Menu

 

A+ A A-

Soal Jawab - Feqah Amali

Soal Jawab - Feqah Amali

Soalan : Apa hukum seseorang membawa teman wanitanya bersama untuk mendengar kuliah agama di masjid?

Jawapan : Allah yang menciptakan lelaki dan wanita. Maka Allahlah juga yang mewujudkan perasaan wanita menyukai lelaki dan lelaki menyukai wanita. Namun hal ini ada had-had umurnya (perkembangannya). Semasa kanak kanak, ada atau tidak perasaan suka perempuan? Tidak ada.

Sebab itu semasa kecil-kecil sekitar umur lima atau enam tahun, kita main pondok-pondok dengan anak perempuan jiran sebelah. Siap boleh tidur dalam pondok bersama lagi. Selepas itu pakat-pakat bungkus nasi lemak. Pada ketika itu, kita tidak ada apa-apa perasaan. Main-main sahaja. Namun sekiranya seorang perempuan menjangkau umur 23 tahun dan lelaki pula berumur 26 tahun, boleh atau tidak main pondok-pondok? Tentu tidak boleh! Nanti akan keluar baby pondok! Kita akan membesar hingga sampai pada had umur terasa hendak berkahwin. Ketika itu semua orang hendak berkahwin. Selepas kahwin pun, ada juga yang ingin kahwin lagi. Di sinilah mulanya soal girlfriend iaitu teman wanita.

Justeru, jika kita hendak mempunyai girlfriend, mesti dengan niat hendak berkahwin dengannya. Pastikan syarat ini wujud dulu. Kalau tidak, kita berdosa. Kalau kita berkenalan dengannya sekadar untuk jadikannya girlfriend sahaja, maka haram hukumnya. Tidak boleh! Mesti dengan niat hendak berkahwin dengannya. Jika betul sudah niat begitu, maka bolehkah bebas berjumpa? Tetap tidak boleh. Nabi melarangnya melainkan ada mahram. Jadi sekiranya ditanya: “Saya hendak berkahwin dengannya tetapi belum bertunang lagi. Minggu depan baru hendak berbincang. Cuma sekarang ini nak ajak dia pergi kuliah. Boleh atau tidak?”

Boleh, tiada masalah. Tetapi dia dengan keretanya, kita dengan kereta kitalah. Sekiranya tempat itu terpencil, mesti ada mahram. Tetapi sekiranya di tempat khalayak ramai, maka tidak mengapa.

 

Ustaz Azhar Idrus

www.ustazazhar.net

(Majalah Al-Ustaz Isu 5)

Soalan : Apakah hukum perempuan meletakkan gambarnya di Facebook, Twitter dan sebagainya?

Jawapan : Sama ada di Internet, buku atau majalah, sama sahaja hukumnya. Prinsipnya, apa-apa yang harus diperlihatkan oleh wanita semasa di luar, itulah juga yang harus dilihat pada gambar. Itulah hukum fiqah kita. Perempuan mesti dalam keadaan menutup aurat, tidak bertabarruj (berhias) atau bermekap berlebihan. Maka dalam Internet pun, begitulah juga. Cuma gambar jangan yang besar. Gambar kecil sudahlah.

Tujuannya pula jangan sekadar hendak suka-suka bagi orang lelaki tengok. Sebaliknya mesti atas tujuan yang dibenarkan syarak. Kenapa tidak boleh meletakkan gambar besar walaupun menutup aurat? Jawabnya, bimbang orang khianat. Banyak berlaku gambar besar orang perempuan bertudung, diambil mukanya dan dibuat dalam keadaan berbogel. Oleh sebab itu jangan berlebih-lebih. Satu lagi, walaupun gambarnya menutup aurat, tetapi jika gayanya menggoda juga tidak boleh. Diharamkan oleh ulama. Ini dipanggil gedik-gedik. Gambar elok dah tetapi buat gaya gedik. Kita tengok pun meluat. Duduk elok-eloklah kalau nak ambil gambar. Jangan jual muka kita.

 

Ustaz Azhar Idrus

www.ustazazhar.net

(Majalah Al-Ustaz Isu 5)

Soalan: Saya musykil mengenai sutera yang haram dipakai lelaki Islam. Saya akan bernikah dan kami memilih kain jenis “chantung” yang saya yakin bukan 100 peratus sutera. Ia kemungkinan mempunyai campuran sedikit sutera dan kain itu sudah siap ditempah untuk dipakai bakal suami saya. Dia juga akan solat sunat selepas bernikah dengan memakai kain yang sama. Kami tiba-tiba terfikir mengenai kain itu, sama ada ia sutera atau tidak. Kami mendapat tahu kain jenis “chantung” ini bukannya 100 peratus sutera. Jadi, bolehkah bakal suami saya memakai kain itu ketika akad nikah nanti? Adakah Islam mengharamkan lelaki Islam memakai kain sutera 100 peratus atau semua jenis kain sutera?

Jawapan: Larangan bagi lelaki adalah memakai sutera tulen begitu juga dengan perhiasan emas. Ini bertujuan untuk menjaga keluhuran akhlak Islam lelaki. Pakaiannya hendaklah sesuai dengan keperibadian sebagai lelaki. Ini jelas apabila Rasulullah s.a.w. memegang sutera di tangan kanan dan emas di tangan kiri dan bersabda: “Kedua-duanya diharamkan bagi lelaki daripada pengikutku.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Nasa’i dan Ibn Majah). Mengenai pakaian yang anda sebut bukan sutera tulen, ia masih dibenarkan. Sutera dibolehkan untuk wanita.

 Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu Perdana)