Menu

 

A+ A A-

IMAM AL-NAWAWI: FAQIH SYAFI‘I KENAMAAN

SAYA yakin nama ulama yang akan kita bincangkan ini tidak asing lagi bagi kita semua. Meskipun beliau telah wafat sejak 700 tahun yang silam, namun keberkatan ilmunya masih berterusan hingga ke hari ini sehinggakan namanya disebut-sebut dalam pelbagai ruang perbincangan.

Semasa hayatnya, beliau ialah tokoh ulama mazhab Syafi‘i di Damsyik dengan gelaran Muhyiddin yang bermaksud penghidup agama. Beliau juga digelar sebagai Muhyi sunnah yang bermaksud penghidup sunnah.

Walau bagaimanapun jangan lupa nama sebenarnya ialah Yahya bin Syaraf. Panggilan penuh yang biasa disandarkan kepada beliau ialah Muhyiddin Abu Zakaria Yahya bin Syaraf al-Nawawi.

Kelahiran Bakal Ulama Besar

Beliau dilahirkan pada bulan Muharam tahun 631 H di Nawa, sebuah desa yang terletak lebih kurang 90 km dari kota Damsyik. Kedua-dua orang tuanya ialah ilmuwan dan tekun beribadah. Kesolehan mereka tumpah pula kepada si anak.

Sejak kecil lagi, sikap dan sifat Imam al-Nawawi tidak seperti anak-anak yang sebaya dengannya. Beliau tidak suka bermain. Sebaliknya ia lebih suka membaca al-Quran.

Salah seorang gurunya yang bernama Syeikh Yasin berkata: “Aku pernah melihat al-Nawawi ketika masih kecil. Beliau melarikan diri daripada kawan-kawannya sambil menangis karana dipaksa untuk bermain. “Setelah kawan-kawannya membiarkannya, beliau terus membaca al-Quran. Melihat perkara itu, tumbuh rasa cinta di hatiku. Biarpun ayahnya menyuruhnya menjaga kedai, aktiviti jual-beli tidak menyibukkan dirinya daripada membaca al-Quran.”

Syeikh Yasin melanjutkan: “Aku terus menasihati ayahnya: ‘Jagalah anak ini. Ia akan menjadi orang yang paling alim dan zuhud pada zamannya.”

Firasat Syeikh Yasin ini benarbenar menjadi kenyataan.

Membina Keilmuan di Damsyik

Ketika berusia 19 tahun, ayahnya membawa al-Nawawi ke Damsyik. Pada masa itu, kota ini memang kaya dengan ilmu dan ulama. Al-Nawawi segera menumpukan seluruh masa dan kesungguhannya untuk menuntut ilmu.

Setiap hari, ia menghadiri dua belas pengajian dengan guru yang berbeza dan di tempat yang berjauhan. Beliau juga mengkaji pelbagai bidang ilmu antaranya fiqah, hadis, tafsir, bahasa Arab dan lain-lain.

Dek kejernihan hatinya, alNawawi boleh menghafal kitab al-Tanbih(kitab fiqh yang sangat tebal) hanya dalam masa empat bulan. Begitu juga kitab-kitab penting lain dihafalnya dalam masa yang singkat sahaja.

Satu lagi sikap menarik Imam al-Nawawi, beliau enggan menerima pemberian daripada siapa pun. Beliau hanya makan daripada bekalan yang dibawakan ayahnya setiap minggu. Beliau ingin memastikan hanya makanan halal sahaja yang masuk ke dalam tubuhnya.

Pesona Si Penghidup Agama

Tidak beberapa lama kemudian, al-Nawawi mula dikenali oleh masyarakat Damsyik sebagai seorang ulama pewaris Nabi s.a.w. Beliau seorang alim yang penuh dengan ilmu, seorang tokoh agama yang gigih mempertahankan sunnah sekaligus tokoh masyarakat yang membela rakyat bawahan.

Semua ini beliau lakukan ikhlas kerana Allah s.w.t. Beliau tidak mengharapkan balasan daripada manusia langsung. Bahkan jika diberi sekalipun beliau selalu menolaknya.

Tajuddin al-Subki berkata: “Imam al-Nawawi pernah mengajar di Darul Hadis alAsyrafiah dan di tempat-tempat lain. Namun beliau enggan menerima gaji sedikit pun. Beliau juga enggan pindah dari rumahnya di Rawahiah meskipun keadaaan rumah itu sangat uzur. Beliau hanya minum sekali sehari sebelum subuh.”

Syeikh Muhammad al-Akhmimi berkata: “Gaya hidup Syeikh alNawawi persis kehidupan para sahabat Nabi. Aku tidak pernah melihat orang lain pada masanya mengikuti cara hidup mereka selain beliau.”

Legasi Imam al-Nawawi

Hidup al-Nawawi sangat singkat namun sarat berkat. Jika kita menghitung lembaran buku-buku karangannya lalu dibandingkan dengan hari-hari sepanjang hidupnya, kita akan mendapati lembaran tulisannya ini jauh lebih banyak daripada usianya.

Antara mahakarya beliau: Minhaj al-Talibin (fiqah), alMajmuk Sharh al-Muhazzab (fiqah), al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran(ilmu al-Quran) dan Riyad al-Salihin(hadis).

Pemergian yang Tidak Berganti

Suatu hari Alauddin al-Attar iaitu salah seorang murid alNawawi merasa kehairanan. Bagaimana syeikhnya boleh terbuka hati menerima sebuah kendi pemberian seseorang? Padahal selama ini Syeikh selalu enggan menerima apa-apa pemberian orang.

Apabila ditanya, Imam alNawawi menjawab: “Kendi ini ialah kelengkapan seorang musafir. Oleh sebab itu, aku menerimanya.”

Beberapa hari kemudian beliau pergi ke Baitulmuqaddis, untuk mengembalikan semua buku yang dipinjamnya lalu pulang ke Nawa. Tidak lama setelah itu, dunia dikejutkan dengan berita kematiannya.

Imam al-Nawawi wafat pada tanggal 24 Rejab 676 H dalam usia 45 tahun. Beliau dimakamkan di desa kelahirannya. Hingga ke hari ini makamnya masih rapi terpelihara buat generasi kemudian yang ingin mengunjunginya.

 

 

                                                                                                          Ustaz Salehuddin Abu Samah

                                                                                     Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 06

 


 

Ustaz Salehuddin bin Abu Samah

B.A (Hons.) Syariah, Islamic University of Madinah. Kini bertugas sebagai Assistant Manager, Syariah Department, Bank Islam Malaysia Berhad. Pernah bertalaqqi (menuntut ilmu secara bersemuka) dalam bidang Fiqah, Hadits dan ilmu-ilmu Islam yang lain dengan ulama-ulama terkenal di Masjid Al-Nabawi, Madinah al-Munawwarah. Antara guru yang dikagumi Prof.Dr. Yusuf al-Qaradhowi, Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, al-Syeikh Abu Bakar al-Jazairi, al-Syeikh Muhammad Mukhtar al-Syanqiti dan al-Syeikh ‘Atiyyah Muhammad Salim.

Kembali ke atas