Menu

 

A+ A A-

IMAM MALIK BIN ANAS

Nama: Malik bin Anas bin Malik bin Abi ‘Amir al-Asbahi.

Lahir: Menurut al-Zahabi, Imam Malik lahir pada tahun 93 Hijrah, bersamaan dengan tahun kematian Anas bin Malik. Diriwayatkan bahawa beliau berada dalam kandungan ibunya selama 3 tahun.

Guru-guru

Malik mula menuntut ilmu sejak usianya belasan tahun. Antara guru beliau yang banyak mempengaruhi keilmuannya ialah Nafi‘ (Maula Ibn Umar), Said al- Maqburi, Ibn Syihab al-Zuhri, Abdullah bin Dinar, Ja’far bin Muhammad al-Sadiq dan lain-lain.

imam malik1

Pujian Ulama:

Keilmuan Imam Malik diiktiraf oleh seluruh dunia kesarjanaan ilmu Islam pada masa hidupnya lagi. Sufyan bin ‘ Uyainah berkata: “Malik adalah ulama ahli Hijaz. Beliau hujah untuk ahli ilmu pada zamannya.” Imam Syafi‘i pernah mengulas: “Apabila disebut nama-nama ulama, maka Maliklah bintangnya.” Imam al-Zahabi merumuskan: “Setelah zaman tabiin, tidak ada seorang ulama di Madinah yang menandingi Imam Malik dalam ilmu, fiqah, kewibawaan dan hafalannya.”

imam malik3

 

Kewibawaan Majlis Ilmunya

Majlis ilmu Imam Malik adalah sebuah majlis yang penuh wibawa. Dalam majlis tersebut, hanya hadis dan fiqah yang diperbincangkan. Seorang murid membaca hadis dari kitabnya, Imam Malik mendengarkan dan menjelaskan maknanya. Semua murid yang lain mendengarkan dan mencatat dengan penuh perhatian. Imam Malik tidak menyukai perdebatan dan gelak ketawa dalam majlis ilmu. Jika ada yang melanggar adab ini, beliau akan mengeluarkannya daripada majlis tersebut.

Tawaran

Suatu ketika, Khalifah al-Mansur datang ke Makkah untuk melaksanakan ibadah haji. Baginda segera meminta Imam Malik untuk berjumpa dengannya. Keduanya lalu berdiskusi tentang pelbagai perkara berkenaan dengan hukum agama. Kelihatan Khalifah sangat teruja dengan keluasan ilmu yang dimiliki oleh Imam ahli Madinah ini. Khalifah al-Mansur lalu berkata: “Beta berniat untuk memperbanyak al-Muwatta (kitab hadis dan fiqah karangan Imam Malik) dan mengutusnya ke seluruh negeri. Lalu beta memerintahkan semua rakyat untuk melaksanakan isinya dan meninggalkan kitab-kitab yang lain.

Sebab menurut beta, mazhab yang benar adalah mazhab ahli Madinah.” Malik berkata: “Wahai Amirul Mukminin, janganlah tuanku laksanakan niat ini. Sesungguhnya masyarakat kita telah mempunyai pendapat masing-masing. Mereka juga membaca hadis dan memiliki riwayat. Setiap orang bebas mengamalkan pendapat yang menurutnya benar sesuai dengan fatwa para sahabat Nabi. Mencabut amalan dan pendapat yang selama ini diyakini bukan perkara ringan. Maka biarkanlah setiap orang melaksanakan pendapat yang menjadi pilihan mereka masing-masing.” Sungguh bernas sekali! Mendengar jawapan si imam, Khalifah al-Mansur tidak jadi melaksanakan hasratnya itu. Baginda berkata: “Demi Allah, andai engkau setuju, nescaya beta akan segera melaksanakan niat ini!”

Wafat

Pada akhir hayatnya, Imam Malik mengidap satu penyakit. Pada awalnya, beliau masih mampu menghadiri solat Jumaat, jemaah dan solat jenazah di masjid. Namun lama-kelamaan, beliau tidak mampu lagi melakukan semua itu. Beliau duduk di rumah dan melayani setiap tetamu yang datang. Imam Malik meninggal dunia pada 14 Rabiulawal 179 H. Jenazahnya dikuburkan di pekuburan Baqi‘ di Madinah.

imam malik2

 

Wallahu a‘lam.

 

Ust. Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 12

 


 

 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas