Menu

 

A+ A A-

TERIMA HIBAH, DAPAT PUSAKA JUGA?

Seorang wanita meninggal dunia. Harta warisannya berjumlah RM55 ribu. Pewarisnya ialah ibu, suami, seorang anak perempuan, dua orang cucu perempuan daripada anak lelaki, seorang cucu lelaki daripada anak perempuan dan dua orang saudara kandung perempuan. Mohon ditunjukkan cara pembahagiannya.

Jawapan

Dalam situasi ini, cucu lelaki daripada anak perempuan bukan ahli waris si mati. Ahli waris bagi si mati ialah ibu, suami, seorang anak perempuan, dua orang cucu perempuan daripada anak lelaki dan dua saudara kandung perempuan (seibu sebapa). Akan tetapi, dua saudara kandung perempuan (seibu sebapa) tidak mendapat harta kerana tiada baki harta selepas dibahagikan.

Maka ibu mendapat 1/6, suami mendapat 1/4, anak perempuan mendapat 1/2, dua orang cucu perempuan mendapat 1/6 dan dua orang saudari kandung mendapat 1/6.

Jumlah harta pusaka dibahagikan 12. dua bahagian untuk ibu, 3 bahagian untuk suami, 6 bahagian untuk anak perempuan dan 2 bahagian untuk dua cucu perempuan. Masalahnya ditambah (awl) menjadi 13, dan dua orang saudara perempuan seibu sebapa tidak mendapat bahagian kerana tiada baki.

Harta warisan berjumlah RM55,000 dibahagi 13 bahagian, tiap bahagian RM4,230.80. Ibu mendapat RM8,461.60, suami mendapat RM12,692.40, anak perempuan mendapat RM25,384.80 dan dua orang cucu perempuan mendapat RM8,461.60.

terima-hiba-dapat-pusaka-juga-2

Baki Harta Hibah

Sebelum bapa saya meninggal dunia, beliau telah membahagikan tiga perempat daripada keseluruhan hartanya kepada dua orang adik saya. Saya dan abang saya tidak mendapat apa-apa pun. Kini beliau telah meninggal dunia. Adakah kedua-dua orang adik saya itu masih berhak ke atas baki satu perempat harta peninggalan?

Jawapan

Untuk menyelesaikan permasalahan ini, ada beberapa perkara yang perlu dijelaskan. Pertama, adakah harta yang diberikan kepada dua orang adik itu sebagai hibah? Jika sebagai hibah, maka ada dua syarat sahnya:

1. Dilakukan ketika bapa sihat, bukan berkeadaan sakit yang dikhuatiri membawa maut. Hibah yang diberikan oleh orang sakit dikira sebagai wasiat.

2. Diserahkan terus tanpa ditangguhkan. Ertinya, jumlah tiga perempat harta itu diserahkan kepada kedua-dua orang adik dan terus menjadi hak milik mereka.

Sekiranya harta itu ditunda penyerahannya kepada selepas kematian, maka ia dikira sebagai wasiat, bukan hibah. Dan jika harta itu sudah diserahkan sebahagiannya sahaja, maka hanya yang sudah diserahkan sahaja sah sebagai hibah. Manakala harta yang belum diserahkan tidak dikira sebagai hibah.

Jika harta yang diberikan kepada kedua-dua adik itu sebagai wasiat, maka wasiat untuk ahli waris tidak sah, kerana ahli waris telah ditetapkan bahagiannya oleh Allah. Sekiranya kita hendak mengikut pandangan yang membolehkan wasiat untuk ahli waris, maka pandangan itu mensyaratkan agar wasiat tersebut dipersetujui oleh ahli waris lain. Tetapi jelas di sini bahawa saudara tidak menyetujuinya, maka wasiat tersebut tidak sah.

Berlainan pula halnya jika harta yang telah diberikan kepada dua orang adik tersebut adalah hibah dengan cara yang sah. Dalam hal ini selepas bapa meninggal, kedua-dua orang adik tadi masih berhak mewarisi sebahagian daripada baki satu perempat harta peninggalan. Ini kerana mereka adalah ahli waris.

Hutang Puasa

Seorang lelaki yang tidak mempunyai anak meninggal dunia. Beliau hanya ada seorang isteri, lima orang saudara wanita, dua orang saudara lelaki serta ibu dan bapa. Harta dalam simpanannya bernilai RM40 ribu, sebuah kereta bernilai RM20 ribu dan sebuah rumah bernilai RM100 ribu yang sekarang didiami oleh isterinya. Ia juga mempunyai hutang puasa Ramadan sebanyak 30 hari kerana sakit yang terlalu lama. Bagaimanakah cara membahagikan harta warisannya?

Jawapan

Si mati meninggalkan harta dalam simpanan bernilai RM40 ribu, kereta bernilai RM20 ribu dan rumah bernilai RM100 ribu. Maka jumlah keseluruhan hartanya ialah RM160 ribu.

Dalam situasi ini, ahli warisnya ialah isteri, ibu, bapa, dua orang saudara lelaki dan lima orang saudara perempuan. Bagi isteri 1/4, ibu 1/6 dan bapa 1/6 berserta baki. Dua orang saudara lelaki dan lima orang saudara perempuan tidak mendapat harta warisan kerana terhalang oleh bapa si mati.

Harta pusaka dibahagikan kepada 12 bahagian. Untuk isteri 3 bahagian, ibu 2 bahagian dan bapa 2 bahagian ditambah baki 5 bahagian menjadi 7 bahagian. Jumlah harta RM160 ribu dibahagi 12 menjadi RM13,333. Isteri mendapat 3 bahagian iaitu 3 x RM13,333 menjadi RM39,999. Ibu mendapat 2 bahagian iaitu 2 x RM13,333 menjadi RM26,666, dan bapa mendapat 7 bahagian iaitu 7 x RM13,333 menjadi RM93,333.

Untuk memudahkan pemahaman, lihat rajah berikut:

terima-hiba-dapat-pusaka-juga-3

Seorang yang tidak berpuasa disebabkan sakit, maka diwajibkan mengqadanya sebanyak hari ia tidak berpuasa jika telah sembuh. Jika seorang yang sakit berterusan sakitnya sehingga mati, maka ia tidak wajib mengqadanya. Namun demikian, jika salah seorang ahli warisnya mengqada untuknya, maka yang demikian adalah lebih baik.

Wallahu a‘lam.

 DR. MUSA BIN FATHULLAH HARUN

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


 

Dr Musa bin Fathullah Harun

PhD Syariah, Universiti Al-Azhar dan mantan pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Berguru kepada ramai ulama antaranya Dr Hasan Hito dan lain-lain. Buku-buku hasil tulisannya telah diterbitkan di dalam dan luar Negara, antaranya: Sistem Tasawuf dalam Islam, Manusia dan Makhluk Ghaib di Sekelilingnya, dan Pengantar Tasawuf Islam. Kini beliau merupakan penceramah bebas di negeri Selangor.

Kembali ke atas