Menu

 

A+ A A-

BERHIBUR DENGAN 2D2L

SETIAP manusia suka akan hiburan. Terdapat pelbagai cara berhibur dan mudah didapati. Namun, bagaimana untuk mencari hiburan sejati yakni yang boleh bertapak dan memberi ketenangan hati? Syarat bagi mendapatkan ketenangan hati adalah yang mengisi keperluan asasi. Ya, memenuhi keperluan iman itulah yang utama.

Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan berzikir kepada Allah. Ketahuilah! Hanya dengan berzikir itu dapat menenangkan hati.” (Surah al-Ra‘ad 13: 28)

Di sini saya ingin mencadangkan cara-cara orang yang beriman menghiburkan hati mereka dengan kaedah 2D dan 2L. Apakah dia? Mari kita lihat satu persatu.

1 DOA - Berdoa kepada Pemilik Hati.

Doa merupakan satu perbuatan yang ajaib. Dengan berdoa kepada Allah s.w.t., akan menenangkan hati yang resah dan gundah dan memberikan motivasi kepada diri untuk meneruskan hidup. Cuba hayati apa yang kita doakan kepada Allah s.w.t. Hasilnya akan membuatkan jiwa dan hati kita bertambah tenang, insya-Allah.

2 DENGAR - Mendengar ayat Allah s.w.t.

Islam tidak menolak hiburan selagi hiburan itu mematuhi syariat. Alunan ayat suci al-Quran, selawat yang memuji Nabi s.a.w., lagu yang menyuburkan semangat jihad, puisi atau syair yang menghaluskan rasa kehambaan kepada Tuhan, pasti akan menyuburkan lagi keimanan mereka.

Allah s.w.t. telah menurunkan al-Quran untuk menenangkan hati manusia yang sentiasa gundah-gulana seperti firman-Nya yang bermaksud: “Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci alQuran yang sama (isi kandungannya antara satu dengan yang lain), yang berulang-ulang (keterangannya dengan pelbagai cara); yang menjadi gementar kulit badan orang yang takut kepada Tuhan mereka; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang hati mereka sewaktu ingat kepada Allah.” (Surah al-Zumar 39: 23)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman. Kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” (Surah al-Anfal 8: 2)

Seterusnya Allah s.w.t. juga berfirman, mafhumnya: “Iaitu orang yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka, dan orang yang bersabar terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang yang mendirikan sembahyang, serta orang yang menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepadanya.” (Surah al-Hajj 22: 35)

COV 1

1 LAKSANA - Melaksanakan perintah Allah S.W.T.

Orang beriman akan terhibur apabila melaksanakan perintah Allah kerana merasakan perintah itu datang daripada Tuannya. Kalau yang menyuruh itu Tuannya, tidak ada yang disusahkan, sebaliknya timbulnya perasaan gembira, yang akhirnya membawa ketenangan kerana dapat berkhidmat kepada Allah Yang Maha Kuasa. Mereka berasa seronok dan terhibur dengan ibadah tersebut.

Orang Mukmin juga terhibur dengan warna kehidupan yang dicorakkan oleh Allah. Hatinya sentiasa bersangka baik dengan Allah, membuatkannya tidak pernah resah. Apabila diberi nikmat mereka rasa terhibur, lalu bersyukur. Jika diduga dengan kesusahan, mereka berlapang dada, lalu bersabar.

Semua ibadat jika dilaksanakan dengan penuh perhatian, pasti akan memberi ketenangan jiwa. Lihat sahaja ibadat sembahyang, sekalipun merupakan suatu kewajipan orang Islam, ia juga suatu hiburan yang kekal. Menunaikan solat menjadikan hati orang yang beriman dan bertakwa itu terhibur kerana mereka sedang berbisik-bisik, bermesra, mengadu dan merintih dengan Pemilik hatinya iaitu Allah s.w.t.

2 LIHAT - Melihat ciptaan Allah s.w.t.

Melihat ciptaan Allah seperti pantai, bukit-bukau, laut dan sebagainya menjadikan manusia berasa tenang, bahagia dan gembira. Melihat, mendengar dan berfikir tentang keindahan itu sudah cukup bagi mereka merasakan keindahan alam dan kebesaran Pencipta-Nya. Sifat sedemikian merupakan sifat orang yang bertakwa iaitu orang yang berusaha memelihara dirinya daripada menyalahi hukum dan undang-undang Allah Taala.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang (silih berganti) dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan-Nya) kepada kaum yang mahu bertakwa.” (Surah Yunus 10: 6)

Ayuh kita ubah cara kita berhibur bagi mendapat ketenangan di hati. Semoga hati ini sentiasa tenang sehinggalah kita menemui Allah s.w.t. Amin

Ustaz Muneer Mohamed Farid Al-Hafiz
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.9


Ustaz Muneer Mohamed Farid Al-Hafiz

Penceramah personaliti radio

Kembali ke atas