Menu

 

A+ A A-

‘ATA’ BIN ABI RABAH DARJATNYA LEBIH MULIA DARIPADA RAJA

‘Ata’ asal usulnya hanyalah seorang hamba, namun darjatnya lebih mulia daripada para raja.

Suatu ketika, amirul mukminin khalifah Islam, Sulaiman bin Abdul Malik melakukan haji dengan dua orang puteranya. Selesai melakukan tawaf, beliau mencari seseorang dan akhirnya beliau menemuinya di suatu sudut dalam Masjidilharam sedang khusyuk beribadah.

Orang tersebut tua dan kurus. Kulitnya hitam. Hidungnya pesek. Jika ia berdiri, ia nampak seperti seekor gagak hitam. Khalifah lalu menghampiri orang tua tersebut dan menunggunya sehingga selesai solat. Sempurna satu solat, lalu dilanjutkan dengan solat berikutnya, dan khalifah terus menunggu. Orang tua itu begitu khusyuk dalam solatnya dan sempurna tamakninahnya.

Sementara itu, khalifah begitu sabar menunggu orang tua yang kurus, hitam dan pesek sedang solat, manakala kedua-dua puteranya saling menatap dengan rasa hairan.

Khalifah Sulaiman Berbaris Menanti Giliran

Sebaik dia memberikan salam, khalifah segera mendekatinya. Orang tua itu hanya menyambut kedatangan khalifah secara biasa saja, tanpa penghormatan khusus. Tiba-tiba dia bertanya kepada khalifah yang datang ke hadapan memotong barisan iaitu sama ada khalifah ingin bertanya urusan pemerintahan ataupun urusan ibadah peribadinya.

Khalifah menjawab, dia ingin bertanya urusan ibadahnya. ‘Ata’ lalu memintanya menghormati umat Islam yang sedang berbaris menantikan giliran masing-masing untuk bertanya kepadanya. Sekalian para pengiring diraja termasuk puteranya menjadi marah dan kecewa dengan respon orang alim ini. Tetapi apakan daya, mereka tidak boleh membuat sebarang tindakan kerana khalifah sendiri mengalah dengan permintaannya. Maka, khalifah terpaksa berundur untuk berada dalam barisan menantikan gilirannya sampai seperti kebanyakan orang.

Kedua-dua putera khalifah berasa semakin hairan kerana apabila tiba di hadapan orang tua ini, khalifah mula mengemukakan soalan-soalannya. Setiap pertanyaan khalifah dijawab dengan sempurna. Apabila bangkit untuk mnyempurnakan ibadah yang berikutnya bersama-sama dua putera dan para pengiringnya, khalifah berkata: “Wahai anakku, pelajarilah ilmu. Dengan ilmu, orang hina menjadi mulia, orang bodoh menjadi bijak, dan hamba menjadi lebih tinggi darjatnya daripda para raja. Kamu dapat lihat sendiri apa yang kita lalui pada hari ini dan apa yang berlaku kepada kita.”

Inilah saki baki salafussoleh yang telah mengumpulkan ilmu para sahabat pada zaman mereka yang disifatkan tiada seorang pun yang layak memberikan fatwa selagi ‘Ata’ bin Abi Rabah masih ada bersama. Inilah dia ‘Ata’ bin Abi Rabah yang dimaksudkan.

Beliau merupakan pewaris Abdullah bin Abbas r.huma. dalam urusan ilmu. Semasa kanak-kanak, beliau ialah seorang hamba dari Habsyah. Kulitnya hitam seperti Bilal bin Rabah. Hidungnya tidak mancung seperti penduduk kota Makkah lain dan rambutnya keriting. Ia dimiliki oleh seorang perempuan penduduk Makkah.

Setiap hari, ‘Ata’ memperuntukkan waktunya untuk melakukan tiga perkara dengan sempurna. Pertama, beribadah kepada Allah. Kedua, menuntut ilmu daripada para sahabat dan ketiga, memenuhi tanggungjawab kepada majikan sebaik mungkin.

Melihat kesungguhan ‘Ata’ beribadah dan mencari ilmu, majikannya berasa simpati untuk memerdekakan ‘Ata’ daripada status hamba. Menurut Imam al-Zahabi rhm. dalam al-Siyar, beliau telah beriktikaf di dalam Masjidilharam dan tidur di dalamnya lebih 20 tahun. Guru-guru ‘Ata’ bin Abi Rabah adalah para sahabat Nabi s.a.w. yang terkenal dan luas ilmunya, seperti Abdullah bin Abbas, Abu Hurairah, Abdullah bin Umar selain daripada para Ummahat al-Mukminin (isteri-isteri Nabi).

Lebih mengagumkan, sahabat terkemuka Abdullah bin Umar r.huma. diceritakan pernah berkata: “Duhai penduduk Makkah, aku hairan melihat kamu sekalian. Di sisi kamu semua ada ‘Ata’ bin Abi Rabah, mengapa kamu meminta fatwa kepadaku?”

ata-bin-abi-rabah-1

Penghormatan Khalifah Hisyam

Selain khalifah Sulaiman yang begitu menghormati ‘Ata’ bin Abi Rabah, khalifah lain seperti khalifah Hisyam bin Abdul Malik yang sempat menemuinya juga sangat menghormatinya.

Dikisahkan oleh Uthman bin ‘Ata’ al-Khurasani bahawa ayahnya pernah bertemu ‘Ata’ ketika hendak menuju istana. ‘Ata’ hanya menaiki himar (keldai) dengan pakaian yang amat lusuh. ‘Ata’ biasa memakai baju yang harganya tidak lebih daripada lima dirham.

Sampai di pintu istana, khalifah Hisyam menyaambut ‘Ata’ dengan layanan istimewa berbanding orang yang bersama-samanya. Beliau meminta ‘Ata’ duduk di tempat mulia. Lutut khalifah begitu dekat dengan lututnya. Semua tetamu daripada kalangan bangsawan terdiam menunggu ‘Ata’ memulakan bicara. Khalifah Hisyam bertanya kepada ‘Ata’ bin Abi Rabah: “Wahai tuan guru yang dimuliakan, apa gerangan engkau datang berkunjung ke tempat kami? Insya-Allah aku penuhi permintaanmu.”

‘Ata’ memulakan katanya: “Ya Amirul Mukminin, berilah layanan yang terbaik kepada penduduk Hijaz dan Najad. Mereka ialah orang terawal dan terhormat dalam kalangan umat Islam.”

Khalifah menjawab: “Baiklah, aku akan memberi mereka layanan yang paling istimewa. Tuliskan wahai pegawai akan perintah ini.” Katanya kepada orang suruhannya. Khalifah bertanya lagi: “Apalagi, wahai tuan guru?”

‘Ata’ berkata: “Berilah pertimbangan sewajarnya kepada penduduk yang hidup di perbatasan. Sungguh, merekalah orang pertama yang akan menghadapi musuh jika kita diserang.” Khalifah menjawab: “Baiklah, beta akan memberi mereka bantuan. Apalagi wahai tuan guru?”

‘Ata’ berkata: “Lindungilah kaum kafir zimmi. Janganlah engkau menarik beban cukai yang terlampau berat.” Khalifah menjawab: “Baiklah, akan aku kabulkan permintaanmu. Kemudian apalagi, wahai tuan guru ?”

Pesanan Takwa

Atha meneruskan nasihatnya: “Ya Amirul Mukminin, bertakwalah kepada Allah dan jangan berlaku zalim. Sesungguhnya, manusia diciptakan dalam keadaan sendirian, dimatikan dalam keadaan sendirian, dibangkitkan dalam keadaan sendirian dan dihisab dalam keadaan sendirian. Pada waktu itu, tidak akan ada seorang pun Amirul Mukminin bersama-sama dengannya. Maka, bertindaklah untuk menjaga dan mempertahankan tuan khalifah di hadapan Allah s.w.t. kelak.”

Kata-kata yang terakhir ini memberikan kesedaran yang mendalam dalam jiwanya hingga menyebabkannya menangis teresak-esak. Air matanya jatuh ke tanah. Lalu, ‘Ata’ bin Abi Rabah pergi meninggalkan istana. Khalifah meminta pengawalnya memberi hadiah kepada ‘Ata’, namun beliau menolak. Bahkan, ‘Ata’ tidak minum air yang disajikan di istana, walaupun setitis.

Inilah kisah ‘Ata’ bin Abi Rabah. Daripada keadaan hamba, beliau menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh dan penuh ikhlas, lalu menjadi lebih mulia darjatnya daripada para raja. Beliau pemberi fatwa di Masjidilharam dan pemimpin para ulama. Demikianlah, sebagaimana janji Allah dalam al-Quran bahwa Dia akan mengangkat orang berilmu beberapa darjat.

Semoga kisah ‘Ata’ bin Abi Rabah ini menjadi penyuntik semangat kita dalam menuntut ilmu.

Ustazah Mahfuzah bt. Omar

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.2


Mahfuzah Omar

B.A (HSc) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pernah bertugas sebagai editor penerbitan di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas