Menu

 

A+ A A-

SYARAT JAMPI YANG BOLEH

Saya mengidap penyakit pelik. Bolehkah saya minta orang menjampi?

 

Menjampi atau rukyah hukumnya harus untuk setiap penyakit. Ulama bersepakat kebolehannya sekiranya memenuhi tiga syarat berikut:

 

1. Dengan kalam Allah atau nama-nama dan sifat-sifatNya.

2. Dengan bahasa Arab atau dengan bahasa lainnya yang diketahui maknanya.

3. Meyakini bahawa rukyah itu sendiri tidak memiliki pengaruh melainkan dengan takdir Allah. Utamakanlah berjampi dengan lafaz yang diajarkan oleh Nabi. Anas bin Malik pernah berkata kepada Tsabit al-Banani, seorang tokoh tabiin: “Mahukah kamu aku ajarkan jampi yang diajarkan oleh Rasulullah?” “Sudah tentu.”

Anas mengucapkan:

 JAMPI3

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan semua manusia yang dapat melenyapkan penyakit. Sembuhkanlah, Engkau sahajalah yang dapat menyembuhkan. Tiada yang berkuasa menyembuhkan kecuali Engkau, suatu kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit.” (Riwayat al-Bukhari)

Derhaka Masuk Islam

Saya memeluk Islam tanpa restu kedua-dua ibubapa saya. Bahkan mereka berkali-kali memberi amaran kepada saya dan saya dikira anak derhaka jika memeluk Islam. Derhakakah saya?

Soal iman ialah satu perkara yang akan menentukan masa depan kita di akhirat nanti. Saudara tidak dikira derhaka dalam soal memilih Islam. Al-Quran ada menjelaskan bahawa sekiranya kedua orang tua memaksa kamu untuk menyekutukan Allah, jangan kamu mentaatinya. Allah berfirman dalam surah Luqman ayat 15: “Jika keduanya (ibu bapamu) memaksa supaya engkau mempersekutukan Aku dengan sesuatu (tuhan) yang tidak engkau ketahui, maka janganlah engkau ikut keduanya.” Pendek kata, beriman kepada Allah itu satu kemestian walaupun tidak disukai oleh orang tua kita. Sungguhpun begitu, perhubungan keluarga tidaklah terputus. Oleh yang demikian, perbaikilah hubungan dengan berbuat baik dan tunjukkanlah kemurnian Islam. Semoga mereka akan tertarik untuk mengikuti jejak saudara suatu masa nanti.

JAMPI 2 

Sedih Maksiat Berleluasa

 

Saya melihat hari ini banyak manusia berbuat maksiat dan dosa. Mengapa perkara ini terjadi?

Sebenarnya tergelincir dalam kesalahan dan dosa ialah fitrah manusia. Nabi bersabda: “Demi Allah yang hidupku dalam genggaman-Nya, sekiranya antara kamu semua tidak ada yang melakukan dosa, sesungguhnya Allah akan menggantikan kamu dengan generasi atau kaum yang berbuat dosa, lalu mereka meminta ampun kepada Allah, lalu Allah mengampuni dosa-dosa yang mereka lakukan.” (Riwayat Muslim) Apa yang penting, setiap kali tersilap atau terbuat dosa, segeralah bertaubat. Nabi bersabda: “Semua anak Adam itu pelaku salah. Namun sebaik-baik pelaku salah ialah orang yang bertaubat.” (Riwayat al-Tirmizi)

Hukum Onani

 

Adakah dosa melakukan onani sama dengan berzina?

 

Onani bukannya makruh malah haram. Namun dosanya tidaklah sama dengan berzina. Onani haram kerana air mani tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya. Air mani hanya boleh dikeluarkan untuk isteri yang sah. Ertinya hanya orang yang sudah berkahwin sahaja boleh mengeluarkannya. Itu pun dia tidak boleh dikeluarkan dengan tangan sendiri. Allah berfirman dalam surah al-Mukminun ayat 5 hingga 7: “Dan orang yang memelihara kemaluan mereka kecuali terhadap isterinya atau hamba sahayanya, mereka demikian itu tidak tercela. Tetapi sesiapa yang berkehendak selain yang demikian itu, maka mereka itu ialah orang yang melampaui batas.”

 

Semakin Cepat, Tanda Kiamat

 

Benarkah antara tanda-tanda kiamat, masa berlalu dengan pantas?

 

Benar. Antara tanda-tanda kiamat ialah peredaran masa dengan pantas. Rasulullah bersabda: “Hari Kiamat tidak akan terjadi sehinggalah ilmu dihilangkan, banyak berlaku gempa bumi, masa terasa amat singkat, muncul pelbagai fitnah, pembunuhan terjadi di merata tempat sehinggalah harta melimpah ruah dalam kalangan kamu.” (Riwayat al-Bukhari) Imam al-Nawawi menjelaskan: “Maksud masa berlalu terlalu pantas itu ialah tiadanya keberkatan. Misalnya faedah yang seseorang patut dapat dalam masa sehari hanya dimanfaatkan dalam masa sejam.” Maka pada masa kini kita boleh lihat fenomena ini begitu ketara terjadi. Perhubungan komunikasi dan perjalanan sebelum ini memakan masa berbulan-bulan bahkan bertahun-tahun lamanya kini boleh dilakukan dalam masa beberapa ketika sahaja.

 

Afdal Paling Belakang

Saya baru dengar bahawa saf wanita yang paling baik adalah yang paling belakang. Betulkah ustaz?

Benar. Saf yang paling utama bagi wanita ialah saf terakhir kerana tempatnya jauh daripada lelaki yang dapat menimbulkan fitnah. Manakala bagi lelaki, saf yang paling utama adalah yang paling hampir dengan imam kerana lebih jauh daripada tempat solat wanita agar wanita tidak dapat melihat auratnya yang dapat menyebabkan fitnah. Rasulullah bersabda: “Sebaik-baik saf bagi lelaki adalah yang paling hadapan dan seburuk-buruk saf lelaki adalah yang paling belakang. Sedangkan sebaik-baik saf bagi perempuan adalah yang paling belakang dan seburuk-buruk saf perempuan adalah yang paling hadapan.” (Riwayat Muslim)

JAMPI4

Jumaat Penghulu Hari

Mengapa hari Jumaat dikenali sebagai penghulu hari?

Hari Jumaat ialah hari yang besar di sisi Islam berbanding hari-hari yang lain. Banyak peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah manusia berlaku pada Hari Jumaat. Rasulullah bersabda: “Sebaik-baik hari yang matahari terbit ialah hari Jumaat. Pada hari itu Nabi Adam diciptakan dan dimasukkan ke dalam syurga. Pada hari itu juga Nabi Adam dikeluarkan dari syurga.” (Riwayat Muslim)

Solat Witir

Apakah hukum solat witir? Benarkah ada pendapat bahawa solat witir hukumnya wajib? Harap dapat pencerahan.

Tidak dinafikan memang ada ulama yang berpendapat bahawa solat witir hukumnya wajib antaranya Imam Abu Hanifah. Namun pendapat yang terpilih, solat witir hukumnya sunat muakkad iaitu ibadah sunat yang sangat dituntut. Walaupun demikian, bukanlah bererti kita boleh memandang remeh solat sunat ini. Kewajipan seorang Muslim ialah mengikut sunnah Rasulullah. Solat witir itu sendiri wajib ke atas Baginda.

Wallahu a‘lam.

 

 

 

 

Dato’ Haji Ismail Kamus

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 12

 


 

Dato’ Haji Ismail Kamus

Lulusan Ijazah Sarjana Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau pernah menjadi guru, pegawai penyelidik dan pegawai dakwah selama 15 tahun di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), INTAN dan Pusat Islam. Jawatan akhir beliau ialah sebagai pakar rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan. Kini sebagai pendakwah bebas di samping menjadi peniaga dan pengamal perubatan Islam Darus Salam.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas