Menu

 

A+ A A-

DI SEBALIK UJIAN SAKIT

Soalan: Saya mengidap penyakit kencing manis sejak tiga tahun lepas. Kaki saya telah membusuk sehingga bulan lepas mesti dipotong. Saya selalu memujuk hati agar terus bersabar atas ujian ini. Namun begitu, terkadang hati saya selalu bertanya: “Apakah hikmah Allah jadikan ujian sakit ke atas hamba-Nya?”

Jawapan:

Sebagai Muslim, kita mesti yakin bahawa Allah bukan sengaja menguji dan membuat kita menanggung kesusahan. Setiap perkara yang berlaku ada hikmah tersendiri sama ada diketahui oleh seseorang hamba ataupun tidak.

Rasulullah bersabda: “Setiap kepenatan, sakit, dukacita, runsing, kesusahan, walaupun sekadar tercucuk duri yang menimpa seorang Muslim atau Muslimah, maka Allah akan menghapuskan dengan sebabnya akan dosa-dosanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Antara hikmah, tujuan dan kelebihan sakit ialah membersihkan dosa, menggugurkan kesalahan, mengurangkan maksiat, menambahkan kebajikan, mendapat pahala di atas kesabaran dan keredaan menanggungnya. Ia juga untuk mengangkat darjat dan memuliakan kedudukan seseorang hamba serta mengingatkan kepada mati, menimbulkan rasa insaf dan takwa, lalu mendekatkan diri kepada Allah dengan beristighfar, bertaubat dan beribadat.

Sabda Rasulullah: “Seorang Muslim tidak ditimpa sesuatu ujian seperti sakit atau sebagainya kecuali Allah akan meluruhkan darinya dosa-dosa sepertimana gugurnya daun kayu dari pokoknya (pada musim kemarau).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kesemua ini hendaklah difahami dengan penuh keimanan terhadap qadak dan qadar Allah Yang Maha Pengasih. Semua Mukmin sentiasa mendapat rahmat Allah dalam semua keadaannya.

Ujian Para Nabi

ujian sakit2Soalan: Jika begitu kenapa para nabi dan rasul-rasul yang mulia dan maksum (tiada dosa) kebanyakannya dikenakan ujian sakit yang berat ini seperti Nabi Ayub, bahkan Rasulullah sendiri?

Jawapan:

Abdullah bin Mas‘ud pernah meriwayatkan bahawa pada suatu hari beliau masuk ke tempat Rasulullah yang sedang menderita sakit panas. Beliau berkata: “Ya Rasulullah, amat berat demam ini.”

Nabi menjawab: “Benar. Saya menderita dua kali ganda daripada orang biasa.”

Berkata Ibnu Mas‘ud: “Itu kerana tuan akan memperoleh pahala dua kali ganda daripada orang biasa?”

Jawab Nabi: “Benar, demikianlah keadaannya. Tiada seorang Muslim yang menderita, sekalipun berupa duri atau lebih daripada itu, melainkan Allah akan menghapuskan keburukannya dan digugurkan dosa-dosanya laksana gugurnya daun-daun dari pokoknya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jadi, para nabi yang maksum pun Allah uji untuk mengangkat darjat mereka ke tahap yang lebih tinggi. Kerana Allah mengasihi mereka, maka Dia memberikan ujian kepada mereka di dunia ini.

Sebagaimana sabda Rasulullah: “Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung kepada besarnya kesusahan. Apabila Allah mengasihi sesuatu kaum, mereka akan diduga dengan kesusahan. Sesiapa yang reda dengan kesusahan itu, maka ia akan mendapat keredaan Allah. Dan sesiapa yang tidak reda, dia akan menerima kemurkaan Allah.” (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Berdoa Minta Penyakit

Soalan: Jika demikian besar pahala dan hikmah bagi seseorang yang menghadapi penyakit, saya terfikir untuk berdoa agar diberikan lebih banyak penyakit. Adakah tindakan ini dibolehkan?

Jawapan:

Tidak boleh. Ini kerana seseorang Muslim dikehendaki sentiasa memohon afiat dan kesejahteraan di dunia dan akhirat, malah tidak boleh meminta agar ditimpa bala.

Abbas bin Abdul Mutalib berkata: “Wahai Rasulullah, ajarilah saya sesuatu untuk dipohon kepada Allah.” Baginda bersabda: “Pohonlah daripada Allah kesejahteraan.” Berlalu beberapa hari kemudian, Abbas kembali berkata kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, ajarilah saya sesuatu untuk dipohon kepada Allah.” Baginda kembali bersabda: “Wahai Abbas, wahai bapa saudara Rasulullah, pohonlah daripada Allah kesejahteraan di dunia dan akhirat.” (Riwayat al-Tirmizi) Sebagai persediaan sebelum tertimpa ujian, kita hendaklah melakukan ibadat ketika sihat dengan bersungguhsungguh. Tujuannya agar mendapat pahala yang sempurna ketika lemah dan sakit.

Rasulullah bersabda: “Apabila seorang hamba sakit atau bermusafir, dituliskan (pahala) baginya sebagaimana yang diamalkan sewaktu tidak bermusafir dan sihat.” (Riwayat al-Bukhari)

Akhirnya, sentiasalah berdoa agar Allah selamatkan kita dan orang yang kita sayangi daripada bala dan ujian. Salah satu doa yang Rasulullah ajarkan untuk selalu kita baca adalah:

 

DR. ABDUL BASIT ABD RAHMAN

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 13

 


 

Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)

Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

 

Kembali ke atas