Menu

 

A+ A A-

AWAS! PENDUSTA AGAMA

Ciri-ciri Pendusta Agama

2

pendusta

Soalan: Surah ini dimulai dengan pertanyaan yang menarik perhatian. Iaitu berkenaan dengan sifat-sifat para pendusta agama. Bolehkah ustaz jelaskan pengertian ‘agama’ (al-din) di dalam ayat ini?

Jawapan: Sebenarnya kalimat al-Din mengandungi beberapa makna. Imam al-Qurtubi memaknakan kalimat ini dengan maksud pembalasan dan hisab pada hari kiamat. Al-Qasimi pula mentafsirkannya sebagai pahala dan hukuman. Beberapa ahli tafsir yang lain juga mentafsirkannya sebagai Islam. Kesemua tafsiran ini boleh diterima kerana bertepatan dengan kalimah al-Din. Pendusta agama sedemikian adalah orang yang memiliki sifat-sifat orang kafir yang mendustakan agama Islam dan hari pembalasan, walaupun ia mengaku sebagai orang Islam yang beriman kepada hari akhirat. Allah menyebutkan di dalam surah ini ciri-ciri orang yang mendustai agama, iaitu:

1.  Suka menghalau dan menzalimi anak yatim.

2. Tidak menggalakkan memberi makanan atau sumbangan kepada golongan miskin. Perbuatan ini boleh membawa kemusnahan masyarakat pada hari ini. Oleh itu perlakuan ini termasuk dalam dosa-dosa yang sangat besar keburukannya.

Solat Tapi Diancam

Soalan: Saya merasa keliru dengan kandungan ayat keempat surah ini. Mengapa Allah mencela orang yang melakukan solat dan mengancamnya dengan seksa neraka pula?

Jawapan: Orang yang dimaksudkan di sini adalah mereka yang melalaikan solatnya. Terdapat beberapa pandangan ulama tentang sifat dan perilaku yang dikira sebagai melalaikan solat. Ibn Abbas berkata: “Orang yang melalaikan solat itu adalah orang yang melakukan ibadah solat namun tidak mengharapkan pahala daripada solatnya, dan dia tidak takut hukuman sekiranya meninggalkan solat.” Riwayat lain daripada Ibn Abbas juga mengatakan: “Orang yang lalai dalam solatnya adalah orang yang melakukan solat setelah habis waktu yang telah ditetapkan.” Abu al-‘Aliyah berpendapat: “Orang yang lalai daripada solat itu adalah mereka yang tidak solat pada waktunya, juga tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.” Maka saya menasihatkan orang ramai agar sentiasa menjaga solat kerana akibatnya sangat besar pada hari kiamat kelak. Ingatlah bahawa solat itu adalah rukun agama. Barang siapa yang meninggalkan solat maka dia telah meruntuhkan agamanya.

4

Sifat Riyak

Soalan: Bagaimana pula golongan yang riyak dalam solat?

Jawapan: Riyak ertinya suka menunjuk-nunjuk. Mereka menunjukkan kepada orang ramai bahawa mereka melakukan ibadah solat kerana taat kepada Allah padahal niat sebenarnya bukan kerana Allah. Mereka solat hanya untuk menjadi buah bibir masyarakat sebagai orang yang rajin solat. Adalah musibah besar apabila solat yang merupakan cara mendekatkan diri kepada Allah dijadikan medan untuk meraih pujian manusia. Golongan sebegini telah menyekutukan Allah dari sudut matlamatnya. Mereka tidak mencari reda Allah yang membuahkan kebahagiaan di dunia dan akhirat, sebaliknya mencari reda manusia yang menjauhkannya daripada Allah.

Menghalang Harta

Soalan: Pada ayat terakhir surah ini, Allah turut mencela dan mengancam golongan yang suka menghalang harta. Apa maksud ayat ini?

Jawapan : Terdapat dua belas pendapat disebutkan oleh Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya berkenaan dengan makna ayat ini. Antara pendapatpendapat tersebut:

1.  Ayat ini bererti mereka tidak membayar zakat harta.

2. Mereka menolak kebenaran. Kesimpulan daripada ayat ini menunjukkan betapa pentingnya menjaga hubungan dengan masyarakat di kejiranan kita. Khususnya orang yang lemah seperti anak yatim, fakir miskin dan mereka yang memerlukan bantuan kita. Golongan yang berada dan kaya perlu membantu golongan ini kerana nikmat kekayaan dating daripada Allah. Surah ini turut menekankan pentingnya menjaga hubungan dengan Allah dalam membina akhirat kita. Terutama sekali menjaga asas dan rukun terpenting agama iaitu melakukan solat pada setiap waktu yang telah ditetapka n. Mudah-mudahan Allah memberi hidayah kepada kita semua.

 

Wallahu a‘lam.

5

 

Dr. Hj. Zahazan Mohamed

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 13

 


 

Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.

Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

  TBBK1057 TBBK1157TBBK1182

   TBBK1052TBBK1297TBBK1126

    TBBK1214TBBK1052

Artikel berkaitan: « KELDAI DADAH MENCIUM JENAZAH »
Kembali ke atas