Menu

 

A+ A A-

ZAKAT EMAS PERHIASAN

SAYA suka membeli dan mengumpul barangan kemas. Saya pernah mendengar jika kita ada emas perhiasan, sebanyak mana pun yang kita miliki, ia tidak dikenakan zakat. Benarkah begitu ustaz?

Jawapan

Memang wujud perbezaan pendapat dalam hukum berkaitan emas perhiasan ini. Secara ringkasnya, hukum zakat boleh dibahagikan kepada tiga pandangan:

zakat-emas-perhiasan-2

 

Pihak berkuasa zakat Malaysia kebanyakannya memilih pandangan kedua iaitu wajib zakat jika melebihi had uruf (kebiasaan) masyarakat Islam Malaysia. Kadar uruf ini berbeza dari negeri-negeri yang mewajibkan zakat emas perhiasan.

Misalnya di Kuala Lumpur, uruf adalah sebanyak 150 gram. Manakala di Selangor hadnya sebanyak 800 gram dan beberapa negeri lain meletakkan kadar uruf sebanyak 200 gram. Pandangan ini juga dipilih oleh Imam Nawawi. Dalil kewajipan zakat ke atas emas perhiasan adalah hadis yang menceritakan seorang wanita menemui

Rasulullah dengan memakai dua gelang emas. Rasulullah bertanya kepadanya: “Apakah kamu telah mengeluarkan zakat bagi kedua-dua gelas emas ini? Jawab wanita itu: “Tidak.” Rasulullah seraya bersabda: “Apakah kamu mahu jika Allah menggantikan dua gelang emas ini dengan dua gelang api yang melingkarimu dalam neraka?”

Lalu wanita itu menanggalkan kedua-dua gelang itu dan diserahkan kepada Rasulullah sambal berkata: “Kedua-dua gelang ini adalah untuk Allah dan Rasulnya.” (Riwayat Abu Dawud)

Kiraan Kadar Zakat

Baru saya faham. Jika begitu, bagaimanakah cara mengira kadar emas perhiasan yang wajib? Adakah ia dikira daripada jumlah pemilikan keseluruhan ataupun jumlah yang melebihi had kebiasaan sahaja?

Jawapan

Ada dua pandangan utama dalam cara mengira zakat emas. Menurut pandangan dalam mazhab Syafii, jumlah zakat diambil dari keseluruhan pemilikan emas yang dipakai. Manakala pandangan kedua pula hanya mengambil kira daripada jumlah emas yang dimiliki setelah ditolak had atau kadar kebiasaan atau uruf. Untuk lebih memahami kaedah pengiraan ini, sila perhatikan contoh kaedah kiraan berikut (mengikut kadar uruf di Kuala Lumpur):

zakat-emas-perhiasan-3

Berlian dan Permata

Saya memiliki gelang, rantai dan cincin bertatahkan permata yang dihadiahkan oleh suami saya. Adakah kesemuanya dikenakan zakat?

Jawapan

Zakat hanya diwajibkan kepada nilai berat emas yang ada pada perhiasan itu sahaja. Adapun segala tatah berlian, batu permata dan sebagainya tidak dikenakan zakat kecuali satu pandangan daripada Imam al-Zuhri. Beliau mengatakan zakat bagi setiap permata tersebut dikenakan sebanyak satu perlima (al-khumus).

Yang diterangkan ini ialah bagi pemilikan bersifat kegunaan individu. Adapun jika ia diniagakan, maka kesemua nilai pemilikan tersebut hendaklah ditaksirkan dengan nilai mata wang dan dizakatkan sebanyak 2.5%.

Emas Rosak

Andaikan emas perhiasan tersebut rosak. Misalnya patah, sumbing atau terpenyek. Bagaimana pula hukumnya?

Jawapan

Hal ini sedikit rumit kerana kebanyakan ulama membezakan antara jenis cacat, tahap kerosakan dan niat pemiliknya terhadap emas tersebut. Saya ringkaskan perincian hukum ulama mengenai hal ini kepada beberapa bahagian kerosakan seperti berikut:

PERTAMA: Emas terpenyek. Dalam mazhab Maliki, wajib zakat ke atas emas ini sama ada niat pemiliknya ingin membaikinya atau tidak berniat apa-apa pun.

KEDUA: Emas tidak terpenyek, boleh dibaiki dengan sedikit pembetulan dan tidak memerlukan proses peleburan. Mazhab Maliki mengatakan jika si pemilik berniat membaikinya, maka tidak wajib zakat. Tetapi jika dia tidak berniat membaiki atau tidak berniat langsung, maka dalam keadaan ini ia wajib dizakatkan.

KETIGA: Patah atau rosak yang menghalangnya daripada digunakan, perlu dibaik pulih secara proses peleburan dan pembentukan, maka ia perlu dizakatkan. Haulnya bermula daripada tarikh patah.

KEEMPAT: Kerosakan yang tidak boleh digunakan lagi tetapi tidak memerlukan proses peleburan atau pembentukan serta penempaan semula. Dan jika hanya boleh dibaiki dengan mengimpal, ada sedikit perbezaan hukum:

Jika pemiliknya berniat untuk menjadikan emas itu seperti pemilikan dinar atau dirham (mata wang) atau sekadar simpanan, maka wajib dizakatkan. Kiraan haul bermula dari tarikh kerosakan. Jika pemiliknya berniat untuk membaiki emas tersebut, maka pendapat paling kuat antara fuqaha Syafii adalah tidak dikenakan zakat.

Jika pemiliknya langsung tidak berniat untuk menjadikannya simpanan, mata wang atau membaikinya, maka diwajibkan zakat.

Dalam mazhab Hanbali, tidak diwajibkan zakat bagi emas yang rosak namun boleh digunakan lagi. Kecuali jika pemiliknya berniat untuk mematahkannya dan melebur serta menempanya semula. Tetapi jika ia rosak dan tidak lagi boleh digunakan, maka ia diwajibkan zakat mengikut pandangan Ibn Qudamah. Ini kerana ia telah beralih kedudukannya seperti simpanan atau mata wang.

Wallahu a‘lam.

zakat-emas-perhiasan-4

 USTAZ AHMAD HUSNI ABD RAHMAN

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Islam Madinah, dan sedang menyambung Ijazah Sarjana (MA) Syariah di Universiti Malaya. Kini sebagai Eksekutif Zakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan. Juga sebagai panel slot Durrul Hikmah dan Bicara ad-Deen di radio IKIM.fm, di samping menjadi tetamu jemputan KL.fm, Selamat Pagi Malaysia, Islam Hadari (RTM1), Al-Kuliyyah (TV3) dan pengacara Bicara Mufti (RTM1). Beliau juga sebagai Jurubahasa Arab bagi Kerajaan Negeri Perak di Persidangan Negara-negara Islam Sedunia (OIC) 2003 dan berpengalaman sebagai mutawwif Haji dan Umrah sejak 1998.

Kembali ke atas