Menu

 

A+ A A-

MENGHADAPI KEGONCANGAN SAKARATUL MAUT

  • Ditulis oleh  Jaddal Atiff
  • Kategori Ibadah
  • Read 27305 times

Perkara yang pasti itu adalah dekat. Begitulah dengan kematian, suatu yang pasti. Justeru, ia adalah dekat. Tetapi malangnya, ramai manusia terlupa hakikat ini. Kematian yang dekat itu dirasakan masih jauh. Lalu hiduplah majority manusia dalam kelekaan dan kelalaian, seolah-olah mereka tidak akan mati.

Sedarkah kita bahawa setiap manusia telah “bertunang” dengan kematian? Jika bertunang dengan manusia, belum tentu berakhir dengan perkahwinan (ada yang putus tunang). Namun bertunang dengan kematian, “jodoh” kita pasti sampai. Setiap hari kita semakin dekat dengan detik kematian.

Walaupun kita tidak tahu bila tarikh, masa dan tempatnya, tapi yang pasti hari ini selangkah lagi kita mendekati detik yang telah ditentukan itu. Justeru, bila usia meningkat, umur bukan semakin panjang tetapi semakin pendek. Maka ucapan menyambut hari jadi seharusnya bukan “selamat panjang umur” tetapi “selamat pendek umur!”

 

Bayangkan Detik Kematian…

Ziarahilah jenazah untuk mengingatkan kita kepada kematian. Ketika jenazah saudara, sahabat atau kenalan kita terbujur kaku, cuba bayangkan itu adalah kita. Abu Dardak r.a. berkata, “Bila kamu terkenang kepada orang yang telah mati, maka anggaplah dirimu sudah seperti mereka!”

Akan tiba masanya kita sendiri akan memakai kain kafan yang putih sebagai ganti pakaian mahal dan cantik ketika hidup. Itulah “fesyen” pakaian untuk berpindah dari alam dunia ke alam barzakh. Bayangkan aroma kapur barus yang terserak di sekeliling jenazah. Itulah bau yang dapat menghilangkan bau hanyir mayat. Kenangkan, kita yang berwangi-wangian ketika hidup akan mati sebagai “bangkai” yang paling busuk.

Lihat semua ahli keluarga yang pasti kita tinggalkan... anak, isteri, saudara, sahabat, rakan dan taulan. Ada yang berdoa, ada yang membaca al-Quran. Ada pula yang berteleku, bersedih dan muram melihat jenazah kita. Sebentar lagi, semuanya akan pergi, dan kita kembara sendirian untuk menghadapi alam yang sangat asing bagi kita.

Itulah kebimbangan yang disuarakan oleh Amru Ibn Ash dengan katanya: “Ketika kamu semua telah mengebumikan aku, jangan segera kamu kembali. Berilah sedikit masa untuk aku membiasakan diri dengan alam yang baru dan asing itu.”

Bagaimana agak malam pertama kita di kubur? Ya, mungkin kita pernah menangisi kematian orang lain, namun menangisi kematian diri sendiri jauh lebih utama...

 

Kematian Bukan Satu Pengakhiran

Namun kematian bukan satu pengakhiran. Ia adalah satu permulaan pada satu kehidupan baru yang tidak akan mati-mati lagi. Kembara manusia yang meninggalkan dunia akan singgah sementara di alam barzakh – fasa “transit”, sebelum dibangkitkan menuju alam Mahsyar dan berakhir sama ada di syurga atau neraka. Mati adalah satu proses transisi – dari alam dunia menuju alam barzakh, sama seperti kelahiran – proses transisi dari alam roh ke alam dunia.

Mati hanyalah suatu proses bila jiwa (roh) meninggalkan jasad. Tapi roh itulah hakikat manusia. Kembara kita tidak akan berhenti akibat kehancuran jasad. Jasadnya pulang ke tempat asal (tanah), manakala rohnya kembali ke rahmatullah.

Firman Allah:

“Kami ini milik Allah, dan kepada-Nyalah kami akan dikembalikan.” (Surah al-Baqarah, 2:156)

Roh itu terus kekal sebaik sahaja diciptakan. Benar kata Umar Ibn Aziz: “Manusia diciptakan untuk selamanya!”

Marilah kita mulakan semula kehidupan ini dengan membayangkan pengakhirannya – Begin with the end in mind. Detik-detik akhir menjelang kematian dinamakan sakaratul maut. Sakarat itu ertinya “mabuk”. Pada saat ujian yang sangat hebat dan dahsyat akan berlaku hingga menyebabkan kita bagaikan mabuk. Kita akan lupa segala-gala yang berada di sekeliling. Apa yang diingatnya ialah nasib diri. Jika beriman, hanya kepada Allah tempat berharap. Tapi pada yang tidak beriman, gambaran celaka sudah tertera dalam fikiran dan bayangan mata.

 

BGENAM KEGONCANGAN KEMATIAN

Seseorang yang menghadapi mati akan berdepan dengan enam “kegoncangan” yang benar-benar menguji keimanannya. Kegoncangan itu ialah:

1. Mati Datang Tiba-tiba

Pastikah bila kita akan mati? Di mana dan bagaimana bentuk kematian itu?

Berapa ramai antara 300,000 korban Tsunami menyangka bahawa mereka akan mati pada tarikh 26 Disember 2004? Laut tempat mencari rezeki dan bersuka ria “mengamuk” dengan tiba-tiba tanpa dapat dikesan oleh sebarang peralatan teknologi.

Begitu juga yang terjadi dalam peristiwa 11, ribuan rakyat Amerika mati tertimbus oleh runtuhan bangunan akibat dilanggar oleh pesawat yang tidak dapat dijangka sama sekali.

Manakala secara individu pula, berapa ramai yang mati oleh kemalangan, pembunuhan dan kematian mengejut tanpa sebarang amaran awal. Syair Arab ada menukilkan:

Berapa ramai anak-anak muda yang sedang bermain pagi dan petang sedangkan kain-kain kafannya dah mula dikoyakkan orang tapi dia tak tahu?

Berapa ramai anak kecil yang diharapkan lahir menjadi orang yang hebat tetapi mati sejurus selepas dilahirkan?

Dan berapa ramai gadis yang dihias indah pada malam pengantinnya rupa-rupanya pada keesokan harinya orang datang untuk menguruskan jenazahnya.

Itulah hakikat kematian. Oleh sebab itu hubaya-hubayalah, jangan kita berada dalam suasana mungkar dan maksiat dibimbangi pada waktu itulah malaikat maut menjemput kita. Jangan tertipu dengan hasutan syaitan yang meniup alasan- alasan palsu:

“Ah, usia masih muda, bersuka-sukalah dulu.”

“Engkau ni sihat, diet, bersenam,

TIdak ada penyakit kronik.”

“Mati? Ya, tapi bukan sekarang.

Lambat lagi!” 

Lupakah kita kepada nasihat Rasulullah s.a.w. kepada Abdullah bin Umar:

“Di waktu pagi janganlah kau katakana kepada dirimu akan hidup hingga petang, dan setibanya waktu  petang jangan katakan kepada dirimu akan hidup sampai pagi. 

Ambillah kesempatan masa hidupmu untuk persiapan mati, dan masa sihatmu untuk persiapan waktu sakit. Kerana sesungguhnya kamu wahai Abdullah, belum tahu siapa akan dipanggil besok nanti.” (Riwayat Ibnu Hibban dari Abdullah bin Umar).

 

2. Mati itu Terlalu Sakit

Proses kelahiran bagi seorang ibu terasa sakit. Begitulah dengan kematian. Malah sakit hati lebih berganda daripada sakit melahirkan kerana ketika itu roh hendak berpisah dengan jasad (yang sebelumnya begitu akrab ikatannya). Sesekali ketika tangan kita terluka oleh pisau, pun sudah begitu terasa pedihnya apatah lagi ketika ajal dirangut... seperti ditetak 300 bilah pedang (begitu yang pernah

disifatkan oleh Rasulullah s.a.w.).

Rasulullah s.a.w. sendiri mengalami demam panas dua minggu menjelang detik kewafatannya. Pada saat–saat akhir itu, nabi Muhammad s.a.w. memasukkan tangan ke dalam bejana lalu diambil air dan disapukan ke mukanya serta dilurut sampai ke rambutnya lalu berdoa: “Ya Allah, bantulah aku dalam menghadapi ujian kematian ini, lunakkanlah aku di atas kematian ini wahai Tuhan.”

Doa Nabi tersebut terdengar oleh anaknya Fatimah. Fatimah menangis lalu berkata, “Wahai ayahandaku Rasulullah, masakan ayahanda seorang Rasul merasakan kesakitan mati.” Nabi memegang tangan Fatimah lalu bersabda: “Wahai Fatimah, ini sahaja kesakitan buat ayah, selepas ini ayah tidak akan merasakan lagi...”

 

Kematian Orang yang Taat

Itulah sakit mati yang dialami oleh kekasih Allah (Muhammad s.a.w) dan orang soleh. Allah gambarkan sendiri melalui firman- Nya: “Adapun bila yang meninggal dunia itu adalah orang yang  mendekatkan diri kepada Allah, maka kematian baginya adalah kelegaan, semerbak dan nikmat sekali.” (Surah al-Waqiah, 56:88- 89)

Mereka jugalah yang disebut Allah dalam firman-Nya:

“Sesungguhnya orang yang berkata, ‘Tuhan kami adalah Allah’ dan meluruskan jalan hidupnya, akan turun padanya malaikat (tatkala menghadapi maut) untuk menghiburkan agar mereka tidak takut dan sedih, bahkan bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan untukmu.” (Surah Fussilat, 41:30)

Nabi s.a.w. berkata kepada Barra’ Bin Azib yang bermaksud: “Wahai Barra’, orang yang baik itu, waktu malaikat mencabut nyawanya malaikat akan mencabutnya dengan lunak sekali seperti air yang jatuh dari atas mengalir ke bawah.”

Ya, lembut pada malaikat maut, tetapi akan tetap terasa gegarannya. Proses mencabut nyawa bermula apabila malaikat maut berada di bahagian kepala dan akan mencabut nyawa dari bahagian ubun-ubun, direntap lalu bergegar tubuh. Pada waktu itu dari bahagian tumit ke bawah sudah tidak bernyawa lagi.

Kemudian ditarik lagi dan ketika itu dari bahagian lutut ke bawah pula sudah tidak bernyawa. Begitulah seterusnya, sampai nyawa di kerongkong dan ketika itulah pintu taubat ditutup (mengikut sesetengah

pandangan ulama).

 

Kematian Orang yang Derhaka

Bagaimana pula kematian orang yang derhaka? Allah mengingatkan dengan firman-Nya: “Ingatlah bila roh sampai ke kerongkong. Lalu ditanyakan: ‘Siapakah yang dapat memberi penawar? Sedangkan dia yakin itulah tanda kematian. Dan kedahsyatan mati dirasakan bagai bertindih-tindih. Ketika itu kamu

dibawa menghadap Tuhanmu. Padahal dia tidak menerima baik ajaran Allah dan tidak pula melakukan solat.” (Surah al-Qiyamah 75: 26-31)

Ketika itu orang yang berdosa akan mengalami sakit yang amat sangat dirasakan seperti berbelitlah betis dengan betis. Berdasarkan pengalaman, kesakitan itu boleh dikesan dengan cara memasukkan tangan ke bawah pinggang orang yang sedang sakarat. Sekiranya jangan kita tidak boleh menyusup di bawahnya, maka itu petanda dia sedang menanggung rasa sakit yang amat sangat. Pinggangnya rapat ke lantai.

Nabi Muhammad s.a.w. membayangkan malaikat mencabut nyawa orang yang derhaka umpama satu guni yang penuh dengan gandum diletakkan satu cangkuk yang besar lalu direntap cangkuk itu sampai ke bawah lalu terburailah isinya. Begitu kasar dan keras kerja malaikat maut terhadap yang menderhakai Allah.

Nabi Daud a.s. pula menggambarkan bahawa orang yang hendak mati itu umpama seekor kambing yang sedang makan di padang ragut, tiba-tiba datang orang lalu melapah kulit kambing itu hidup-hidup. Bayangkanlah betapa sakitnya kambing itu, maka begitu sakitnya orang yang derhaka ketika dicabut nyawanya.LA

 

3. Melihat Wajah Malaikat Maut

Malaikat Izrail akan datang dengan wajah yang berbeza. Jika orang soleh, dia datang dengan wajah yang lembut dan indah, dengan bau yang begitu harum. Ketika itu orang yang hampir mati itu akan mendapat ketenangan dan “bantuan” untuk melafazkan kalimah syahadah.

Namun, bagi orang fasik, malaikat maut akan datang dengan wajah yang buruk, bengis dan berbau busuk. Keadaan ini akan menambah derita selain derita sakarat maut yang sedia dihadapi. Waktu itu bila ditalkinkan menyebut “La ilaha illallah”, dia sibuk dengan kesakitan dan kengeriannya hingga tidak sempat memberi respons.

Imam Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin memaparkan bahawa Nabi Ibrahim a.s. pernah bertanya kepada malaikat maut, “Bolehkah kau memperlihatkan wajahmu ketika mencabut nyawa orang yang derhaka?” Jawab malaikat: “Kau tidak akan kuat untuk memandangnya!”

Nabi Ibrahim berkeras: “Daku sanggup!” Ujar malaikat maut:“Kalau begitu silakan kamu membelakangiku sebentar.” Nabi Ibrahim pun berpaling ke belakang. Dan ketika beliau menghadap kembali, tampaklah bentuk tubuh yang hitam menghantu, berambut tegak, berbau busuk dan berselubung hitam, manakala mulut dan lubang hidungnya menyembur nyalaan api dan asap.

Melihat keadaan itu Nabi Ibrahim jatuh pengsan. Dan ketika dia sedar semula, malaikat maut telah kembali kepada bentuk asalnya. Nabi Ibrahim berkata: “Hai saudaraku malaikat maut. Kalau pun pada saat matinya seorang berdosa hanya dihukum dengan melihat wajahmu, itupun sudah lebih daripada cukup!”

 

HI4. Mendengar Pujian atau Kutukan Malaikat

Orang yang hendak mati akan dapat mendengar pujian atau kutukan daripada malaikat di sisinya (Kiraman dan Katibin). Selama ini malaikat yang duduk di sebelah kiri dan kanan itulah yang mencatat amalan baik dan jahat. Jika amalan-amalan yang dilakukan oleh seseorang itu baik, dia akan dipuji dengan kata-kata yang sangat menghiburkan menjelang kematiannya.

Sebaliknya, jika amalannya buruk, orang yang fasik itu akan dikutuk dengan kata-kata yang menyakitkan. Bayangkan, betapa seksanya menghadapi saat yang sangat sakit ditambah pula oleh kutukan dan nista daripada malaikat.

 

5. Dapat melihat tempat tinggal di akhirat

Menjelang kematiannya, seseorang itu akan dapat melihat tempat tinggalnya di akhirat. Firman Allah: “Akan diangkat hijab   yang menutup dan kamu akan melihat dengan pandangan yang tajam.” (Surah Qaf, 50:22)

Orang yang soleh akan nampak syurga tempat mereka akan ditempatkan, manakala si fasik akan dapat melihat neraka tempat mereka bakal dihumbankan. Justeru, sesetengah ulama berkata orang yang Allah telah tunjukkan neraka, mata hitamnya akan terbalik ke belakang. Neraka itu sangat dahsyat, melihatnya sahaja sudah cukup menyeksakan! Nauzubillah.

Sehubungan dengan itu, Imam Ghazali telah memuatkan satu lagi hadis dalam Ihya Ulumuddin: “Setiap seorang daripada kamu tidak akan meninggal dunia, sebelum dia tahu ke manakah arah kembalinya dan sebelum diperlihatkan di manakah yang bakal di dudukinya, di syurga atau neraka!”

 

6. Menghadapi Godaan Syaitan

Ujian yang paling dahsyat untuk orang yang hendak mati ialah datangnya godaan syaitan yang paling hebat. Syaitan yang datang itu pula bertahap-tahap. Lebih kuat iman seseorang, maka lebih tinggi “pangkat” syaitan yang datang. Pada detik itu, syaitan tidak lagi menggoda untuk melakukan maksiat, tetapi mereka datang untuk menukar akidah. Mereka datang berbondong-bondong. Lepas satu kumpulan, datang lagi satu kumpulan. Namun misinya tetap sama menukar akidah.

Syaitan datang dengan membawa gambaran harta, tanah, rumah, kereta dan lain-lain milik kita yang sangat kita sayangi. Hingga dengan itu berat sungguh rasanya untuk berpisah. Juga ia mengambarkan orang yang paling dicintai, terasa begitu sedih untuk meninggalkan mereka.

Selain itu didatangkan juga orang yang paling dibenci – datang menjelma, mencemikkan muka, mengutuk, mengherdik dan mengejek. Kita sangat terganggu dan benci dengan kehadirannya di saat-saat kritikal seperti itu. Rasa benci itu juga satu seksaan.

Orang yang hampir mati berasa sangat dahaga. Syaitan memanipulasi keadaan itu dengan menyamar sebagai ibu atau guru atau siapa sahaja yang sangat kita sayangi atau percayai. Ibu datang dengan membawa air tetapi jika ingin meminumnya, “ibu” memujuk kita agar menukar akidah. “Ibu” juga memberi kekeliruan bahawa agama yang benar ialah agama Nasrani atau Yahudi. Maka ketika itu, sekiranya iman si mati itu rapuh, besar kemungkinan akan terpengaruh.

Ketika sanak saudara mentalkinkan kalimah syahadah, syaitan pula mengajar sebaliknya. Ini bukan sahaja berlaku kepada orang biasa, malah ulama-ulama besar juga tidak terkecuali menghadapinya.

Ibnu Arabi, seorang ulama tasawuf dan ahli tafsir, waktu sedang sakaratul maut, orang yang datang menziarahinya semuanya bertaraf ulama. Bila anaknya mentalkinkan, “La ilaha illallah”, beliau sebaliknya membalas, “Tidak... tidak... tidak!”

Kejadian itu sangat mengejutkan. Mengapa Imam Ibn Arabi jadi begitu? Setelah agak lega sedikit, dia meminta air, lalu dihulurkan oleh anaknya. Anaknya bertanya, “Mengapa bapa menafikan kalimah syahadah?” Imam besar itu berkata, “Oh tidak anakku, aku tidak mendengarnya melainkan suara syaitan

yang mengajak aku mengikut agama Nasrani dan Yahudi!”

Demikian, enam kegoncangan kematian yang akan menentukan satu antara dua jenis kematian; mati dalam husnul khatimah (kematian yang baik) atau mati dalam suul khatimah (kematian yang buruk).

Mengenai ini, Rasulullah s.a.w. menjelaskan: “Telitilah orang yang menjelang mati itu, mengenai tiga keadaan. Bila keningnya telah berpeluh dan matanya berair serta bibirnya mengering, itu petanda turunnya rahmat Allah kepada dirinya. Lalu apabila dia tersendat-sendat bagaikan orang tercekik, mukanya merah padam dan mulutnya berbuih, itu petanda azab Allah turun ke atasnya.”

Ironinya, ramai orang yang bersiap-siap untuk menyambut kelahiran – kain lampin, baju bayi dan segalanya. Tetapi berapa keratkah yang bersiap-siap untuk menghadapi kematian? Apakah sudah dipersiapkan kain kafan, keranda dan sebagainya? Tidak, bukan itu... Yang lebih penting sudahkah disiapkan bekalannya?

Firman Allah: “Berbekallah, dan sebaik-baik bekalan ialah takwa.” (Surah al-Baqarah, 2:197)

Ingatlah bahawa cara kita mati (sama ada kematian yang baik atau atau sebaliknya) akan menentukan nasib kita di alam barzakh. Nasib di alam barzakh akan menentukan nasib di padang mahsyar. Nasib di mahsyar akan menentukan sama ada ke syurga atau ke neraka.

Jadi, first thing first – yang utama dari yang utama, tentukan agar cara mati kita baik (yakni dalam husnul khatimah), yakni dengan menentukan cara hidup yang baik. Imam Ghazali engesahkan dengan katanya, “Cara mati seseorang ditentukan oleh cara hidupnya!”

Manakala cara hidup ditentukan oleh tujuan hidup kita! Maka tentukanlah tujuan hidup kita dengan bertanya pada diri; untuk apa aku mati? Benarlah seperti yang sering diungkapkan: “Orang yang tidak pasti untuk apa mati, tidak layak untuk hidup!”

Jaddal Atiff
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.8


Kembali ke atas