Menu

 

A+ A A-

KEAJAIBAN AL-QURAN TENTANG SAINS

ADAKAH benar bahawa al-Quran bukanlah satu kitab yang hanya menceritakan tentang hukum-hakam agama, tetapi ia juga menceritakan tentang alam semesta dan kehidupan manusia?

Al-Quran diturunkan kepada kita untuk dijadikan petunjuk supaya kita mendapat penjelasan tentang setiap suatu kesulitan sepertimana firman Allah s.w.t. dalam surah al-Nahl, ayat 89 yang bermaksud: “Dan Kami turunkan kepadamu al-Quran bagi menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang Islam.” Al-Quran bukan hanya kitab yang menceritakan tentang hukum-hakam agama, tetapi ia juga menceritakan  tentang sains.

Sains adalah penemuan berdasarkan kajian-kajian yang dilakukan oleh manusia. Secara amnya, penemuan- penemuan yang sahih tentang kejadian alam semesta ini tidak akan sekali-kali bercanggah dengan apa yang terkandung dalam al-Quran. Hal ini disebabkan kedua-duanya diciptakan oleh Allah s.w.t. Oleh itu, kedua-dunya saling berhubung kait.

“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?”

Dr. Maurice Bucaille telah mengarang sebuah buku yang bertajuk Le Bible, le Coran et la Science. Dalam buku itu, beliau membandingkan ayat-ayat tentang sains dalam Bible dan dalam al-Quran. Beliau mendapati ayat sains dalam al-Quran tidak bercanggah langsung dengan kajian serta penemuan sains.

keajaiban-alquran-2

Ramai saintis yang mengakui kebenaran al-Quran, antaranya Profesor E.Marshall Johnson. Beliau berkata: “Al-Quran menerangkan bukan sahaja tentang pembangunan bentuk luaran, tetapi juga menekankan peringkat dalaman, tahap perkembangan embrio, penciptaan dan pembangunan, menekankan peristiwa-peristiwa besar yang diiktiraf oleh sains kontemporari.” Di sini, jelaslah bahawa al-Quran dan sains saling berhubung. Penemuan-penemuan sains yang sahih akan menampakkan lagi kebenaran al-Quran.

Kejadian awan dan hujan mengikut sains adalah apabila dalam udara terdapat lebih banyak wap air kerana air lebih cepat tersejat. Udara panas yang sarat dengan wap air ini akan naik tinggi sehingga tiba di satu lapisan dengan suhu yang lebih rendah, wap-wap air ini akan mencair dan terbentuklah awan, dan awan adalah molekul-molekul air yang banyak.

Apabila keadaan atmosfera menjadi lembap, udara dan wap air akan menjadi semakin tepu. Apabila awan telah terbentuk, titik-titik air dalam awan akan menjadi semakin besar dan awan itu akan menjadi semakin berat, dan perlahan-lahan daya tarikan graviti bumi akan menariknya ke bawah sehingga sampai di satu peringkat, titik-titik itu akan terus jatuh ke bawah dan turunlah hujan. Bolehkah kejadian ini dibuktikan di dalam al-Quran?

keajaiban-alquran-3

Allah s.w.t. telah berfirman dalam surah al-A‘raf, ayat ke-57 yang bermaksud: “Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakannya ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya).”

Allah s.w.t. juga berfirman dalam surah al-Hijr, ayat 22 yang bermaksud: “Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih, maka dengan itu, Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya. Bukan kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya.”

Di sini, Allah s.w.t. menjelaskan tentang ayat: “Kami hantarkan angin sebagai pembawa air…”. Sains telah mengesahkan bahawa terdapat perkara saintifik yang disebut dalam ayat di atas seperti angin membawa zarah air ke dalam atmosfera. Ini terbukti bahawa angin bukan sahaja membawa air yang tersejat dari bumi, tetapi juga membawa habuk yang terkumpul di dalamnya kerana sudah menjadi lumrah alam, habuk akan sentiasa berkumpul di mana ada tiupan angin.

Awan pula terbentuk daripada wap air yang terkondensasi di sekeliling habuk di udara. Titisan-titisan air dalam awan yang sangat kecil berdiameter antara 0.01-0.02 mm menyebabkan awan tergantung di udara, dan tersebar ke seluruh langit. Oleh sebab itu, langit dipenuhi dengan awan. Zarah air yang mengelilingi habuk di udara menebal dan membentuk titisan hujan. Titisan yang menjadi lebih berat daripada awan akan jatuh ke bumi sebagai hujan.

Ahli meteorologi hanya menemui tentang pembentukan awan, bentuk awan dan fungsinya dengan menggunakan alatan moden seperti kapal terbang, satelit, komputer, belon kaji cuaca, dan lain-lain peralatan lagi. Padahal, Allah s.w.t. telah menyatakannya dalam al-Quran sejak dahulu lagi. Ini menunjukkan bahawa al-Quran adalah sebuah kitab yang mengandungi semua jenis ilmu. Gambar rajah di bawah menunjukkan tentang kejadian awan dan hujan.

keajaiban-alquran-4

Bagaimana tentang awan kumulonimbus? Adakah al-quran menerangkan tentangnya juga? Ya. Ahli meteorologi mendapati bahawa awan kumulonimbus yang membawa hujan batu mencapai ketinggian 25,000 hingga 30,000 kaki iaitu 4.7 hingga 5.7 batu seperti gunung-ganang.

Allah berfirman yang bermaksud: “…Dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang (awan) yang ada padanya...” (Surah al-Nur 24: 43)

“Gunung-ganang” yang  dinyatakan oleh Allah s.w.t. dalam ayat di atas adalah satu bentuk awan yang besar yang digelarkan oleh ahli sains sebagai awan kumulonimbus.

Kumulonimbus adalah sejenis kumpulan awan yang berlapis-lapis dan tinggi serta tebal sepertimana firman Allah S.W.T yang bermaksud: “... kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis..” (Surah al-Nur 24: 43)

Pembentukan awan ini adalah hasil daripada ketidakstabilan atmosfera. Awan ini boleh membentuk dengan sendiri, dalam kelompok atau di sepanjang front sejuk di garisan squall (badai). Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya...” (Surah al-Nur 24: 43) Ayat Allah s.w.t. di atas ini menerangkan tentang peringkat pembentukan awan kumulonimbus.

Peringkat pertama pembentukan awan kumulonimbus adalah apabila angin menolak awan-awan kecil ke kawasan awan-awan ini bertumpu. Kemudian pada peringkat kedua, awan-awan kecil ini akan bergabung dan membentuk awan yang lebih besar. Peringkat ketiga ialah penimbunan awan-awan kecil.

Penggabungan awan-awan kecil menyebabkan updrafts dalam awan yang besar itu bertambah. Updrafts yang berada di tengah-tengah awan lebih kuat daripada updrafts yang berada di tepi awan. Updrafts ini menyebabkan awan membesar secara menegak. Pembesaran menegak ini menyebabkan fizikal awan menganjal ke bahagian lebih sejuk dalam atmosfera, dan titisan air dan air batu terbentuk dan mulai membesar. Apabila titisan-titisan air dan air batu ini menjadi sangat berat untuk updrafts membawanya, ia mulai jatuh dari awan ini sebagai hujan dan hujan batu.

Peringkat kejadian awan ini telah Allah s.w.t. nyatakan dalam surah al-Nur, ayat 43 secara lengkapnya: “Tidakkah engkau melihat bahawa Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya. Dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang (awan) yang ada padanya; lalu Ia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan menjauhkannya daripada sesiapa yang dikehendakiNya. Sinaran kilat yang terpancar dari awan yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan menghilangkan pandangan.”

Ustaz Fauzi bin Abdul Hamid
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 1


Ustaz Fauzi bin Abdul Hamid

Lulusan B.A dalam Usuluddin dan M.A dalam Ulum Hadis di Universiti Faisalabad, Pakistan. Kini bertugas sebagai editor syariah di jabatan penerbitan Telaga Biru Sdn.Bhd. Aktif dalam berdakwah di masjid dan surau. Antara guru beliau Syeikh Tariq Jamil iaitu ulama besar Pakistan dan Syeikh Ubaidillah (mufti). 

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas