Menu

 

A+ A A-

BERTUNANG JANGAN LAMA-LAMA

Ditulis oleh 

Soalan: Mohon ustaz kongsikan mengenai pertunangan. Bulan hadapan saya bercadang ingin meminang calon saya. Bolehkah ustaz jelaskan hukum membuat majlis pertunangan?

Jawapan:

Kebiasaannya pertunangan merupakan majlis bagi lelaki untuk meluahkan hasrat berkahwin dengan seorang wanita yang disaksikan oleh kaum keluarga dari kedua-dua pihak. Ia merupakan persetujuan dan proses perkenalan di antara dua pihak untuk berkahwin. Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradawi, pertunangan ialah penzahiran hasrat lelaki untuk berkahwin dengan seorang gadis.

Menurut Imam al-Syafii, hukum melakukan pertunangan ini adalah sunat. Maka, tidak menjadi kesalahan sekiranya kita melakukan sedikit majlis untuk mengisytiharkan kepada umum yang kita telah bertunang. Ini bagi mengelakkan ada pertindihan hajat dua lelaki kepada wanita yang sama. Ini dilarang oleh Nabi dengan sabdanya: “Seorang mukmin adalah saudara mukmin yang lain. Maka tidak halal bagi kamu membeli barang yang telah dibeli orang lain dan meminang seorang wanita yang telah dipinang orang lain, sehingga ia membatalkannya.” (Riwayat Muslim)

Namun yang menjadi persoalannya, adakah pertunangan ini perlu diadakan seperti majlis perkahwinan? Ini bergantung kepada pihak yang terlibat. Sekiranya majlis yang diadakan itu mengikut trend sehingga perlu memanggil wedding planner untuk mengatur majlis tersebut, adanya pelamin untuk mempelai sehingga perbelanjaannya melambung tinggi dan ada pula hantaran yang mewah, maka ia dikira pembaziran yang boleh membawa kepada haram.

Ada juga yang terlalu mengikut trend sehingga sanggup membuat pinjaman bank semata-mata untuk bertunang.

Fahamilah, bertunang ini adalah ikatan sementara dalam proses menuju ke alam pernikahan.

Tempoh pertunangan seeloknya digunakan untuk mendalami ilmu perkahwinan seperti hukum-hakamnya, mandi hadasnya sehinggalah ilmu pengurusan rumah tangga dan anak-anak. Kita selalu bersedia dari aspek material, tetapi daripada sudut ilmu masih ramai lagi yang mengabaikannya.

bertunang1

Tempoh Bertunang

Soalan: Ustaz, berapa lama tempoh yang sesuai untuk bertunang?

Jawapan:

Sebolehnya, tempoh bertunang ini tidak terlalu lama. Lama yang dimaksudkan itu bergantung kepada uruf kawasan seseorang. Jika tempoh lama itu setahun, maka ia mesti tidak lebih daripada setahun.

Berbalik kepada tujuan utama pertunangan, ia adalah proses perkenalan antara lelaki dengan perempuan yang ingin berkahwin dengan batasan-batasannya.

Tempoh pertunangan yang panjang akan menyebabkan kesan buruk yang susah dielakkan. Baginda memperingatkan: “Tidak berdua-duaan lelaki dan wanita melainkan syaitan adalah yang ketiga.” (Riwayat al-Tirmizi)

Peliknya ramai pasangan yang suka bertunang lama-lama kerana ingin menyimpan banyak duit. Mahu mengadakan walimah besar-besaran. Sedangkan Islam tidak pernah mensyaratkan kita untuk mengadakan walimah besar-besaran.

Ini kerana majlis yang diadakan hanyalah sehari. Tidak memadai kita berhabis duit dan perlu berhutang berpuluh tahun hanya untuk majlis yang sekejap sahaja. Sedangkan kehidupan selepas nikah itu yang wajib diutamakan dan memerlukan kewangan yang banyak.

Ikatan atau Kebebasan?

Soalan: Ustaz, apakah adab-adab yang perlu dijaga ketika bertunang?

Jawapan:

Masyarakat Malaysia suka menggunakan istilah “darah manis” ketika bertunang. Realitinya, ini adalah masa untuk kita memberi perhatian dan penjagaan rapi agar kita tidak terjerumus ke lembah maksiat.

Ujian yang tiba di saat ini selalunya besar. Waspadalah sebaiknya daripada bisikan syaitan. Seharusnya kita perlu tahu beberapa perkara di alam pertunangan, antaranya:

  1.  Tiada yang berubah. Ketika bertunang tiada apa-apa yang berubah dengan sebelumnya. Kamu dan dia tetap ajnabi yakni masih haram untuk bergaul dan bercampur. Cara kamu melihat, bercakap dan bergaul masih lagi terbatas dan perlu dijaga. Masih lagi haram untuk menaiki kenderaan berdua-duaan dan haram menyentuh dan disentuh.
  2. Tanggungjawab ibu ayah. Si gadis harus faham bahawa ia perlu patuh kepada ibu dan ayahnya, bukan kepada tunangnya. Kebiasaannya, ketika bertunang si gadis mula merasakan dirinya di bawah tanggungjawab tunangnya. Belum masanya lagi. Kamu belum miliknya sehingga kamu bernikah.

Walau bagaimanapun, Islam menggariskan beberapa adab sebagai garis panduan ketika bertunang:

  1. Bertemu di tempat yang terpelihara daripada fitnah dan maksiat seperti tidak kerap bertemu dan bertemu di rumah yang dihadiri ibu dan ayah.
  2. Kurangkan berkomunikasi melalui SMS dan telefon. Berhubung mengenai hal yang penting sahaja dan tinggalkan perbincangan yang mendatangkan syahwat. Berusaha memperbaiki diri dengan ilmu dan mendekatkan diri kepada Allah agar majlis pernikahan yang dirancang berjalan lancar dan kehidupan selepas pernikahan itu diredai.

Wallahu a‘lam.

 

USTAZ MUHAMAD AIZUDDIN HJ KAMARUL ZAMAN

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu13

 


 

Read 21490 times
USTAZ MUHAMAD AIZUDDIN HJ KAMARUL ZAMAN

Lulusan BA Kewangan Islam Unisza dan sedang melanjutkan pengajian di Akademi Agama Islam Universiti Malaya jurusan Usuludin. Kini bertugas sebagai Editor Majalah Gen-Q terbitan Telaga Biru Sdn Bhd.