Menu

 

A+ A A-

CUBAAN MENGISLAMKAN EVOLUSI TEMUI JALAN BUNTU

TEORI Evolusi, Bukan Sains

Selama lebih 150 tahun, masyarakat “dipaksa” untuk percaya bahawa teori evolusi yang kemukakan oleh Charles Robert Darwin, seorang ahli naturalis amatur, ialah fakta yang dibuktikan oleh sains. Selama itu juga, setiap percanggahan dan penentangan terhadap teori ini dianggap sebagai penentangan terhadap sains, lebih-lebih lagi sekiranya percanggahan ini datangnya daripada dasar agama.

Hakikatnya, fahaman Darwinisme ini bukan sebuah teori sains tetapi sebuah doktrin agama penyembah berhala purba yang dianggarkan bermula 50,000 tahun dahulu. Ini dapat dilihat dalam budaya penyembahan berhala zaman Mesopotamia yang percaya kepada kuasa alam semesta dan juga kuasa “evolusi.” Menurut epik enuma-elish, yang berasal daripada kaum Sumeri, telah berlaku banjir besar yang “melahirkan” tuhan Lahmu dan Lahamu.

Mengikut kepercayaan ini lagi, selepas menjadikan diri sendiri, tuhan-tuhan ini kemudian menjadikan alam semesta ini dengan segala isinya. Dengan lain perkataan, mereka percaya hidupan, termasuk manusia, dijadikan daripada benda mati yang berevolusi dan berkembang! Konsep sama juga dipegang oleh teori evolusi yang yakin “hidupan pertama berasal daripada benda mati yang berkumpul secara kebetulan.” Menakjubkan bagaimana kepercayaan kuno yang tidak berlandaskan sebarang asas sains ini, boleh dianuti oleh masyarakat moden berteknologi canggih.

Al-Quran Tidak Pernah Menerima Evolusi Malangnya apabila terdapat ilmuwan Islam sendiri yang terperdaya dengan “sumpahan” evolusi ini sehingga cuba mengIslam”kan teori ini. Pelbagai hadis dan ayat al-Quran cuba digunakan (diputarbelitkan) untuk membenarkan teori ini, sehinggakan ada yang mendakwa Nabi Adam berasal daripada beruk! Antara penyelewengan ke atas kalam Allah adalah seperti berikut:

1. Firman Allah s.w.t., bermaksud:

“Padahal sesungguhnya Ia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat.” (Surah Nuh 71: 14)

Ayat di atas sering digunakan untuk membuktikan kebenaran teori evolusi bahawa manusia memang dijadikan melalui proses evolusi. Muhammed Hamdi Yazir mentafsir ayat ini sebagai “peringkat-peringkat evolusi.” Ini bertepatan dengan dakwaan manusia berasal daripada beruk yang mengalami proses evolusi. Tidak dapat dinafikan, ulasan dangkal yang disokong dengan ayat al-Quran ini boleh menggoncang aqidah sesiapa sahaja yang tidak mendalami ilmu tafsir dan sains.

Maksud sebenar ayat di atas ialah sepertimana yang dijelaskan oleh Imam al-Tabari sebagai: “Dia menjadikan kamu mulanya dalam bentuk sperma, kemudian Dia menjadikan kamu sebagai satu gumpalan darah, kemudian seketul daging.” Tafsir ini, yang dipegang oleh kebanyakan ahli tafsir, adalah selaras dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. Lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.” (Surah al-Mu’minun 23:14)

teori 1

2. Firman Allah lagi yang bermaksud:

“Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang ia (masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut?” (Surah al-Insan 76: 1)

Golongan umat Islam yang keliru juga mentafsirkan ayat di atas secara lahiriah dengan beranggapan ayat ini membuktikan “manusia sebenarnya berasal daripada suatu benda lain yang bukan manusia.” Ulasan ini sama dengan prinsip evolusi bahawa semua benda hidup berasal dari atom-atom mati yang berkumpul untuk membentuk sel yang pertama. Tafsiran ini sangat menyimpang daripada makna sebenar ayat ini.

Menurut Omer Nasuhi Bilmen, ayat ini menyatakan pada mulanya manusia ini tidak ada, tetapi Allah menjadikannya daripada setitis air dan membentuknya menjadi seorang manusia. Ketika dalam bentuk setitis air, ia belum disebut sebagai manusia, sehinggalah dia berubah sedikit demi sedikit menjadi manusia yang lengkap sempurna.

Iman al-Tabari pula menjelaskan bahawa ayat ini menceritakan tentang asal kejadian manusia pertama, Adam, daripada tanah yang disebut sebagai “suatu benda yang tidak disebut-sebut.” Oleh itu, tidak wajar untuk mengaitkan ayat di atas dengan proses evolusi.

3. Firman Allah s.w.t.:

“sesungguhnya Kami aturkan cara mencipta manusia bermulanya daripada air yang bercampur, serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.” (Surah al-Insan 76: 2)

“Dan tidakkah orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara kedua-duanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?” (Surah al-Anbiya 21: 30)

Selain dua ayat di atas, terdapat beberapa ayat lain yang menjelaskan bahawa manusia ataupun semua hidupan berasal daripada air. Kesempatan ini digunakan oleh penyokong evolusi untuk mengaitkannya dengan teori evolusi yang mendakwa bahawa semua hidupan yang ada kini terbentuk secara berperingkat-peringkat daripada satu sel tunggal yang berkembang secara kebetulan di dalam air.

Bagaimanapun, majoriti ahli tafsir mengulas perkataan “air yang bercampur” ini sebagai merujuk kepada air mani lelakidan perempuan yang bercantum untuk membentuk manusia. Omer Nasuhi Bilmen misalnya, menjelaskan ayat ini sebagai percampuran air mani lelaki dan perempuan (nutfah) yang membentuk ‘alaqah (darah beku), mudghah (seketul daging) dan kemudiannya menjadi seorang manusia.

Fakta ini dijelaskan dengan terperinci di dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkat kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu daripada tanah, kemudian daripada setitik air benih, kemudian daripada sebuku darah beku, kemudian daripada seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami).”

“Dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.” (Surah al- Hajj 22: 5)

teori 2

4. Firman Allah s.w.t.:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan menyucikan-Mu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah 2: 30)

Antara kesilapan paling besar mereka yang beriman dengan Allah tetapi percaya kepada teori evolusi yang menolak kewujudan Tuhan, adalah menyatakan bahawa Nabi Adam a.s. bukan manusia pertama. Ayat di atas disalahtafsirkan untuk menyelaraskannya dengan senario evolusi. Justeru, mereka mentafsirkan perkataan ja’ala (menjadikan) sebagai makna melantik. Oleh itu, menurut mereka, berdasarkan ayat ini Allah s.w.t. melantik Nabi Adam a.s. sebagai khalifah yang pertama dalam kalangan manusia, dan bukannya sebagai manusia pertama.

Bagaimanapun, penggunaan perkataan ja’ala di dalam ayat-ayat lain menunjukkan bahawa ia membawa maksud “menjadikan” atau “menciptakan.” Antaranya: “Ia menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam), kemudian Ia menjadikan (ja’ala) daripadanya —isterinya (Hawa); dan Ia mengadakan untuk kamu binatang-binatang ternak delapan ekor: (empat) pasangan (jantan dan betina).” (Surah al-Zumar 39: 6) “Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah yang menciptakan (ja’ala) kamu (daripada tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.” (Surah al-Mulk 67:23). ¤

 

         Rohidzir Rais

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.2

 


 

Rohidzir Rais

Lepasan Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang Syariah Islamiyyah. Kini berkhidmat sebagai editor dan penulis sepenuh masa di Telaga Biru Sdn. Bhd. Pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej al-Azhar, Pulau Pinang. Aktif dan berpengalaman mengendalikan kursus-kursus fardu ain, al-Quran dan bahasa Arab di seluruh Malaysia. Telah berjaya menulis dan menterjemah 30 buah buku dalam pelbagai bidang. Layari blog beliau di www.al-zuhaily.blogspot.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

IMBK1002

  IMBK1002

Kembali ke atas