Menu

 

A+ A A-

YAHUDI DAN TAURAT

Siapakah Yahudi dan dari mana asalnya perkataan Yahudi? Apakah yang terkandung dalam kitab Taurat? Mohon penjelasan daripada ustaz.

Jawapan

Al-Shahrastani berkata dalam kitab al-Milal Wa al-Nihal: “Apabila disebut Haada Arrajul yahudi-dan-taurat-4 bererti orang itu telah kembali dan bertaubat.” Nama ini telah menjadi kebiasaan dan kelaziman kepada mereka berdasarkan kata-kata Nabi Musa: “Inna hudna

ilaika (Sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepada-Mu).” (Surah al-A’raf: 156)

Orang Yahudi ialah umat Nabi Musa. Kitab mereka ialah Taurat dan ia merupakan kitab pertama yang turun dari langit. Ini bererti yang diturunkan kepada Ibrahim dan para nabi yang lain tidaklah dinamakan kitab tetapi suhuf (lembaran-lembaran).

Segalanya terkandung dalam safar-safar (bab-bab). Safar pertama berbincang awal penciptaan. disebut hukum-hakam, berita-berita, kisah-nasihat-nasihat dan safar-safar yang berikutnya.

Diturunkan juga kepada Nabi Musa loh-loh dalam bentuk ringkasan kandungan Taurat. Ia mencakupi kandungan ilmu dan amali. Mereka mengatakan bahawa Nabi Musa telah menyampaikan rahsia-rahsia Taurat dan loh-loh itu kepada Yusha’ bin Nun sebagai satu simpanan yang perlu disampaikan kepada anak-anak Nabi Harun. Mereka menganggap kehormatan ini mesti dikongsi antara Musa dan Harun sebagaimana firman Allah: “Dan jadikanlah dia turut campur dalam urusan aku.” (Surah Taha: 32)

Oleh itu, Yusha’ bin Nun ialah seorang wasi (suruhan). Apabila NabiHarun telah wafat, wasiat berpindah kepada Yusha’ bin Nun sebagai satu simpanan untuk disampaikan kepada Syabir dan Sibr iaitu dua orang anak Nabi Harun. Ini kerana sebahagian wasiat dan imamah telah ditetapkan dan ada yang diserahkan kepada seseorang.

Hanya Musa

Ada yang mengatakan orang Yahudi tidak beriman dengan nabi-nabi sesudah Nabi Musa termasuklah Nabi Isa dan Muhammad. Apakah pegangan orang-orang Yahudi dan adakah wujud perbezaan pendapat antara mereka?

Jawapan

Orang-orang Yahudi mendakwa syariat hanyalah satu. Ia bermula dengan Nabi Musa dan tamat dengannya juga. Tidak ada syariat sebelumnya melainkan peraturan-peraturan akal dan hukum-hakam berbentuk kemaslahatan.

Mereka tidak menerima adanya nasakh (penghapusan hukum) sama sekali. Mereka mengatakan, “Tidak akan berlaku syariat sama sekali selepas Musa. Kerana memansuhkan ajaran-ajaran baginda merupakan bada’ dan itu mustahil ke atas Allah.”

Bada’ bererti Allah mengetahui sesuatu perkara setelah ia berlaku. Adapun sebelum ia berlaku, maka Allah tidak mengetahuinya. Perkara yang turut dibangkitkan ialah tentang tasybih, takdir dan raj’ah.

Tasybih adalah menyerupakan Allah dengan makhluk. Dalam Taurat, banyak sekali ayat-ayat yang menyebutkan tentang rupa Allah. Allah diceritakan bercakap secara lisan dengan suara, turun ke Tur Sina, duduk di atas singgahsana dan sebagainya.

 Mengenai persoalan al-Qadar, mereka berselisih pendapat tentangnya sama seperti perselisihan dua kumpulan dalam Islam. Golongan Rabbaniyyun dalam kalangan mereka sama seperti golongan Muktazilah di kalangan umat Islam. Mereka menafikan takdir dan mengatakan manusia bebas melakukan apa-apa sahaja. Dan golongan Qurra’un sama seperti golongan al-Jabriyyah. Mereka berkata manusia telah terikat dengan takdir.

Raj’ah pula adalah keyakinan bahawa orang yang telah mati boleh kembali ke dunia. Persoalan ini timbul disebabkan dua faktor. Pertama ialah berita tentang Uzair yang dihidupkan kembali selepas setahun kematiannya. Kedua, berita tentang Nabi Harun yang wafat di satu tempat yang misteri. Mereka telah menuduh Musa membunuhnya disebabkan perasaan dengki. Orangorang Yahudi lebih cenderung kepada Harun berbanding Musa. Mereka berselisih pendapat tentang kematian Harun. Ada yang mengatakan baginda telah mati dan akan dikembalikan semula (raj’ah). Dan ada yang mengatakan beliau tidak mati akan tetapi hilang dan akan kembali semula.

Kenabian Isa dan Muhammad

Adakah dalam Taurat terkandung perkara yang membenarkan kenabian Isa dan Muhammad?

Jawapan

Taurat secara keseluruhannya merangkumi dalil-dalil yang menunjukkan syariat Nabi Muhammad adalah benar. Akan tetapi Orang Yahudi telah menyelewengkan, mengubah dan menukarkannya sama ada dalam bentuk tulisan mahupun tafsiran.

yahudi-dan-taurat-2

yahudi-dan-taurat-3

Dalam Taurat disebutkan Allah datang dari Tur Sina, muncul di Sa’ir dan kelihatan di Faran. Sa’ir ialah bukit-bukit di Baitulmuqaddis iaitu tempat kelahiran Nabi Isa. Manakala Faran ialah bukit-bukit di Makkah tempat kelahiran Nabi Muhammad.

Rahsia-rahsia ketuhanan yang kelihatan melalui wahyu, al-kitab, munajat dan takwil terbahagi kepada tiga peringkat iaitu permulaan, pertengahan dan kesempurnaan. Maka kedatangan Tuhan dalam teks tersebut mirip kepada permulaan, kemunculan-Nya pula mirip kepada pertengahan dan kelihatan-Nya adalah mirip kepada kesempurnaan.

Taurat mengungkapkan tentang terbitnya fajar syariat dan penurunan kitab dengan istilah “datang dari Tur Sina”, terbitnya matahari dengan istilah “kemunculan di Sa’ir” dan sampai tahap sempurna dengan ungkapan “bersemayam dan kelihatan di Faran”. Kalimah-kalimah ini sebenarnya mengandungi pengertian tentang mengisbatkan kenabian al-Masih Isa dan Muhammad.

Wallahu a‘lam.

USTAZ MOHAMAD WAHID BIN ABD. HANIF

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


 

Last modified onFriday, 15 July 2016 08:51
Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif

Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas