BERMULA DARI MEMILIH PASANGAN
- Ditulis oleh Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif
- Kategori Terkini
- Read 11634 times
Soalan: Saya mempunyai kawan yang sudah berkeluarga. Saya melihat anak-anaknya baik tingkah laku dan sangat menghormati orang tua. Sejuk mata memandang. Bila saya tanya, apa formulanya? Beliau menjawab, “Pilih pasangan yang solehah.” Apa pandangan ustaz?
Jawapan:
Nabi memberikan petunjuk kepada orang yang ingin berkahwin supaya benar-benar memegang prinsip utama iaitu memilih pasangan yang beragama. Sebab pasangan yang beragama dapat mengurus rumah tangga sebagaimana yang dituntut dalam Islam. Ia dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna dalam menunaikan hak pasangan dan anak-anak.
Rasulullah bersabda, “Wanita itu dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang memiliki agama, nescaya kamu akan bahagia.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam sebuah hadis lain, diriwayatkan bahawa Nabi bersabda: “Sesiapa yang mengahwini seorang wanita kerana kemuliaannya, maka Allah tidak akan menambahkan kepadanya melainkan kehinaan. Sesiapa yang mengahwininya kerana hartanya, maka Allah tidak akan menambahkan baginya melainkan kemiskinan. Sesiapa yang mengahwininya kerana kedudukannya, maka Allah tidak akan menambahkan baginya selain kerendahan. Dan sesiapa yang mengahwini seorang wanita untuk menjaga pandangannya, memelihara kemaluannya atau menyambung silaturahim, maka Allah akan memberkatinya dan wanita itu.” (Riwayat al-Tabarani)
Suami Derhaka
Soalan: Hadis tadi hanya menyebutkan perintah untuk lelaki sahaja. Bagaimana pula dengan wanita? Adakah wanita juga perlu memilih lelaki yang baik dan beragama untuk dijadikan suami?
Jawapan:
Sebenarnya Nabi telah memberikan panduan kepada wali perempuan untuk mencari lelaki yang beragama dan berakhlak untuk puterinya. Lelaki sebegini dapat melaksanakan kewajipannya secara sempurna dalam membina keluarga, mendidik anak-anak dan menjamin keperluan rumah tangga.
Rasulullah bersabda: “Apabila kamu sekalian didatangi oleh seseorang yang agama dan akhlaknya kamu redai, maka kahwinkanlah ia. Jika kamu sekalian tidak melaksanakannya, maka akan terjadilah fitnah di muka bumi ini dan tersebarlah kerosakan.” (Riwayat al-Tirmizi)
Tidak ada fitnah (cubaan) yang lebih besar daripada jatuhnya gadis Mukminah dalam genggaman seorang suami derhaka yang tidak bertanggungjawab serta tidak menegakkan maruah dan kemuliaannya.
Fitnah apakah yang lebih besar menimpa wanita solehah daripada lelaki derhaka yang memaksanya untuk berfoya-foya, bergaul bebas, menemani lelaki lain dalam majlis keramaian sehingga terlucut pakaian agama dan akhlak?
Betapa banyak gadis yang sewaktu berada di rumah keluarganya menjadi tauladan dalam memelihara kesucian dan maruah. Namun ketika berpindah ke rumah seorang lelaki derhaka, ia berubah menjadi wanita yang liar dan bergaul bebas. Ia sudah tidak lagi memelihara kesucian, kemuliaan dan maruah diri.
Kebiasaannya anak-anak yang lahir dan dibesarkan di dalam rumah pasangan yang tidak mempedulikan agama seperti ini akan membesar menjadi orang yang tersasar. Mereka menghalalkan yang haram dan akan terbiasa dengan kerosakan dan kemungkaran. Hal ini tidak mustahil.
Oleh itu, memilih pasangan berdasarkan agama salah satu faktor terpenting yang akan mewujudkan kebahagiaan suami isteri. Ia juga menjadi asas pendidikan Islam bagi anak-anak.
Panduan Memilih Pasangan
Soalan: Mungkin ustaz boleh menerangkan tentang tip pemilihan isteri sebab saya mengimpikan sebuah keluarga yang isterinya melahirkan anak-anak yang memiliki keimanan yang kukuh, tubuh badan yang sihat, berakhlak mulia, fikiran yang matang serta jiwa yang tenang dan bersih.
Jawapan:
Apabila kita berkehendak teman hidup, kita perlu memilih agar anak-anak yang lahir terpelihara agama dan akhlaknya. Dalam kitab Tarbiyatul Aulad Fil Islam, Dr. Abdullah Nashih Ulwan menyebut 5 perkara yang perlu diperhatikan dan utamakan ketika memilih pasangan:
Ustaz Mohamad Wahid Bin Abd. Hanif
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.13
Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif
Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.