Menu

 

A+ A A-

PENGALAMAN ROHANI

SOALAN: Saya pernah terdengar sebuah ceramah tasawuf yang menyebut tentang “pengalaman rohani”. Apakah maksudnya ustaz?

JAWAPAN

Pengalaman rohani hanya dapat difahami oleh mereka yang menjalani jalan rohani dengan cara yang betul dan selamat di sisi agama. Dalam istilah hukum, kita selalu dikaitkan dengan mazhab. Timbulnya mazhab adalah berdasarkan pengalaman dan masalah hukum yang timbul dalam diri tokoh atau ulama mazhab tersebut. Contohnya, mazhab Syafii diasaskan oleh pengalaman Imam Syafii bersama penduduk Mesir, Iraq, dan Hijaz. Akhirnya, ia disebut mazhab bagi Imam al-Syafii.

Jika dalam ilmu fiqah, pengalaman menetapkan hukum seseorang disebut “mazhab” dan hanya berkaitan dengan perlakuan zahir mukalaf. Berbeza dengan dunia tasawuf, pengalaman tersebut dikenali sebagai “tariq” atau “tariqat” yang berkaitan dengan pengalaman rohani mukalaf.

Namun kini, istilah tarekat sering disalah tafsir disebabkan bidaah dilakukan oleh sebahagian pengasasnya. Sedangkan ia adalah momentum utama untuk mengukur kesahihan pengalaman rohani seseorang dalam dunia kesufian.

Kesan Pengalaman

SOALAN: Apakah yang dapat dirasai apabila terkesan dengan pengalaman kerohanian itu? Apa pula kesannya dalam hidup bermasyarakat?

JAWAPAN

Agama Islam menjaga manusia meliputi sudut zahir dan batin. Inilah perkara yang penting untuk dihayati oleh semua manusia. Kesan langsung setelah masyarakat dibangunkan dengan unsur kerohanian adalah wujudnya suasana amanah, sabar, ikhlas. Semua ini adalah agen mengurangkan masalah sosial dan memulihkan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat.

Apabila terkesan dengan pengalaman kerohanian yang dialami, seseorang akan mengalami perubahan secara nyata khususnya dari segi kualiti dan kuantiti ibadahnya. Ia juga akan terserlah dari sudut perlakuan dan gaya fikir dalam sesuatu perkara.

Hal ini amat penting untuk dibahaskan pada zaman yang hamper mengabaikan unsur kerohanian sehinggakan persoalan agama hanya dibatasi pada perkara fizikal. Lebih teruk sekiranya ia dikaitkan dengan kepentingan duniawi.

Khilaf Tasawuf

SOALAN: Tidak sedikit dalam kalangan pengkritik tasawuf termasuk golongan ilmuwan menyatakan ilmu tasawuf tidak mampu untuk berdiri sebagai ilmu yang kukuh dengan jati dirinya kerana banyak berlaku perselisihan sesame ulama tasawuf. Apa komen ustaz?

JAWAPAN

Persoalan ini biasa ditimbulkan oleh pengkritik tasawuf. Namun hikmah di sebalik kritikan itu, ulama tasawuf diberi ruang untuk menerangkan tasawuf dengan lebih jelas dan mendalam berdasarkan pemahamannya terhadap al-Quran dan hadis.

Ilmu tasawuf dan ahlinya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan al-Quran dan hadis. Hal ini ditekankan oleh Imam Ibn Taymiah dalam fatwanya bahawa: “Ahli al-Qulub (ahli sufi) adalah ahli yang memahami al-Kitab dan al-Sunnah.”

Hal yang sama juga beberapa kali pernah diterangkan oleh Imam al-Junayd al-Baghdadi dengan katanya: “Ilmu kami ini terikat dengan al-Kitab dan al-Sunnah.”

Oleh yang demikian, selagi ilmu tasawuf ini berpegang kukuh dengan  sumbernya, maka tiada alasan untuk menolaknya. Beberapa ucapan sufi yang nampaknya bercanggah dengan Al-Quran dan hadis sebenarnya dapat dijelaskan dengan baik apabila kita kaji dengan teliti.

Keabsahan ilmu tasawuf telah terbukti mampu membangkitkan suasana Islam, iman dan ihsan secara nyata dalam sejarah perkembangan manusia. Cuma penerangan berlaku disebabkan tahap ilmu dan makrifat yang berbeza.

Contohnya, pengertian takwa secara umum menggambarkan “takut” oleh sebilangan ulama sufi yang mana mereka menjadikan teori takut (khauf) dan harap (raja’) dalam memahami takwa. Namun sebilangan mereka pula mengertikan takwa sebagai “cinta” berdasarkan pengalaman rohaninya. Itulah perbezaan pendapat yang sebenarnya bukan khilaf di kalangan ahli tasawuf.

pengalaman-rohani-2

Tentang khilaf sesama ulama sufi, Prof. Jawdah al-Mahdi, dalam mukadimah bukunya al-Tasawwuf Ruh al-Islam menyatakan:

“Khilaf sesama ahli sufi adalah khilaf tabayyun (memberi penerangan) yang diasaskan oleh pengalaman masing-masing. Khilaf ini jauh sekali berbeza dengan khilaf dalam fiqah dan ilmu-ilmu lain. Khilaf dalam persoalan mahabbah (cinta) memberi jalan untuk memilih jalan cinta yang hamper dengan diri, lalu kita melazimkannya. Berpeganglah dengan sabda Nabi: ‘Takutlah pada Allah dengan sedaya upaya kamu.’ Kebanyakan perbezaan itu adalah dalam perkara al-nawafil (perkara sunat yang mendekatkan diri pada Allah) tentang mujahadah dalam bab zikir, cara dan bilangannya. Semua ini diasaskan dengan ilmu (‘ibrah) dan pengalaman.”

Dalam pada itu, ada juga ungkapan untuk merungkaikan permasalahan ini. Antaranya yang berbunyi: “Bilangan usaha (mujahadah gaya sufi atau “tariqat”) adalah sebanyak nafas manusia.”

Ertinya, perbezaan pendapat dan cara ahli sufi sebenarnya membuka jalan bagi orang awam untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan cara yang bersesuaian dengan diri mereka.

Wallahu a‘lam.

 

USTAZ ABDUL MUHSIEN SULAIMAN

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


Ustaz Abdul Muhsien Bin Sulaiman

Felo Akademik di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya. Mendapat pendidikan di Ma’had Muhammadi Lilbanin, Madrasah Rahmaniyyah Pasir Mas dan Universiti Malaya. Tumpuan penulisan beliau kebanyakannya dalam bidang Pendidikan Islam dan Tasawwuf Islam.

Kembali ke atas