Menu

 

A+ A A-

DOSA MELANGGAR SYARIATULLAH DAN SUNNATULLAH

PANDANGAN ahli agama dan saintis boleh diintegrasikan (disepadukan) dalam mencari punca berlakunya bencana alam, gejala sosial, penyakit-penyakit kronik, jenayah dan lain-lain malapetaka dalam kehidupan ini.

Jangan sekali-kali diletakkan pandangan para saintis dan ahli agama di titik konflik, sehingga seolah-olah agama dan sains itu bertentangan. Padahal hubungan antara agama (Islam) dan sains adalah dua perkara yang sangat serasi dan harmoni. Jika kita bijak memanfaatkan hubungan ini, kita bukan sahaja selamat hidup di dunia malah akan selamat juga hidup di akhirat.

Alam mematuhi hukum Allah

Bencana alam misalnya, menurut pakar sains, adalah disebabkan hukum alam “law of nature” dilanggar. Apabila ekosistem jagat raya dan kehidupan dikacau, dunia terdedah kepada bencana dan malapetaka. Pemugaran hutan tanpa usaha pemuliharaannya mendedahkan kepada banjir, tanah runtuh atau kemarau. Begitu juga penarahan bukit-bukau, gunung dan penambakan pantai yang melanggar hukum fizik mengakibatkan tanah runtuh, bah, pemanasan global dan lain-lain lagi.

Dalam Islam “law of nature” ini dikenali sebagai sunnatullah. Hukum ini juga hakikatnya hukum Allah, kerana ia ditetapkan oleh Allah untuk mengatur alam ini. Jika hukum Allah ini dilanggar maka tunggulah saat kehancurannya. Keseimbangan, kestabilan dan keharmonian alam kosmos (yang teratur) ini diamanahkan kepada manusia sebagai khalifah di muka bumi untuk diatur dan ditadbir. Manusia dikurniakan ilmu akal (acquired knowledge– sains, matematik dan lain-lain) untuk memahamihukum ini. Jangan sekali-kali membangun danmenguruskan pembangunan alam dengan melanggarhukum alam itu. Buruk padahnya!

Manakala bagi ahli-ahli agama pula, bencana alam mempunyai kaitan yang rapat antara perlakuan atau sikap manusia dengan Tuhan yang Maha Pencipta. Menurut ahli agama, Allah “berbicara” dengan manusia melalui tiga cara. Pertama, melalui ayat maqruah (ayat Quran) yang mengandungi hukum syariatullah. Inilah kalam Allah yang diturunkan kepada para rasul, khususnya Nabi Muhammad s.a.w. Kedua, melalui ayat manzurah (kejadian dan penciptaan alam nyata) yang mengandungi hukum sunnatullah. Dan yang ketiga, Tuhan “berbicara” melalui ayyamullah (hari-hari Allah) yakni kejadian dan peristiwa yang memaparkan qadak dan qadar-Nya.

Engkar syariat undang bencana

Menurut ahli agama, bencana alam boleh berlaku apabila manusia melanggar hukum syariatullah yakni dengan meninggalkan apa yang diperintah dan melakukan yang diharamkan. Allah telah mengisahkan bagaimana kaum-kaum terdahulu dihancurkan impak dosa-dosa mereka. Allah berfirman:

“Maka masing-masing (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu kerikil dan di antara mereka ada yang ditimpa suara keras yang mengguntur, dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan, dan Allah sekali-kali tidak hendak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” (Al-Ankabut: 40)

Bencana alam seperti tsunami, banjir dankemarau hakikatnya adalah Ayyamullah(peristiwa dan kejadian) yakni “bicara” Allahyang mengandungi nilai didikan kepada manusia. Jika itu dapat difahami, dihayati dan dijadikan panduan, maka hidup manusia pasti akan lebih tenang dan terarah. Bencana alam bukanlah fenomena alam biasa seperti anggapan sesetengah pihak.

Peringatan disebalik bencana

Tidak ada seorang pun yang sukakan bencana alam. Namun, tidak ada seorang pun yang dapat menghalangkan apabila ia datang menimpa. Hingga saat ini kemajuan sains dan teknologi belum dapat satu formula untuk mengatasi bencana-bencana alam. Gempa bumi misalnya, tidak dapat dielakkan — ia cuma dapat diramalkan atau dikesan kemungkinan bila berlakunya. Begitu juga ribut taufan, kemarau dan banjir. Yang ironisnya, sering terjadi bencana alam yang tidak dapat diramalkan sama sekali. la datang tiba-tiba. Secara langsung atau tidak ini adalah “mesej” daripada Allahs.w.t. agar manusia insaf akan kelemahan, kemungkaran dan kejahilannya. Firman Allah:

“Dan Kami (Allah) timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar.” (Surah al-Zukhruf 43: 48)

Justeru, ahli-ahli agama sering melihat di sebalik bencana alam itu ada banyak peringatan atau ‘ibrah daripada Allah s.w.t. yang perlu disedari dan difahami oleh manusia. Mengapa bencana alam ini terjadi? Apakah hikmah di sebaliknya? Dan bagaimana cara sebaik-baik menghadapinya?

Bukan hanya bencana alam malah malapetaka yang lain seperti berlakunya penyakit-penyakit kronik seperti AIDS, kemiskinan, kezaliman dan lain-lain juga adalah akibat langsung daripada perbuatan dosa manusia. Perhatikan hadis ini:

“Hai golongan Muhajirin, ada lima perkara jika berlaku kepada golongan kamu – maka aku berlindung kepada Allah bila hal itu terjadi kepada kamu – apabila suatu kaum melakukan perzinaan secara terang-terangan maka mereka akan diserang oleh penyakit yang belum pernah dialami oleh nenek moyang mereka. Bila mereka mengurangi timbangan dan takaran, mereka akan dihukum dengan kepapaan dan kemiskinan serta kezaliman pihak penguasa.

Setiap mereka yang enggan membayar zakat, mereka akan terhalang beroleh hujan dari langit. Dan kalau tidak kerana adanya haiwan dan binatang ternak, tidaklah akan diturunkan hujan. Setiap mereka yang melanggar janji Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan dijajah oleh musuh daripada bangsa lain, yang akan merampas sebahagian daripada harta mereka. Dan selama para pemimpin tidak menjalankan hukum-hukum yang terdapat dalam Kitabullah, maka sengketa akan berlaku sesama mereka.” (Riwayat Ibn Majah dan al-Baihaqi)

5Dosa Melanggar Syariatullah dan Sunnatullah

Cegah dengan iman dan takwa

Sekarang, jelaslah bahawa bencana dan malapetaka dalam hidup ini bukanlah satu perkara yang berkait dengan soal-soal fizikal dan material sahaja tetapi ia mempunyai pertalian yang erat dengan soal-soal dalaman manusia seperti iman, amal ibadah, akhlak taatatau derhakanya manusia kepada Allah s.w.t.

Oleh sebab itu, di samping kita sibuk dengan pelbagai usaha lahiriah untuk mengelakkan berlakunya bencana alam, gejala sosial, jenayah dan lain-lain, kita juga jangan sekali-kali lupa bermuhasabah (secara individu atau kumpulan) tentang hubungan rohani kita dengan Allah yakni yang berkait dengan dosa dan pahala, makruf dan mungkar, taat dan derhaka kita kepada Allah s.w.t.

Tidak ada satu kemungkaran yang dilakukan secara terang-terangan, secara beramai-ramai, tanpa pencegahan daripada ulama-ulama — melainkan pasti Allah timpakan azab seksa-Nya sebagai mehnah (didikan Allah secara langsung). Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Apabila harta baitulmal tidak dibahagikan kepada yang hak, dan amanah menjadi tawanan orang, dan zakat dipandang sebagai satu denda (paksaan), belajar ilmu agama bukan kerana Allah, suami taatkan isteri, derhaka kepada ibu bapa, seseorang lebih memuliakan kawan daripada bapanya, bersuara keras di dalam masjid, orang fasiq menjadi ketua, orang yang hina menjadi pemimpin, dimuliakan seseorang kerana takutkan kejahatannya, ramai penyanyi-penyanyi wanita, banyak alunan alat-alat muzik yang bertali, diminum arak daripada berbagai-bagai jenis, orang Islam kemudian melaknat orang Islam yang awal; maka apabila berlaku perkara-perkara itu tunggulah turunnya angin taufan yang dahsyat, gempa bumi, sedutan bumi, bertukar rupa manusia kepada kera dan babi, lontaran-lontaran azab, dan azab akan turun satu lepas satu seperti rantai manik yang telah putus dan terburai.” (Riwayat al-Tirmizi)

Oleh itu pada ahli-ahli kerohanian, punca bencana alam selain daripada ia memang satu sunnatullah yang mesti berlaku sepanjang zaman, ialah: kederhakaan manusiakepada Allah.

Sudah sewajarnya kita tidak hanya meneropong ke langit untuk mengesan kedatangan ribut atau taufan atau menyelam lautan untuk mengesan pergerakan kerak bumi untuk mengetahui sebab-sebab berlaku bercana, tetapi selamilah juga lubuk hati, sejauh mana dosa kita dengan Allah dan manusia. Bagaimana? Mampukah kita mengesan maksiat lahir atau maksiat batin yang menjadi punca turunnya bala dan seksa?

Kemurkaan Allah lumpuhkan teknologi manusia

Justeru, sering berlaku ketika manusia leka ketawa dalam melakukan maksiat dan derhaka, ahli-ahli agama sudah tahu bahawa saat mereka menangis ketika menerima bencana, sudah semakin tiba. Pada ahli-ahli rohani tidak ada daya usaha yang paling berkesan untuk menyelamatkan manusia daripada bala bencana kecuali kembali kepada Allah, kepada Islam sebenar, lahir dan batin, sama ada yang berkait rapat dengan hablumminallah ataupun yang berkait dengan hablumminanas.

Tidak ada perlindungan yang sebaik-baiknya melainkan jaminan keselamatan daripada Allah. Contohnya, tidak ada gunung yang cukup tinggi untuk menyelamatkan diri daripada banjir besar yang telah menenggelamkan anak Nabi Nuh.

Firman Allah bermaksud: “Anaknya menjawab, ‘Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang tinggi untuk dapat memeliharaku daripada banjir.’ Nuh berkata, ‘Tidak ada yang melindungi hari ini dari azab Allah selain Allah sahaja yang Maha Penyayang.’” (Surah Hud 11: 42)

Ada kalanya kepakaran moden yang sofistikated “lumpuh” apabila berdepan dengan kemurkaan Allah. Suatu masa dahulu, Amerika, sebuah negara yang sebegitu maju itu pun terpaksa kembali kepada dukundukun tradisional Red Indian apabila dilanda kemarau yang panjang. Ertinya, Amerika terpaksa kembali kepada jalan-jalan “mistik” setelah jalan saintifik gagal menyelamatkan masalah. la terpaksa melangkah puluhan tahun ke belakang, dalam menghadapi ujian daripada Allah s.w.t.

Unprecedented! Dakwa Jabatan Geologi Amerika. Itulah ulasan awal tentang “Tsunami 26 Disember” oleh negara yang memiliki kemajuan sains dan teknologi tercanggih di dunia. Ulasan ini yang sempat saya ikuti menerusi siaran berita CNN sebaik berlakunya tragedi tersebut. Ya, siapa pun tidak menjangka gempa bumi yang berlaku dalam laut di Sumatera Utara akan membawa kemusnahan yang sangat dahsyat dan hebat ke atas negara-negara Asia hinggalah ke Afrika Timur!

Mencegah lebih baik daripada mengubat. Sehubungan dengan itu, kita seharusnya sentiasa insaf, bertaubat dan berusaha menghilangkan dan menahan seksa-Nya dengan terlebih dahulu cubamenghapuskan sebab-sebab atau dosa-dosa yang boleh“mengundang” kemurkaan Allah. Kita seharusnya tidakjemu-jemu berusaha, berdakwah dan berdoa, agar umatseluruhnya bertaubat dan meninggalkan kemungkaran.

Teladanilah sikap Rasulullah s.a.w. apabila kota Madinah diselubungi awan gelap atau tanda-tanda ribut akan berlaku. Diriwayatkan Baginda akan bergegas menuju ke dalam masjid, bersolat dan bermunajat dengan rintihannya:

“Ya, Allah janganlah Engkau turunkan bala ke atas kaumku.”

Peri takut dan gentarnya Rasulullah s.a.w. terhadap bala yang mungkin menimpa akibat dosa-dosa ini ialah sikap Baginda yang menyuruh para sahabat menutup muka dan menundukkan kepala apabila melalui lokasi tempat berlakunya azab kepada kaum Aad dan Thamud.

Malangnya, sikap sebegini selalu dianggap remeh oleh kebanyakan kita hari ini. Jalan yang ditempuh oleh Rasulullah s.a.w. dan para salafussoleh tidak dapat dilihat oleh hati yang telah pekat dan berkarat dengan maksiat. Amaran dan peringatan sering dimomokkan.Mengaitkan dosa dan bencana dianggap fikirankolot dan ketinggalan.

Sejarah nabi-nabi terdahulu nampaknya berulang lagi. Nuh diejek oleh umatnya ketika ia memberi peringatan tentang kedatangan banjir besar. Lut diejek dan diancam ketika ia memberi amaran datangnya seksa Allah s.w.t. Begitu juga yang menimpa Nabi Musa, Nabi Salleh dan nabi-nabi yang lain.

Jalan kebenaran selalunya didustakan. Yang benar dianggap salah, yang salah dianggap benar. Dunia tidak terbalik, tetapi hati dan akal manusia yang terbalik. ¤

 

Pahrol Mohd Juoi

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3

 

Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Kembali ke atas