Menu

 

A+ A A-

ABU AL-HASAN AL-ASYA'ARI

Nama

Ali bin Ismail bin Ishaq bin Salim bin Ismail bin Abdullah bin Musa bin Bilal bin Abu Burdah bin Abu Musa al-Asy’ari. Datuk beliau yang bernama Abu Musa al-Asy’ari ialah seorang sahabat Nabi yang berasal dari Yaman dan menetap di Basrah (Iraq). Beliau lebih dikenali dengan panggilan Abu al-Hasan al-Asy’ari.

Kelahiran

Abu al-Hasan al-Asy’ari dilahirkan pada tahun 260H di Basrah. Pada mulanya, beliau menganut fahaman Muktazilah. Beliau mempelajari mazhab ini daripada gurunya yang bernama Abu Ali al-Jubba’i. Manakala ilmu hadis dipelajari daripada gurunya yang bernama Zakariya al-Saji, Abu Khalifah al-Jumahi dan lain-lain. Al-Zahabi berkata: “Beliau terkenal dengan kecerdasan yang tinggi dan keluasan ilmunya. Beliau menulis pelbagai buku yang menunjukkan ketinggian ilmunya.”

Fahaman Muktazilah

Abu al-Hasan al-Asy’ari menganut fahaman Muktazilah selama 40 tahun. Bahkan beliau telah dianggap sebagai seorang imam dalam aliran ini. Namun begitu, beliau merasakan banyak permasalahan dan pertentangan yang berlaku dalam ajaran Muktazilah.

Salah satu rukun akidah Muktazilah ialah ri’ayat al-aslah. Yakni keyakinan bahawa Allah wajib memberikan yang terbaik kepada para hamba-Nya. Abu al-Hasan al-Asy’ari menentang akidah ini dan menegaskan bahawa Allah tidak berkewajipan melakukan sesuatu. Malah Dia bebas menentukan apa-apa yang dikehendaki untuk hamba-Nya.

Dalam perdebatannya dengan al-Jubba’i iaitu gurunya dari kalangan Muktazilah, al-Asy’ari bertanyakan satu soalan: “Ada tiga orang kanak-kanak. Salah seorangnya mati sebelum baligh, dan dua orang yang lain terus hidup. Apabila dewasa, salah seorang daripada kedua-duanya menjadi Muslim dan yang seorang lagi kafir. Apabila kedua-duanya meninggal dunia, di manakah tempat mereka?”

“Yang Muslim di syurga, yang kafir di neraka, dan budak kecil itu terselamat dari neraka,” kata al-Jubba’i. “Jika budak itu meminta untuk ditinggikan darjatnya, bolehkah dikabulkan?”

“Tidak. Allah akan berkata kepadanya: ‘Darjat tinggi ini hanya untuk orang Mukmin yang melakukan ketaatan. Kamu tidak memiliki amal ibadah seperti ini’.”

“Akan tetapi,” tanya al-Asy’ari lagi: “Anak itu boleh berkata: ‘Ini bukan salah saya. Jika Engkau menghidupkanku hingga dewasa, pasti aku akan melakukan ketaatan.’

Al-Jubba’i menjawab: “Allah akan berkata: ‘Aku lebih tahu daripada dirimu. Jika engkau dibiarkan dewasa, engkau akan menjadi kafir. Maka Aku matikan engkau ketika kecil untuk kebaikan dirimu sendiri.”

Al-Asyari menambah: “Kalau begitu, lelaki dewasa yang kafir boleh berkata: ‘Ya Allah, Engkau tahu aku akan mati kafir, lalu mengapa Engkau tidak mematikan aku ketika kecil sahaja untuk menjaga kebaikan diriku?” Al-Jubba’i tidak dapat menjawab soalan terakhir ini.

Bertukar Mazhab

Diceritakan bahawa Abu al-Hasan berkhalwat selama 15 hari di dalam rumahnya untuk berfikir dan mengkaji. Sepanjang tempoh tersebut, beliau tidak berjumpa dengan sesiapapun.

Setelah itu, beliau keluar dari rumahnya dan menuju ke masjid Basrah. Beliau menaiki mimbar masjid lalu berkata: “Aku pernah berpendapat bahawa al-Quran ialah makhluk, Allah tidak dapat dilihat di akhirat, dan perbuatanku adalah kuasaku bukan takdir Allah. Pada saat ini aku menyatakan telah bertaubat daripada akidah ini. Aku berlepas daripada mazhab Muktazilah seperti mana aku menanggalkan jubahku ini.” Lalu beliau menanggalkan jubahnya dan turun dari mimbar.

Bermula saat itu, Abu al-Hasan berjuang membela ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Beliau berdebat, menulis dan mengajar dengan mazhab ini. Satu persatu tokoh-tokoh Muktazilah mengakui kelemahan pendapat mereka, lalu menghilangkan diri.

Ahli Sunnah terbela dengan kehadiran Abu al-Hasan al-Asy’ari. Beliau disepakati sebagai seorang mujaddid yang mengembalikan ajaran Islam sebenar setelah cahayanya pudar dalam kegelapan bidaah. Kata Abu Bakr al-Ismaili: “Allah mengembalikan agama Islam dengan Ahmad bin Hanbal, Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Abu Nu’aim al-Istarbazi.”

Buku-buku

Abu al-Hasan al-Asy’ari sangat banyak menulis buku. Kebanyakannya berkenaan dengan ilmu kalam dan akidah. Antara buku-buku beliau yang masih boleh didapati kini ialah:

-Maqalat al-Islamiyyin

Buku ini mengandungi penjelasan tentang pelbagai aliran dan fahaman yang melingkari umat Islam.

-Al-Ibanah fi Usul al-Diyanah

Menjelaskan akidah beliau yang selari dengan fahaman ahli hadis dan Imam Ahmad bin Hanbal.

Wafat

Zahir bin Ahmad Al-Sarakhsi berkata: “Apabila hampir tiba ajal Abu al-Hasan di rumahku di Baghdad, beliau memanggilku. Lalu beliau berkata: “Saksikanlah bahawa aku tidak pernah mengkafirkan sesiapa daripada ahli kiblat (kaum Muslimin). Semuanya menunjukkan kepada sembahan yang satu. Perbezaan hanya berlaku dalam istilah sahaja.” Abu al-Hasan al-Asy’ari meninggal dunia pada tahun 324H di kota Baghdad.

Wallahu a‘lam.

abu-al-hasan-al-asyaari-2

USTAZ UMAR MUHAMMAD NOOR

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas