Menu

 

A+ A A-

SOLAT DUDUK DI ATAS KERUSI

Tiada Beza

Saya pernah mendengar dakwaan bahawa solat duduk di atas kerusi tidak disyariatkan. Ini kerana cara duduk yang dibenarkan Nabi adalah duduk secara langsung tanpa sebarang perantara. Mohon penjelasan.

Jawapan: Berdiri ialah antara rukun solat fardu bagi orang yang mampu. Ini berdasarkan firman Allah mafhumnya: “Dan berdirilah kerana Allah (dalam solat) dengan taat.” (Surah al-Baqarah: 238) Sekiranya ada orang yang tidak mampu atau menghadapi kesukaran untuk berdiri, maka harus baginya untuk solat dalam keadaan duduk. Manakala bagi solat sunat, seseorang itu boleh sahaja solat dengan cara duduk walaupun tanpa keuzuran. Imran bin Husain menceritakan: “Aku terkena buasir. Lalu aku bertanya Nabi tentang solat. Nabi pun menjawab maksudnya: “Solatlah dalam keadaan berdiri. Jika kamu tidak mampu, maka dengan cara duduk. Jika kamu tidak mampu, maka dengan keadaan mengiring.” (Riwayat al-Bukhari) Dalam hadis ini, keharusan duduk dalam solat adalah bersifat umum dan merangkumi semua keadaan. Syarak tidak membezakan keadaan duduk dalam masalah ini. Oleh sebab itu, tidak boleh dikhususkan cara atau melarang cara tertentu melainkan didatangkan dengan dalil syarak. Maka tidak ada mana-mana ulama pun membezakan keadaan duduk.

Huraian Ulama

Bolehkah ustaz kupas lebih lanjut dengan membawa perbahasan yang telah diutarakan oleh para ulama?

Jawapan: Dari sudut bahasa, duduk itu lawan bagi berdiri. Maka tidak semestinya duduk itu caranya duduk di atas tanah. Ahli bahasa yang bernama Abu al-Husain Ahmad bin Faris bin Zakaria berkata dalam Mu‘jam Maqayis al-Lughah tentang makna duduk solat duduk2: “Apabila seseorang itu dalam keadaan berdiri, keadaan itu adalah berlawanan dengan duduk.” Al-Khalil bin Ahmad al-Farahidi dalam kitab al-Ain turut menyentuh hal ini dengan berkata bahawa duduk di atas kerusi tidak ada bezanya dengan duduk di atas unta.

Nabi Tidak Pernah Buat

Nabi pernah sakit tetapi Baginda tidak solat secara duduk ketika itu. Bagaimana untuk menjawab hujah ini?

Jawapan: Hakikat Nabi tidak solat dengan duduk di atas kerusi ketika sakit bukanlah hujah untuk mengharamkan penggunaan kerusi dalam masalah ini. Ini adalah kerana meninggalkan sesuatu hukum yang umum tidak selama-lamanya sebagai hujah (dalil) atas pengharamannya. Maka dalil adalah kekal atas keumumannya. Perbuatan Nabi itu bukanlah mengkhususkan sesuatu hukum yang umum. Hukum haram memerlukan dalil daripada syarak untuk menyabitkannya. Kesimpulannya, sesungguhnya solat secara duduk di atas kerusi menyamai hukum solat duduk di atas tanah tanpa ada perbezaan. Tidak ada dalil syarak yang mengkhususkan solat secara duduk di atas tanah dan tidak ada pendapat tentangnya daripada ulama Islam. Tidak ada dalil syarak yang saling bertentangan dengan solat secara duduk di atas kerusi. Oleh sebab itu, menyempitkan sesuatu perkara yang diluaskan oleh syarak ialah perkara bidaah dalam agama.

Solat Duduk Pahala Kurang?

Betulkah orang yang solat fardu secara duduk pahalanya berkurangan berbanding solat dengan berdiri?

Jawapan : Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim pernah menjawab persoalan ini: “Sekiranya seseorang solat fardu dalam keadaan duduk kerana tidak mampu untuk berdiri, atau solat mengiring kerana tidak mampu berdiri dan duduk, maka pahalanya seperti dia melakukan solat dalam keadaan berdiri, tidak berkurang pahalanya. Inilah yang disepakati oleh ulama (al-Ashab) kami.”

solat duduk1

Wallahu a‘lam.

 

 

Ustaz Fuad Ismail

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 11

 


 

 

Fuad Ismail

Sarjana Muda Syariah di Universiti Al-Bayt, Jordan. Berpengalaman dalam bidang penulisan buku-buku agama dan bahasa Arab untuk sekolah rendah agama (SRA), KAFA, j-QAF dan untuk sekolah menengah. Kini menjawat jawatan sebagai Editor di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Kembali ke atas