Menu

 

A+ A A-

KAUM NABI SYUIB – KEHANCURAN PENDUDUK MADYAN

PENDUDUK Madyan yang berbangsa Arab tinggal di sebuah daerah bernama Ma’an di pinggir negeri Syam. Mereka suatu kaum yang menyembah Aikah iaitu sebidang padang pasir yang ditumbuhi beberapa pohon dan tanam-tanaman. Mereka juga suatu kaum yang tidak mengenali Tuhan Yang Maha Esa.

Cara hidup mereka penuh dengan kemungkaran dan kemaksiatan, tipu-menipu dalam pergaulan merupakan perbuatan dan perilaku yang lumrah dan rutin. Pengkhianatan dalam perdagangan seperti pemalsuan barang, pengurangan dalam sukatan dan timbangan menjadi ciri yang sebati dengan mereka. Para pedagang dan petani kecil sering menjadi mangsa para pedagang besar dan kapitalis. Akhirnya yang kaya semakin bertambah kaya, yang lemah semakin tertindas dan susah hidupnya. Kehidupan mereka sudah sangat jauh daripada ajaran agama dan ajaran nabi-nabi sebelum Nabi Syuaib a.s. Berdasarkan kitab Injil, Nabi Syuaib disebut Jethro.

ALQURAN

Allah s.w.t. merakam dakwah Nabi Syuaib a.s. dalam alQuran dengan firmanNya, “Dan kepada penduduk Madyan, Kami utus saudara mereka Nabi Syuaib a.s. Ia berseru:

ALQURAN2

‘Wahai kaumku, sembahlah Allah! Tidak ada Tuhan yang lain untukmu selain daripada Dia. Dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan. Sesungguhnya aku melihat kamu dalam keadaan mewah. Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa azab pada hari yang penuh kesengsaraan (hari kiamat).’ Dan Nabi Syuaib berseru: ‘Wahai kaumku! Cukupkanlah sukatan dan timbangan dengan adil. Dan janganlah kamu mengurangi hak-hak manusia. Dan janganlah kamu sewenang-wenangnya berbuat kerosakan di muka bumi. Amal soleh kerana Allah (tidak mengurangi sukatan dan timbangan) lebih baik bagimu sekiranya kamu orang yang beriman. Dan aku bukanlah penjagamu (yang memaksa kamu beriman).’” (Surah Hud 11: 84- 86)

ALQURAN3

Nabi Syuib a.s. terus menyeru: “Wahai kaumku! Janganlah permusuhan kamu terhadapku menyebabkan kamu ditimpa azab sebagaimana yang telah menimpa kaum Nabi Nuh atau kaum Nabi Hud atau Kaum Nabi Salleh. Dan (peristiwa) kaum Nabi Luth tidak jauh dari (ingatan) kamu.” (Surah Hud 11: 89)

Sebenarnya Nabi Syuaib a.s. ialah seorang daripada keluarga kaum mereka sendiri, sedarah sedaging dengan mereka. Tetapi seruan Nabi Syuaib diperolok-olokkan oleh kaumnya. Ejekkan kaumnya itu dirakamkan oleh Allah s.w.t. dalam al-Quran:

ALQURAN4

Mereka berkata, ‘Wahai Syuaib, kami tidak mengerti kebanyakan apa yang kamu katakan. Kami memandangmu sebagai seorang yang lemah di antara kami. Kalau tidaklah kerana keluargamu, nescaya kami melemparmu. Dan kamu bukanlah seorang yang dipandang mulia di sisi kami.”

Nabi Syuaib menjawab, “Wahai kaumku! Apakah keluargaku lebih kamu hormati daripada Allah? Dan kamu tidak mengendahkannya. Sesungguhnya Tuhanku mengetahui dengan sempurna apa yang kamu kerjakan.” (Surah Hud 11: 91-92)

Begitu juga firmanNya lagi:ALQURAN5

Pembesar-pembesar daripada kaum Syuaib dengan sombong berkata, “Sesungguhnya kami akan mengusirmu hai Syuaib, begitu juga orang-orang yang beriman bersamamu dari kota kami, kecuali kamu kembali kepada agama kami.” (Surah al-A’raf 7: 88)

Ejekan mereka dihadapi oleh Syuaib dengan penuh kesabaran. Baginda sama sekali tidak membalas kata-kata kasar mereka. Bahkan baginda semakin bersikap lemah lembut dalam dakwahnya agar terkesan pada hati mereka untuk mereka berfikir dan merenungkan nasihat itu.

Akhirnya Nabi Syuaib cuma berjaya menyedarkan sebahagian kecil daripada kaumnya, manakala yang lain terus tertutup hati mereka daripada cahaya iman dan tauhid. Mereka terus-menerus berkeras kepala mempertahankan tradisi, adat dan agama warisan nenek moyang. Itulah alasan dan helah mereka untuk menolak dakwah Nabi Syuaib a.s.

Penduduk Madyan akhirnya mula bosan dan jemu apabila Syuaib tidak henti-henti berdakwah pada setiap kali kesempatan dan di mana sahaja ia menemui orang berkumpul. Kaumnya mengancam untuk mengusir Syuaib dan pengikutnya jika beliau tidak menghentikan dakwahnya. Baginda dituduh sebagai ahli sihir, apabila kaumnya tidak lagi terdaya menghadapi kenyataan dakwah Nabi Syuaib yang nyata kebenarannya.

Hati mereka telah tertutup rapat daripada dimasuki sinar iman daripada wahyu yang dibawanya. Mereka tetap memilih untuk ingkar dan menentangnya, sehingga kesesatan menjadi cara hidup mereka. Akhirnya Nabi Syuaib pun bermohon kepada Allah agar menurunkan peringatan kepada kaum Madyan, lantaran sikap mereka menentang kebenaran dan mengingkari nabi utusan Allah.

Allah Yang Maha Berkuasa mendengar permohonan Syuaib a.s. Sebagai petanda awal, diturunkan hawa yang sangat panas sehingga mengeringkan kerongkong dan dahaga yang tidak dapat dihilangkan dengan air. Hawa panas itu turut membakar kulit walaupun telah berteduh di bawah atap rumah atau pohon-pohon.

Dalam keadaan mereka kebingungan dan panik berlari-lari mencari perlindungan, tiba-tiba terlihat di atas kepala mereka gumpalan awan hitam yang tebal, lalu berlarilah mereka ingin berteduh di bawahnya. Namun setelah mereka bersesak-sesak berada di bawah awan hitam itu, tiba-tiba jatuh percikkan api daripada awan hitam itu diiringi oleh suara petir dan gemuruh yang dahsyat. Sementara itu bumi di bawah kaki mereka turut bergoyang dengan kuat, menjadikan mereka saling berjatuhan, bertimbun di atas satu sama yang lain. Akhirnya dengan serta-merta mereka mati dalam keadaan azab.

Al-Quran merakamkan bencana yang menimpa kaum Madyan:

“Lalu mereka ditimpa gempa, sehingga mereka menjadi mayat-mayat yang bergelimpangan di dalam rumah-rumah mereka iaitu orang yang mendustakan Syuaib seolah-olah mereka belum pernah mendiami kota itu.” (Surah al-A’raf 7: 91-92)

ALQURAN6

Nabi Syuaib amat sedih dan kesal dengan apa yang menimpa kaumnya akibat keingkaran mereka, sepertimana yang dirakamkan dalam al-Quran: “Maka Syuaib meninggalkan mereka seraya berkata, ‘Hai kaumku, sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kalian amanah-amanah Tuhanku dan aku telah member nasihat kepada kalian. Maka bagaimana aku akan bersedih hati terhadap orang kafir.’” (Surah al-A’raf 7: 93)

Begitulah kesudahan mereka yang mendustakan kebenaran. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya penduduk Aikah benar-benar kaum yang zalim. Maka Kami binasakan mereka. Sesungguhnya kedua-dua kota itu (Aikah dan Sadum, kota kaum Lut) benar-benar terletak di jalan umum yang terang.” (Surah al-Hijr 15: 78-79)

Menurut Dr. Syauqi Abu Khalil dalam Atlas al-Quran, Allah s.w.t. mengutuskan Syuaib kepada kaum Madyan bin Ibrahim a.s. Mereka tinggal di negeri Hijaz, dekat dengan Syam, sebelah timur Teluk Aqabah. Aikah ialah genangan air yang ditimbuni pepohon, yang letaknya berdekatan dengan Madyan. Menurut satu pendapat, Aikah ialah kota Tabuk yang terletak di antara dua gunung Hisama dengan Syaraura.

Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.6


Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif

Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas