Menu

 

A+ A A-

KOMPAS ILMU DI BELANTARA INTERNET

Ilmu Internet

SOALAN: Ramai yang suka merujuk kepada Internet untuk mendapatkan ilmu agama. Kebanyakannya para pemuda yang sangat cekap dalam penggunaan media baru. Soalan saya, sejauh mana maklumat yang terdapat di Internet boleh dipercayai?

JAWAPAN

Internet umpama belantara maklumat yang sangat luas. Sayangnya, ia juga sangat gelap dan mengerikan. Jika kita tidak berhati-hati dan pandai menilai ketika menerokainya, kita boleh tersesat.

Kemudahan Internet membuka peluang bagi siapa sahaja untuk menulis buah fikirannya. Setiap orang boleh berbincang tentang akidah dan hukum Islam meskipun tidak memiliki ilmu yang memadai. Belum lagi pengikut aliran sesat yang selalu mencari cara menyebarkan kesesatan mereka kepada masyarakat.

Maka, setiap pelayar Internet mesti kritis dalam menerima maklumat dalam Internet. Maklumat yang diperoleh mesti ditapis terlebih dahulu. Caranya dengan bertanya kepada para ustaz yang diyakini keilmuannya.

Berikut beberapa panduan yang mudah-mudahan berguna untuk penuntut maklumat Islam di Internet: Kunjungilah laman-laman rasmi milik pihak-pihak yang berwibawa seperti JAKIM, JAIS dan seumpamanya. Elakkan mengambil maklumat daripada laman web, media sosial, blog atau lain-lain yang bersifat peribadi. Terutamanya apabila anda tidak mengenali pengurus atau penulis blog tersebut.

Jangan endahkan artikel yang tidak diketahui identity penulisnya, apatah lagi menukilkan daripadanya. Ini termasuk para penulis yang menggunakan nama samara ataupun kuniah seperti abu fulan dan ummu fulan. Penulis dengan nama samaran biasanya tidak bertanggungjawab atas kandungan artikel yang ditulis.

kompas-ilmu-di-belantara-internet-4

kompas-ilmu-di-belantara-internet-2

kompas-ilmu-di-belantara-internet-3

Selalu berdamping dengan para ustaz yang bertauliah. Supaya mudah merujuk kepadanya setiap kali terdapat keraguan dan kemusykilan tentang maklumat yang dijumpai di Internet.

Jangan merasa cukup dengan ilmu di dunia maya sahaja. Luangkan juga masa untuk menghadiri majlis-majlis ilmu. Perjumpaan zahir di alam nyata akan mengeratkan pertalian batin di alam maya.

Suka saya tegaskan bahawa kritis dalam menerima maklumat bukan hanya berlaku dalam dunia maya sahaja. Ia seharusnya diamalkan dalam dunia zahir juga. Berapa ramai orang yang sesat kerana mengikuti guru yang salah di dunia nyata?

Ingatlah selalu kata-kata Ibn Sirin: “Ilmu ini adalah agama. Perhatikanlah siapa orang yang engkau jadikan rujukan dalam agama ini.”

Dakwah Berkesan

SOALAN: Saya ingin menjadikan akaun Facebook saya sebagai media dakwah yang berkesan. Saya selalu menulis status-status yang bersifat islamik dan motivasi. Apakah pesanan ustaz agar dakwah ini berkesan di hati pembaca?

JAWAPAN

Masyarakat zaman sekarang merasa selalu sibuk. Mereka sentiasa tidak cukup masa untuk membaca dan mengkaji. Kerana itu, seorang pendakwah dunia maya mesti bijak meringkaskan dan memudahkan maklumat-maklumat yang berat.

Dalam menulis status, pastikan kata-kata yang anda tuliskan kandungannya informatif, ringkas dan padat. Elakkan daripada menyindir dan menyalahkan pihak-pihak tertentu apalagi memfitnahnya. Perbuatan ini hanya akan dipandang enteng oleh para pembaca. Akibatnya, dakwah kita tidak akan memberi kesan yang diharapkan.

 kompas-ilmu-di-belantara-internet-5

kompas-ilmu-di-belantara-internet-6

Melaga-lagakan Ustaz

SOALAN: Apa hukum menyebarkan video atau gambar yang melaga-lagakan antara dua orang ustaz yang berbeza pendapat?

JAWAPAN

Ini satu bentuk penyalahgunaan media sosial. Melaga-lagakan tokoh agama, sama ada ustaz ataupun ulama adalah satu tindakan yang tercela. Pelakunya boleh dikira sebagai pencetus fitnah. Ia haram dilakukan dengan apa-apa niat sekalipun.

Termasuk perbuatan buruk di laman sosial adalah projek senarai nama-nama ustaz yang “disenaraihitamkan”. Mana-mana ustaz yang termasuk dalam senarai ini wajib dijauhi kerana tuduhan tertentu seperti “ wahabi,” “ahli bidaah,” “asy’ari,” “sufi,” dan lain-lain.

Perbuatan ini bagi saya hanya akan memperbodohkan masyarakat. Mereka dimomokkan dengan sesuatu yang tidak mereka fahami. Perbuatan ini tidak meningkatkan ilmu dan iman mereka, malah mencetuskan perbalahan yang tidak produktif.

Sesuatu pendapat yang tidak dipersetujui hendaklah diperjelaskan kesalahannya tanpa perlu didedahkan pelakunya. Masyarakat kita mesti ditunjukkan dengan yang betul, bukan dipaksa menerima tanpa usul periksa.

Hadis Palsu

SOALAN: Selalu kita dengar bahawa hadis palsu sangat banyak bertebaran di dunia maya. Betulkah begitu ustaz?

JAWAPAN

Benar. Hadis-hadis palsu memang sangat berleluasa di dunia Internet. Kebanyakan penyebarnya ialah orang awam yang gemar menyebarkan kebaikan, namun tiada ilmu yang cukup. Tidak dinafikan, penyakit ini menjangkiti sebahagian tokoh-tokoh agama popular di negara kita yang memiliki ramai pengikut.

Ghairah menyebarkan ilmu memang sangat baik apatah lagi ilmu berkaitan hadis Nabi. Namun, kita mesti sedar bahawa menisbahkan sesuatu ucapan kepada Baginda mesti melalui kaedah ilmu hadis yang diajarkan ulama. Jika tidak, dibimbangi kita berdusta kepada Nabi tanpa sengaja.

Rasulullah bersabda: “Siapa yang berdusta dengan namaku secara sengaja, maka persiapkanlah tempatnya di neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

kompas-ilmu-di-belantara-internet-7

Berhati-hatilah menerima setiap hadis yang dijumpai di dunia maya. Pastikan hadis tersebut bersumberkan kitab-kitab rujukan ahli hadis seperti al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi, al-Nasai, Ibn Majah, dan lain sebagainya. Jika tidak pasti, bertanyalah kepada pakarnya.

kompas-ilmu-di-belantara-internet-8

Group Maya

SOALAN: Saya pernah masuk dalam sebuah kumpulan (group) diskusi di dunia maya. Niat asal saya adalah untuk mendapatkan dan berkongsi maklumat tentang Islam. Namun sayangnya, group ini ternyata sangat penuh dengan perbalahan dan kata-kata kesat. Apa hukumnya jika saya tetap dalam group tersebut?

JAWAPAN

Selagi group tersebut tidak menyebarkan maklumat yang bertentangan dengan Islam dan tidak menggalakkan perilaku maksiat, maka tidak haram untuk terus berada di dalamnya. Terutamanya apabila saudari berniat untuk menjaga silaturahim dengan ahli kumpulan tersebut.

NASIHAT: Apa yang kita tuliskan di alam maya mencerminkan akhlak kita. Orang yang suka menulis kata-kata kasar dan biadab tidak layak dijadikan teman walaupun di dunia maya. Begitu juga orang yang suka menyalahkan dan gemar mempersendakan orang lain yang berbeza pandangan dengannya.

Sikap seperti ini sayangnya turut terdapat pada sebahagian pelajar agama kita. Meskipun mereka selalu berdalil dengan al-Quran dan hadis, menukilkan kata-kata ulama, namun sikap mereka sangat jauh daripada adab Islam.

Saya nasihatkan saudari mencari group lain yang lebih mendekatkan diri kepada Allah. Usah terlibat dengan perbalahan yang hanya akan mengeraskan hati dan tidak membawa kepada peneguhan iman.

Konsultasi Beracun

SOALAN: Saya seorang ibu tunggal. Saya selalu tertekan dan memerlukan nasihat daripada ustaz-ustaz. Apa hukum berchatting dengan seorang ustaz untuk mendapatkan nasihatnya?

JAWAPAN

Hukum chatting di alam maya sama dengan hokum perbualan di alam nyata. Perbualan antara dua orang yang berlainan jenis tanpa ada sesiapa yang mengawasinya boleh termasuk dalam kategori khalwat yang diharamkan. Terutamanya apabila bukan kerana hajat yang mendesak, apalagi melibatkan kata-kata yang melanggar adab kesopanan.

Terlalu banyak kes maksiat yang berpunca daripada ruang perbualan maya. Maka, saya nasihatkan agar kita selalu menutup peluang syaitan untuk menyesatkan kita. Hindari membuka perbualan dengan lawan jenis kecuali apabila ada keperluan yang mendesak.

Sama juga hukumnya bagi wanita yang ingin mendapatkan nasihat ataupun konsultasi daripada seorang ustaz. Usahakan untuk mendapatkan nasihat itu daripada tokoh agama yang sama jantina. Jangan terlalu mudah memilih nasihat daripada lawan jenis melainkan apabila tidak ada yang mampu menjawabnya selain orang tersebut.

Tipu daya syaitan kepada orang-orang yang beragama jauh lebih halus dan dahsyat berbanding tipu dayanya kepada orang yang jahat dan fasik. Berwaspadalah dengan diri sendiri.

Cerita Palsu (Hoax)

SOALAN: Saya kerap menerima kiriman e-mel dan tag daripada kawan-kawan laman sosial saya berkenaan artikel-artikel islamik. Salah satunya sebuah artikel yang sangat menakjubkan berkenaan kebenaran maklumat yang terdapat dalam al-Quran. Bolehkah saya terus panjangkan kepada rakan-rakan saya?

JAWAPAN

Berkongsi maklumat islamik dan bermanfaat memang digalakkan. Pahala akan dikreditkan kepada akaun amalan anda kerana ilmu yang dikongsi.

Namun begitu, tidak semua maklumat yang kita terima boleh kita sebarkan. Pastikan terlebih dahulu kesahihan kandungannya terutama apabila ia melibatkan tafsir al- Quran dan hadis Nabi yang dikaitkan dengan penemuan sains, perkembangan politik semasa, dan sejarah umatumat terdahulu. Ada kalanya sebuah maklumat dilihat sangat menakjubkan, namun akhirnya ternyata ia hanyalah palsu (hoax).

Contohnya, sebuah artikel yang pernah tersebar satu ketika dahulu tentang penemuan tulang rangka manusia daripada kaum ‘Ad yang dibinasakan Allah. Berita tentang kaum ini terdapat dalam al-Quran. Lalu sebuah gambar tersebar kononnya memperlihatkan saiz gergasi seseorang daripada kaum ini. Setelah dikaji lebih lanjut, ternyata gambar tersebut palsu.

Gambar Palsu - Penemuan Rangka Tulang Manusia Kaum Ad

kompas-ilmu-di-belantara-internet-9

kompas-ilmu-di-belantara-internet-10

Telefon Ustaz

SOALAN: Apa hukum menyebarkan nombor telefon ustaz-ustaz tertentu kepada umum tanpa izin? Tujuannya untuk memudahkan masyarakat menghubungi mereka jika memerlukan nasihat atau jawapan atas kemusykilan agama.

JAWAPAN

Saya percaya perbuatan ini berasaskan niat yang baik. Namun niat yang baik mesti selalu diikuti dengan cara yang baik.

Nombor telefon sangat erat dengan privasi pemiliknya. Saya yakin setiap daripada kita tidak suka nombor telefonnya diketahui ramai. Ia boleh dimanfaatkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Paling tidak, ia akan memenatkan pemilik nombor itu menjawab panggilan daripada orang yang tidak dikenali.

Maka perbuatan menyebarkan nombor telefon ustaz atau sesiapa pun tidak boleh dilakukan melainkan setelah mendapat kebenaran daripadanya.

Sebar Keburukan

SOALAN: Saya sering membaca status orang-orang tertentu yang sangat membenci Islam. Mereka terang-terangan menyebut diri mereka “kumpulan murtad”. Kata-katanya sangat menghina Islam. Oleh itu, saya selalu menyebarkan ucapannya untuk mengaibkannya. Saya juga meminta kawan-kawan saya menulis komen yang menyerangnya. Apa pendapat ustaz?

JAWAPAN

Apa yang anda lakukan ini hanya akan membuat orang-orang jahat ini terkenal. Dan memang itulah yang mereka inginkan.

Bagi saya, cara terbaik untuk menangani perkara ini adalah dengan tidak mengendahkan ucapan mereka. Jangan kunjungi laman mereka dan meninggalkan komen. Kesesatan lambat laun akan hilang jika tiada yang ambil peduli akan mereka.

Jika anda khuatir laman tersebut dapat mengelirukan orang ramai, silalah adukan kepada pihak yang berwajib antaranya Bahagian Media JAKIM. Pihak yang berwajib selanjutnya akan mengumpulkan maklumat dan mengambil tindakan yang bersesuaian untuk membendung aktiviti laman tersebut

Ini juga yang ingin saya nasihatkan apabila anda melihat status mengelirukan daripada orang-orang tertentu yang mendakwa dirinya sebagai ustaz. Anda tidak perlu menjadi keyboard warrior untuk menyingkap kesalahannya ataupun menyebarkan kesesatannya kepada orang ramai. Cukup anda lakukan apa yang saya cadangkan di atas. Selepas itu, tugasan anda selesai.

Wallahu a‘lam.

USTAZ UMAR MUHAMMAD NOOR

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18

 


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas