Menu

 

A+ A A-

IBN SURAIJ HELANG PUTIH MAZHAB SYAFI‘I

Nama dan Kelahiran

ABU al-Abbas Ahmad bin Umar bin Suraij al-Baghdadi. Beliau masyhur dengan gelaran “Helang Putih” kerana kemahirannya mempertahankan hujah-hujah mazhab Syafi‘i. Ibn Suraij dilahirkan sekitar tahun 240 H.

Guru-guru

Ibn Suraij mendalami ilmu fiqah dengan gurunya yang bernama Abu al-Qasim Usman bin Said al-Anmati. Gurunya itu pula berguru secara langsung dengan beberapa orang murid Imam al-Syafi‘i di Mesir, antaranya al-Rabi‘ bin Sulaiman dan Ibrahim al-Muzani. Ibn Suraij turut belajar daripada al-Hasan bin Muhammad al-Za‘farani (murid Imam al-Syafi‘i di Baghdad), Abu Dawud al-Sijistani (penulis Sunan Abu Dawud), Abbas bin Muhammad al-Duri (pakar hadis, murid Yahya bin Main) dan lain-lain.

Pembaharu Mazhab Syafi‘i

Ibn Suraij merupakan ulama yang paling berjasa dalam menyebarkan mazhab Syafi‘i di Baghdad. Beliau sangat aktif mengajar, berdiskusi, dan menulis. Buku-buku karangannya mencapai 400 tajuk, namun kebanyakannya telah hilang pada hari ini. Ulama mazhab Syafi‘i memandang Ibn Suraij sebagai pembaharu mazhab Syafi‘i. Beliau berjaya mengembalikan usul mazhab sebagaimana yang telah diasaskan oleh Imam al-Syafi‘i sendiri.

Abu Ishaq al-Syirazi mengulas: “Ibn Suraij lebih utama daripada semua ulama pendukung mazhab Syafi‘i. Bahkan beliau lebih diutamakan berbanding al-Muzani (murid Imam al-Syafi’i).”

ibnu-suraij-1

Di Baghdad pada masa itu terdapat ramai ulama besar daripada pelbagai aliran dan mazhab. Salah satunya ialah Dawud bin Ali al-Zahiri dan anaknya yang bernama Muhammad. Kedua-duanya sangat tegar berpegang kepada mazhab Zahiri dan aktif menyebarkannya dalam kalangan masyarakat. Ibn Suraij sering kali berdebat dengan dua tokoh ulama besar ini. Kepakaran beliau dalam al-Quran, hadis, usul dan sastera Arab sangat membantu dalam mempertahankan mazhab Syafi‘i daripada kritikan tajam ulama mazhab Zahiri ini.

Perbahasan dan analisis fiqah Ibn Suraij sangat tajam dan teliti. Beliau bukan hanya mengajarkan fiqah, namun mendidik murid-muridnya metode berbahas dan istidlal (kaedah pendalilan) sehingga melatih kemahiran berfikir mereka.

Salah seorang muridnya yang bernama Abu Hamid al-Isfirayini berkata: “Kami hanya boleh memahami kulit luaran ilmu fiqah bersama Ibn Suraij, tidak bahasan-bahasan rumitnya.”

Semoga ada orang yang dapat mengikuti jejak langkah Ibn Suraij dalam mengajarkan ilmu fiqah sehingga ilmu ini dalam kembali segar dan relevan untuk menyahut cabaran semasa.

Pakar Ilmu Kalam

Selain sebagai pakar dalam ilmu fiqah, Ibn Suraij juga sangat menguasai ilmu kalam. Ilmu ini sangat tertumpu pada hujah-hujah rasional untuk mempertahankan akidah Islamiah daripada serangan musuh-musuh Islam. Barang kali, kebiasaan cara berfikir rasional ini yang membuat perbahasan fiqah Ibn Suraij menjadi sangat padu dan teliti.

Berkata Imam Dia al-Khatib (ayah Imam Fakhrudin al-Razi): “Abu al-Abbas (Ibn Suraij) ialah ulama mazhab Syafi‘i yang paling menguasai ilmu kalam, sebagaimana beliau juga orang paling menguasai ilmu fiqah.”

Meskipun begitu, Ibn Suraij tidak menggalakkan para pelajarnya mendalami ilmu kalam sebelum ilmu fiqah dikuasai dengan sempurna. Hujahnya, ilmu kalam sangat dalam dan luas sehingga dikhuatiri ia dapat menyibukkan mereka daripada ilmu fiqah.

Beliau berkata: “Jarang sekali pelajar fiqah yang mempelajari ilmu kalam dan berjaya. Biasanya ia akan terluput ilmu fiqah dan tidak menguasai ilmu kalam.”

Murid-murid

Kemasyhuran nama Ibn Suraij menarik minat ramai murid dari pelbagai negeri untuk menimba ilmu daripadanya. Antara murid-murid beliau ialah Imam al-Tabarani (pakar hadis), Abu al-Walid Hasan bin Muhammad al-Naysaburi (guru imam al-Daruqutni), Abu Ahmad al-Ghitrifi dan lain-lain.

Murid-murid Ibn Suraij yang merupakan tokoh-tokoh besar mazhab Syafi‘i pula antaranya ialah Ibn Abi Hurairah, Ibrahim bin Ahmad al-Marwazi, dan lain-lain.

ibnu-suraij-2

Mujaddid Abad Ketiga

Hasan bin Muhammad bercerita: “Suatu hari kami berada dalam majlis Ibn Suraij pada tahun 303 H. Tiba-tiba ada seorang ulama berdiri dan berkata kepada Ibn Suraij: ‘Bergembiralah wahai Kadi. Sesungguhnya Allah mengutus seorang mujaddid (pembaharu) bagi agama Islam pada setiap abad. Allah mengutus Umar bin Abdul Aziz pada abad pertama, Imam al-Syafi‘i pada abad kedua. Dan, Dia mengutus anda pada abad ketiga ini.’

Mendengar ucapan ini, Ibn Suraij berteriak dan menangis. Beliau berkata: ‘Engkau telah menyampaikan berita kematianku kepadaku.’

Hasan bin Muhammad berkata: “Ibn Suraij wafat pada tahun tersebut.”

Kewafatan Ibn Suraij

Ibn Suraij meninggal dunia pada tahun 303 H dan dimakamkan di Janib Gharbi kota Baghdad. Berkata al-Khatib: “Ibn Suraij mencapai usia 57 tahun dan 6 bulan.”

Ustaz Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas