zakat harta saya kepada mereka yang berhak. Mohon ustaz berikan panduan untuk saya mengenal pasti orang yang benar-benar berhak menerima zakat?

JAWAPAN :

Persoalan ini biasanya berkaitan golongan fakir atau miskin. Bagi memastikan seseorang itu benar-benar tergolong dalam asnaf ini, maka tuan hendaklah perhatikan dua perkara iaitu:

  1. Dia tidak mempunyai sebarang bentuk harta.
  2. Dia tidak mempunyai jenis pekerjaan yang dapat memenuhi keperluan hariannya atau seisi keluarganya.

Orang yang mampu bekerja tetapi tidak mempunyai pekerjaan yang sesuai atau mencukupi bagi keperluannya berhak menerima zakat. Begitu juga mereka yang hanya mempunyai pendapatan cukup bagi dirinya sahaja.

Dalam hal ini al-Imam al-Nawawi berkata: “Adalah perlu bagi seorang imam ataupun pihak berwajib yang mengagihkan zakat supaya meneliti perihal asnaf yang benar-benar berhak menerima zakat, mengetahui bilangan mereka berserta kadar keperluan yang mencukupi bagi mereka agar dapat diagihkan serta merta supaya hak mereka dilunaskan secara pantas dan cepat.”

Justeru, sesiapa yang berhasrat untuk mengagihkan zakat sendiri perlu mengambil perhatian hadis berikut. Pada suatu hari ada dua orang lelaki datang meminta kepada Nabi s.a.w. bahagian mereka. Nabi pun memerhatikan keadaan mereka. Sebenarnya mereka ada keupayaan untuk bekerja tetapi tidak mempunyai sumber atau pekerjaan.

Justeru Nabi bersabda: “Jika kamu inginkan (zakat), maka aku akan berikan. Tetapi tidak ada bahagian zakat untuk orang yang kaya, begitu juga tiada peruntukan bagi mereka yang kuat lagi mampu untuk bekerja dan mempunyai pekerjaan.” (Riwayat Abu Daud)

Pengajarannya, sesiapa yang bercadang untuk mengagihkan zakat sendiri, dia hendaklah menyebut perihal kemampuan bekerja ini sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi. Tujuannya adalah untuk mengajar mereka yang jahil dan mengingatkan mereka yang lalai.

Jenis Pekerjaan

SOALAN : Boleh ustaz terangkan lebih lanjut tentang jenis pekerjaan?

JAWAPAN :

Sebarang jenis pekerjaan yang sesuai dengan keadaan diri seseorang individu dan sesuai dengan maruahnya secara adat kebiasaan masyarakat setempat.

Adapun jika pekerjaannya itu tidak sesuai secara kebiasaannya dengan keadaan dirinya, maka dia boleh dianggap sebagai seorang yang tidak mempunyai sumber pekerjaan. Justeru dia boleh menerima zakat sebagai asnaf fakir atau miskin sehinggalah beliau mempunyai pekerjaan yang sesuai.

Masih Belajar

SOALAN :Ada seseorang yang berhenti kerja demi menyambung pengajian. Kesannya, dia agak kesempitan hidup buat masa sekarang. Adakah dia boleh menerima zakat?

JAWAPAN :

Sesiapa yang mampu bekerja tetapi memilih untuk menuntut ilmu, maka kita perlu lihat kepada keadaannya dahulu.

Jika dia seorang yang mampu memperoleh ilmu dan diharapkan dapat memanfaatkan ilmunya kepada seluruh umat Islam dan dengan dia bekerja itu boleh membantutkan proses pengajiannya, maka dia berhak menerima zakat.

Namun sekiranya, dia seorang yang tiada upaya memiliki ilmu atau tidak mampu memberi manfaat kepada umat Islam dengan ilmunya, maka tidak boleh diberikan zakat kepadanya walaupun dia menetap di sekolah, atau di mana-mana institusi pengajian sekalipun.

 

Berharta tetapi Berhak

SOALAN : Ada seorang ibu tunggal bersama empat orang anaknya. Dia miskin dan hanya mampu bekerja di rumah kerana membesarkan anak-anak. Dalam masa yang sama dia memiliki sebuah rumah sewa peninggalan keluarga yang disewakan. Dengan duit sewa bulanan itulah dia boleh menampung hidup setakat cukup makan sahaja. Adakah dia berhak menerima zakat?

JAWAPAN :

Jika seseorang itu mempunyai sebuah premis yang disewakan, namun jumlah sewaan itu tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan asasinya mahupun seisi keluarga yang ditanggungnya, maka dia dianggap seorang yang fakir atau miskin.

Maka boleh mengagihkan zakat kepadanya sehingga dia mampu melengkapi keperluan asasinya dan keluarganya. Dia juga tidak boleh dipaksa untuk menjual premis tersebut demi menjadikannya seorang yang berkemampuan.

Hal ini samalah seperti seorang penuntut ilmu. Dia tidak dipaksa untuk menjual kitab-kitabnya untuk mendapatkan wang sara diri.

Kadar Patut Diberi

SOALAN : Berapakah kadar yang perlu diberikan kepada asnaf yang berhak ini?

JAWAPAN:

Saya rasa elok untuk tuan ambil panduan daripada fatwa berikut.  Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil. 4/2011yang bersidang pada 1 Zulkaedah 1432 H bersamaan 28 September2011 sebulat suara bersetuju memutuskan bahawa:

Ulama dalam kalangan Mazhab Syafi‘i dan Hanbali berpendapat bahawa wang zakat hendaklah diberikan kepada orang fakir dan miskin dengan kadar yang dapat menyempurnakan keperluannya iaitu kadar yang cukup untuk setahun.

Bagaimanapun, harus bagi pihak pemerintah melalui pentadbir zakat menetapkan tempoh tertentu ke atas penerima bantuan daripada asnaf zakat secara bijaksana berdasarkan keperluan dan maslahat mereka yang perlu diselesaikan kerana zakat itu sendiri bertujuan untuk menutup kekurangan dan menyelesaikan keperluan. Ini selaras dengan kaedah fiqah yang menyatakan bahawa tindakan yang dijalankan oleh pemerintah terhadap rakyat bergantung kepada maslahah.

Rasulullah bersabda yangbermaksud: “Maka dihalalkanbaginya meminta sehingga diaberkemampuan atau mencukupiuntuk hidup.” (Riwayat Muslim)

Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman 

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08


 

Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Islam Madinah, dan sedang menyambung Ijazah Sarjana (MA) Syariah di Universiti Malaya. Kini sebagai Eksekutif Zakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan. Juga sebagai panel slot Durrul Hikmah dan Bicara ad-Deen di radio IKIM.fm, di samping menjadi tetamu jemputan KL.fm, Selamat Pagi Malaysia, Islam Hadari (RTM1), Al-Kuliyyah (TV3) dan pengacara Bicara Mufti (RTM1). Beliau juga sebagai Jurubahasa Arab bagi Kerajaan Negeri Perak di Persidangan Negara-negara Islam Sedunia (OIC) 2003 dan berpengalaman sebagai mutawwif Haji dan Umrah sejak 1998.

Kembali ke atas