Menu

 

A+ A A-

KEBAIKAN KHILAF ULAMA

SOALAN: Sebagai seorang yang tidak mendalami ilmu agama, saya melihat khilaf atau perbezaan pendapat boleh membawa kepada perpecahan. Jadi apakah rasionalnya khilaf di kalangan ulama Islam? Mohon pencerahan daripada Ustaz.

JAWAPAN

Allah telah menjadikan perbezaan pendapat, cita rasa, keinginan dan segalanya menjadi tabiat kehidupan dunia dan para penghuninya. 

Firman Allah: “Dan kalaulah Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan manusia umat yang satu. Dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisih. Kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu, dan kerana itulah Dia menjadikan manusia. Dan dengan itu sempurnalah janji Tuhanmu: Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahanam dengan sekalian jin dan manusia (yang derhaka).” (Surah Hud: 118-119)

Khilaf di kalangan alim ulama memang suatu realiti dan Allah s.w.t telah menentukan perkara sedemikian. Namun perkara yang perlu diketahui adalah sebab berlakunya ikhtilaf itu. Dengan mengetahui punca tersebut, ia akan menghilangkan rasa pelik atau hairan golongan awam Muslimin terhadap isu ini.

Antara nikmat Allah ke atas umat ini, khilaf yang terjadi di kalangan ulama bukanlah dalam perkara usul (asas) agama dan sumbernya yang asli; Tetapi khilaf yang berlaku adalah dalam perkara yang tidak menjadi penghalang kepada penyatuan kaum Muslimin dan ia suatu realiti yang memang berlaku.

Rasulullah Tempat Rujukan

SOALAN: Adakah khilaf ini telah wujud sejak zaman Rasulullah lagi?

JAWAPAN

Tidak, wujud khilaf pada zaman Rasulullah. Ini kerana pada zaman itu, para sahabat merujuk terus kepada Baginda apabila berlakunya perselisihan pendapat di kalangan mereka. Maka Rasulullah akan berhukum dan menjelaskan kebenaran kepada mereka, sama ada apa yang diperselisihkan itu firman Allah, ataupun tentang hukum-hakam Allah yang belum diturunkan lagi hukumannya.

kebaikan-khilaf-ulama-2

Selepas itu akan turunlah wahyu Allah, al-Quran yang menjelaskan tentangnya. Kerana itulah banyak kita dapati dalam al-Quran, firman Allah yang bermula dengan:kebaikan-khilaf-ulama-3 yang bermaksud “Mereka menanyakan kepadamu”.

Sebagai contoh firman Allah: “Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan (dermakan). Katakanlah, “(Dermakanlah apa) yang lebih dari keperluan.” Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir.”’ (Surah al-Baqarah: ayat 219)

Juga banyak lagi ayat-ayat lain seumpamanya. Tetapi selepas kewafatan Rasulullah umat Islam hanya berselisih pendapat dalam hukum-hukum syariah yang tidak terlibat dengan asas utama syariah dan agama.

Khilaf Adalah Rahmat

SOALAN: Jadi apakah hikmah dan kebaikan khilaf ulama kepada umat Islam awam?

JAWAPAN

Setiap umat mempunyai kehendak yang berbeza dengan umat yang lain. Individu pun mempunyai kehendak yang berbeza-beza dan berubah-ubah, keadaan demi keadaan yang berlainan, sebagaimana firman Allah: “Sesungguhnya kamu melalui peringkat demi peringkat (dalam kehidupan).” (Surah al-Insyiqaq: 19)

Perbezaan juga berlaku kerana berbezanya jiwa dan perasaan manusia, kehendak, kecenderungan, minat dan sebagainya. Khilaf yang berlaku itu pada asalnya adalah rahmat dan keluasan syariah. Ia akan menjadi sempit dan susah apabila dimasuki oleh hawa nafsu, atau mementingkan diri sahaja, atau berlaku tanpa mengikut jalan yang dibenarkan oleh syariah. Pada ketika itu ia akan bertukar kepada perpecahan, perbalahan dan menimbulkan huru-hara di kalangan umat.

Seorang penulis Ishak bin Bahlul, telah menulis sebuah kitab, kemudian beliau pergi bertemu dengan Imam Ahmad dan mengatakan: “Kitab ini saya namakan ‘Kitab al-Ikhtilaf’.” Jawab Imam Ahmad: “Jangan kamu namakan kitab ini begitu, tetapi namakannya sebagai ‘Kitab al-Saa’ah (Kelonggaran).” Ini menunjukkan kepada kefahaman Imam Ahmad yang begitu mendalam.

Berkata sebahagian ulama tentang para sahabat: “Persepakatan para sahabat dalam sesuatu masalah menjadi hujjah yang kuat. Ikhtilaf antara mereka pula membawa rahmat yang sangat luas.”

Umar bin Abdul Aziz berkata: “Sesuatu yang saya tidak suka adalah apabila sahabat-sahabat Rasulullah tidak berikhtilaf dalam sesuatu masalah. Ini kerana apabila mereka bersepakat (ijmak) atas sesuatu hukum, orang yang menyalahinya akan dikira sebagai mereka yang sesat dan salah. Sedangkan apabila mereka berikhtilaf, maka orang ramai akan mengambil pandangan daripada sahabat yang berlainan, ini akan menjadikan hukum itu mempunyai keluasan.”

Maka inilah yang dikatakan rahmat buat umat Islam. Mereka boleh memilih untuk mengikut pandangan ulama mana yang dirasakan paling tepat dalil dan ijtihadnya.

Wallahu a‘lam.

kebaikan-khilaf-ulama-4

DR. ABDUL BASIT ABD RAHMAN

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


 

Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)

Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

 

Kembali ke atas