Menu

 

A+ A A-

STRATEGI KEPIMPINAN RASULULLAH

APABILA diamati dan dianalisis sirah Rasulullah s.a.w., kita mendapati Baginda s.a.w. merupakan seorang pemimpin yang menyusun strategi dengan kemas dan mantap bagi memastikan Islam menjadi satu agama yang unggul dan agung

Strategi 1: Melakukan dakwah secara rahsia

Pada peringkat awal penyebaran agama Islam, dakwah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. secara sir (rahsia). Strategi menyebarkan agama yang suci ini adalah dengan menyampaikannya terlebih dahulu kepada orang paling rapat dengan Baginda, kaum keluarga serta teman-teman Baginda. Mereka menganut agama Islam secara rahsia. Kaedah yang dilaksanakan oleh Baginda s.a.w. adalah dengan mengumpulkan mereka serta membimbing ke arah mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Antara orang terawal memeluk Islam ialah Abu Bakar al-Siddiq yang merupakan seorang lelaki yang mesra, disenangi, mudah diajak berbicara dan berakhlak mulia.

Strategi 2 : Sistem dakwah dan pendidikan berpusat

Proses dakwah Rasulullah juga dilaksanakan secara berpusat. Perkara ini jelas apabila Nabi Muhammad s.a.w. menjadikan rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam al-Makhzumi sebagai pusat dakwahnya yang pertama di samping tempat orang Islam berkumpul.Pusat ini bukan sahaja sebagai pusat dakwah, bahkan juga dijadikan sebagai pusat untuk mendidik, memberi kefahaman, memantapkan iman dan membawa manusia keluar daripada kegelapan kepada cahaya.

ipods

Strategi 3: Menyemai benih ihsan dalam hati para sahabat

Selain itu, antara strategi yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. adalah dengan menyemaikan benih ihsan dalam hati para sahabat. Konsep ihsan yang ditekankan adalah dengan melakukan sesuatu hanya kerana Allah s.w.t. dan yakin bahawa Allah sentiasa melihat amalan yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya. Penerapan konsep ihsan ke dalam jiwa para sahabat ini melahirkan insan yang:

  1. Ikhlas dalam setiap amalan dan tindakan.
  2. Bersikap amanah terhadap tugas yang diberikan.
  3. Meyakini bahawa Allah sentiasa mengawasinya.
  4. Sentiasa bersungguh-sungguh dan jujur dalam setiap keadaan.

Strategi 4 : Membentuk golongan pelapis yang berjiwa kental

Strategi Rasulullah s.a.w. seterusnya adalah membentuk golongan pelapis berjiwa kental dan berwibawa bagi menjamin kesinambungan perjuangan Islam. Antara anak muda yang terlibat dengan proses penyebaran agama Islam ialah Sayidina Ali r.a. Kekentalan jiwa anak muda ini dapat kita lihat apabilabeliau sanggup tidur di tempat tidur Rasulullah s.a.w. ketika pembesar Quraisy telah melakukan persiapan dalam rancangan mereka untuk membunuh Baginda s.a.w.

Pada saat-saat genting tersebut, Baginda s.a.w. berkata kepada Sayidina Ali:

“Tidurlah di atas tempat tidurku, berselimutlah dengan selimut al-Hadrami yang berwarna hijau ini. Mereka tidak akan dapat melakukan apa-apa yang buruk terhadapmu.” Tanpa membantah, Sayidina Ali Melaksanakan misi tersebut dengan jayanya. Di sini kita dapat melihat bahawa penglibatan golongan muda dalam aktiviti dakwah adalah penting bagi memastikan kegemilangan dan kecemerlangan dakwah.

Strategi 5: Membentuk satu jemaah yang berstruktur dan berpasukan

Kekuatan Islam terletak pada jemaah atau pasukan. Oleh yang demikian, Nabi Muhammad s.a.w. membina satu pasukan kuat yang terdiri daripada kalangan para sahabat. Antara ciri-ciri pasukan yang dibina oleh Rasulullah s.a.w. ialah:

  • Menumpukan kepada matlamat jemaah atau pasukan iaitu untuk mengubah dunia dengan menegakkan Islam pada diri sendiri dan menyebarkannya seantero dunia. Menerima ahli daripada pelbagai kemahiran dan latar belakang. Fokus pada menjayakan tugasan bersama, mengkoordinasi kerja danmenyumbangkan kemahiran tersendiri. Merancang dan merangka misi dakwah secara bersama. Selain itu, setelah baiah dilaksanakan, Rasulullah s.a.w. menyusun dan memperkuatkan lagi jemaah atau pasukan dengan memilih 12 orang ketua yang menjadi naqib kepada kaumnya. Naqib atau istilah lainnya fasilitator (pemudah cara) bertanggungjawab sebagai seorang mualim, murabbi, dan mursyid kepada kaumnya.

Strategi 6: Membina perpaduan dan menyatukan umat

Sebaik sahaja tiba di Yathrib (Madinah) semasa peristiwa hijrah, rasulullah s.a.w. menyusun strategi untuk membina perpaduan dalam kalangan umat Islam. Baginda melancarkan satu kaedah yang dikenali sebagai sistem persaudaraan dengan mempersaudarakan orang Muhajirin dan Ansar. Antaranya, Rasulullah s.a.w. mempersaudarakan Umar al-Khattab dengan Zaid bin Harithah dan Abu Ubaidah bin al-Jarrah dengan Saad bin Muaz. Strategi Baginda ini memberikan momentum yang kuat kepada sebuah negara baru pada masa tersebut. Hasilnya, Madinah menjadi sebuah negara yang kuat walaupun umat Islam terus-menerus menghadapi ancaman dan sekatan daripada musuh di setiap penjuru.

strategi

Strategi 7: Memanfaatkan segala bentuk kepakaran

Setiap para sahabat mempunyai kepakaran mereka tersendiri. Oleh itu rasulullah s.a.w. memanfaatkan sebaik mungkin kepakaran mereka bagi menjayakan misi dakwah. Ketika menghadapi Perang Khandaq misalnya, setelah mengadakan mesyuarat, Rasulullah s.a.w. bersama para sahabat bersepakat menerima idea Salman al-Farisi r.a.

Daripada pengalaman dan kepakarannya, Salman mencadangkan agar mempertahankan Kota Madinah dengan menggali parit di sekelilinginya. Lalu Baginda s.a.w. mengarahkan kepada setiap sepuluh orang lelaki supaya menggali parit seluas 40 hasta. Ketika itu juga, semua orang Islam dengan pantasnya menggali parit. rasulullah s.a.w. mendorong semangat mereka dan turut serta menggali.

Di sini kita dapat melihat bahawa rasulullah s.a.w memanfaatkan segala bentuk kepakaran yang ada bagi mencapai kejayaan.Kesimpulannya, strategi-strategi yang dilaksanakan oleh rasulullah s.a.w. ini memberikan kejayaan yang gemilang ter hadap agama Islam dan akhirnya ia tersebar ke seluruh dunia dengan izin Allah.¤

 

         Mohd Azrul Azlen Abd Hamid

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.4


Mohd Azrul Azlen Abd Hamid

Dilahirkan di Kedah dan mendapat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ijazah Sarjana (MA) dalam bahasa Arab juga di UIAM, dan menyambung pengajian peringkat Ph.D di Universiti Malaya. Kini menjawat jawatan pensyarah di UIAM. Berpengalaman dalam bidang motivasi dan kepimpinan dan aktif dalam penerbitan buku ilmiah dan artikel majalah. Merupakan penulis Indahnya Hidup Bersyariat. Layari blog beliau di http://mohdazrul.blogspot.com. Beliau juga boleh dihubungi di mohdazrulazlan@gmail.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

tbbk1297

 

Kembali ke atas