Menu

 

A+ A A-

Soal Jawab - Haji dan Umrah

Soal Jawab - Haji dan Umrah

Soalan: Insya-Allah tahun ini saya akan mengerjakan haji tetapi tidak membawa isteri mahupun saudara terdekat. Apakah yang perlu saya persiapkan sebelum berangkat? Mohon nasihat daripada ustaz.

Jawapan: Menurut Imam al-Ghazali, antara perkara yang perlu dititikberatkan sebelum berangkat mengerjakan haji:

1. Memulakan dengan bertaubat.

2. Mengembalikan segala hak orang yang diambilnya secara penganiayaan.

3. Mengembalikan barangan amanah orang yang disimpan kepada tuannya.

4. Menyelesaikan segala hutang piutang.

5. Menyediakan nafkah atau perbelanjaan bagi orang yang berada di bawah tanggungannya bagi tempoh masa hingga dia kembali daripada menunaikan ibadat haji.

6. Memastikan wang dari sumber harta yang halal dan bersih daripada unsur syubhah.

7. Memastikan wang perbelanjaan itu mencukupi. Adalah lebih baik jika dapat diperuntukkan untuk sedekah orang yang lemah dan fakir.

Datuk Haji Ismail Kamus

(FIQAH HARIAN, Majalah Al-Ustaz Isu 5)

Soalan: Di mana kehebatan Makkah al-Mukarramah?

Jawapan: Terlalu banyak jika ingin dinukil dan ditulis mengenai kehebatan bumi Makkah ini. Sekadar meneliti hukum hakam berkaitan Makkah sudah cukup untuk memberikan penghargaan yang tinggi kepadanya. Sekilas pandang, adakah ada tempat lain yang lebih “putih” daripada Makkah bermula dari kesucian tanahnya sehinggalah putih dan sucinya pakaian ihram yang membaluti tubuh dan ketulusan hati para jemaah haji dan umrah yang memasukinya? Adakah ada tempat yang lebih terhormat sehingga memaksa “arkitek” Muslim yang ingin membina rumah mahu pun bangunan menjauhi pelan tandas daripada menghadap ke arah kiblat mahu pun membelakanginya?

Atau pun hal sekecil ini terkabur daripada pandangan akibat sudah lama melihat menerusi “kaca mata” Barat yang sering dikagumi kehebatan mereka dalam setiap perkara? Nampak remeh mungkin ulasan sebegini namun sedarilah sesuatu yang dilihat kecil, sebenarnya mampu membawa perubahan yang besar menurut kaca mata Islam!

Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Eksekutif Zakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan.

(Majalah Solusi Isu 2)

Soalan: Saya dibawa oleh ayah menunaikan haji ketika umur saya 12 tahun (belum baligh). Adakah haji saya sah dan adakah tuntutan haji sekali seumur hidup ke atas saya sudah dikira selesai?

Jawapan: Haji itu adalah sah dipanggil haji Islam tetapi belum selesai haji yang dilakukan ketika belum baligh. Wajib dia pergi sekali lagi setelah baligh kerana haji ini ialah satu ibadah yang dituntut yakni perintah Allah yang wajib setelah baligh.

 

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu Perdana)

Soalan: Saya bercadang pergi menunaikan haji dengan wang daripada simpanan KWSP. Adakah wang dari pada sumber tersebut dikira bersih untuk menunaikan haji atau masih ada syubhah kerana dikira sekali dengan keuntungan dan dividennya?

Jawapan: KWSP ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, duit itu duit kita yang disimpan melalui potongan gaji secara bulanan. Duit itu dari semasa ke semasa akan bertambah dalam bentuk dividen dan keuntungan, yang mana kita tidak buat apa-apa pelaburan. Duit itu hanya disimpan dan KWSP mengagihkan keuntungan yang diperolehi kepada kita, atas nama dividen. Ini sama seperti kes dirab, atas persetujuan suatu pihak menggunakan duit kita, dilaburkan dan keuntungan diagih semula kepada kita. Maka keuntungan itu adalah duit kita, jika digunakan untuk menunaikan haji maka hukumnya sah.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu Perdana)

Soalan: Apakah perbezaan antara Haji dengan Umrah?

Jawapan: Mengenai umrah, ada perbezaan pendapat para ulama. Ada yang kata wajib, ada yang berpendapat ia sunat. Pendapat yang lebih sahih bagi Imam Syafi'i r.a. bahawa umrah adalah wajib.

Firman Allah maksudnya: “Dan sempurnakanlah haji dan umrah kerana Allah.” (Surah al-Baqarah: 192)

Senang cerita, masa pergi haji buatlah umrah sekali. Boleh dibuat umrah sebelum haji atau selepas haji. Kalau buat haji Ifrad, maka umrah selepas haji. Kalau haji Tamattu’, umrah dulu, haji kemudian. Kalau haji Qiran, boleh buat sama-sama. Cuma ada orang yang suka pergi umrah setiap tahun. Memanglah besar pahala kalau selalu melakukan umrah.

Antara fadilatnya sebagaimana sabda Nabi s.a.w. maksudnya: “Umrah kepada umrah (yang lain) menjadi kaffarah (pembersih dosa) antara keduanya.” (Riwayat Bukhari). Cuma dipandang daripada sudut keutamaan, alangkah elok juga wang untuk umrah digunakan untuk tujuan yang lain. Contonhya, digunakan untuk membantu anak yatim, bersedekah jariah, membeli buku-buku atau komputer untuk diwakafkan untuk rumah anak yatim.

Haramain ~ Cintakan Makkah

(Majalah Solusi Isu Perdana)

Soalan: Bolehkah tangguh haji untuk melancong?

Jawapan: Orang zaman sekarang, boleh bercuti di Paris, London, tapi untuk menunai haji, lambat sikit. Seeloknya kalau duit ada, badan masih sihat, tenaga masih kuat, kita segera laksanakan haji. Mengikut sebahagian pendapat para ulama, haji wajib di segerakan apabila berkemampuan. Kalau sudah boleh ke luar negara, maknanya sudah ada kemampuan untuk haji juga.

Sabda Nabi s.a.w.: maksudnya: “Sesiapa berazam haji maka segerakanlah. Maka sesungguhnya kekadang sakit, terkadang sesat pula haiwan tunggangan dan terkadang ada hajat yang lain.” (Riwayat Ibn Majah)

Sikap menangguhkan haji hingga tua adalah sikap yang kurang baik. Ada yang kata aku kalau sudah pergi haji nanti tidak boleh minum dan berjudi lagi. Wanita pula, malas lagi hendak bertudung. Kalau sudah haji, aku akan terus pakai tudung. Kalau begini sikap kita, maka berganda-gandalah dosanya.

Namun ada pandangan bahawa ibadat haji ini boleh dilambatkan. Dalilnya kerana ibadat haji difardukan pada tahun keenam hijrah manakala Nabi s.a.w. hanya menunaikan haji pada tahun sepuluh hijrah. Kesimpulannya kalau ada keuzuran, tidak mengapalah dilewatkan. Tapi kalau semua sudah steady and ready, buat apa tunggu lagi.

Haramain ~ Cintakan Makkah

(Majalah Solusi Isu Perdana)

Soalan: Ada yang seronok pergi haji, tapi solat dan ibadah malas. Macam mana hajinya?

Jawapan: Pergi haji ke naik haji? Kalau naik haji atas papan dam, memang jelas haji itu tidak terpakai. Solat dan haji adalah rukun Islam. Tapi tentulah solat lebih penting bagi setiap individu muslim.

Ada hadis berbunyi maksudnya: “Antara seorang lelaki (Muslim) dan syirik ialah meninggalkan solat.” (Riwayat Muslim)

Solat kewajipannya setiap hari. Sikap suka pergi haji dan umrah tetapi malas bersolat merupakan satu belitan Iblis. Wanita biasalah ada uzur syar’ie. Susah juga nak buat haji kalau uzur syar’ie. Ada yang mencadangkan agar digunakan ubat penahan haid. Nampaknya kebanyakan ulama mengharuskan penggunaannya jika tiada kesan sampingan yang merbahaya.

Haramain ~ Cintakan Makkah

(Majalah Solusi Isu Perdana)