Menu

 

A+ A A-

MANA PINTU MANA TINGKAP

‘‘GAJAH ini bentuknya panjang. Macam batang buluh. Tapi lembut sedikit berbanding buluh,” kata si buta yang meraba belalai gajah. “Eh, kamu biar betul, aku rasa gajah ini bentuknya macam talam. Lebar dan luas,” bantah si buta yang meraba telinga si gajah. “Aku yakin gajah tidak begitu."

"Aku rasa gajah bentuknya macam kawah nasi. Lebar dan gendut, macam-macam boleh isi,” tegas si buta ketiga yang meraba perut gajah. Ketiga-tiga si buta itu terus berbalah sesama mereka kerana mereka cuba menghuraikan tentang rupa gajah berdasarkan bahagian yang diraba, tanpa meraba keseluruhan tubuh badan si gajah malang itu. Analogi di atas memang kita sedia maklum. Kisah orang buta dengan gajah sering menjadi perbandingan dalam mana-mana isu, kita cuba memberikan kefahaman berdasarkan maklumat dan gambaran serpihan yang kita ada tentang sesuatu.

Memahami Islam Secara Serpihan

Hal inilah yang banyak menimpa mereka yang mencari dan cuba memahami Islam melalui pembacaan artikel dan pelbagai material yang banyak terdapat masa kini. Bukan salah artikel, dan bukan salah material, malah artikel yang ditulis banyak yang sangat berkualiti tinggi. Namun membaca apa-apa tajuk secara serpihan, menyulitkan seseorang untuk menilai sesuatu. “Ustaz, saya memang sangat keliru dengan masalah mazhab ni. Saya pening apabila membaca tentang talfq,” keluh seorang pelajar. “Saya dah tak tahu di mana hujung pangkalnya. Ada yang kata Syiah macam ini, ada yang kata Syiah macam itu. Mana satu yang betulnya?” Seorang siswa menjadi keliru. “Saya dengar Ibn Ishaq tu syiah. Rupa-rupanya sirah yang kita belajar selama ini, bersumberkan mulut syiah. Betul ke ustaz?” Soal seorang surfer dalam blog saya. “Ada tak pandangan yang tidak menyesatkan golongan Wahabi ini?” Terlopong seorang siswi.

“Sufi? Bukan ke sufi sesat?” Tegas seorang pelajar dengan penuh yakin. “Ustaz, apa beza antara manhaj dan mazhab? Saya tak faham apa yang ustaz tulis.” Komen seorang pembaca. Itulah antara beberapa contoh label-label serpihan yang menimpa si celik yang meraba-raba Islam daripada sudut yang pelbagai.

Sukar untuk saya berikan justifikasi. Saya timbulkan hal ini kerana apabila soalan-soalan di atas diajukan kepada saya, saya tahu ia susah untuk dijelaskan kerana penyoal yang menyoal tiada asas Pengajian Islam, namun mahu cuba terlibat dalam hal-hal yang rumit. Saya tidak bermaksud menggesa pelajar berhenti membaca dan mengkaji artikel-artikel tentang Islam yang berlambak di seluruh alam internet dan majalah. Tetapi apabila kita mempelajari Islam secara melompat sana melompat sini tanpa disiplin ilmu, maka inilah kesulitan yang berlaku.

Masuk Rumah Ikut Pintu

Apabila kita mahu masuk ke sesebuah rumah, sudah tentu kita tahu yang mana satu pintu depan, yang mana satu pintu belakang. Maka kita akan masuk dan keluar melalui jalan yang betul. Adakah kita ahli mesyuarat tingkap, atau ahli mesyuarat ruang tamu?

Namun ada manusia yang masuk ke rumah ikut bumbung dan bukannya pintu depan. Manusia ini adalah pencuri. Ada juga makhluk yang masuk rumah tidak ikut pintu atau tingkap, malah ikut lubang bilik air. Namanya katak puru. Manusia yang normal, yang betul, akan masuk ikut pintu masuk. Begitu juga ilmu Islam. Ada bahagian berfungsi sebagai pintu, ada juga sebagai tingkap. Kita tentu biasa mendengar tentang istilah ilmu alat. Ia adalah ilmu yang berfungsi seperti memberikan kita alat untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Ia seumpama jala dan perahu bagi nelayan. Atau cangkul dan bajak bagi pesawah. Mungkin juga seperti kalkulator dan alat tulis bagi seorang pelajar Sains.

Antara ilmu alat yang penting, adalah ilmu bahasa Arab. Ghairah mengkaji tentang Islam tetapi gersang daripada keinginan mempelajari bahasa Arab, maka akhirnya Islam kita tinggal Islam terjemahan. Kita berbalah tentang pendapat, adalah daripada hasil bacaan kita terhadap terjemahan, dalam semua perkara. Kita sendiri pun tahu, apakah kesan terjemahan kepada maksud asal sesuatu teks. Saya bukanlah seorang yang terlalu ortodoks, tetapi saya suka menegaskan betapa belajar tentang Islam, bermula dengan belajar tentang bahasa Islam. Tidak semestinya sampai kita mengambil Ijazah Bahasa Arab dan Kesusasteraan. Tetapi Bahasa Arab tetap alat pertama dan utama untuk mengkaji Islam.

Tertib Pengajian Islam

Jika kita masuk ke mana-mana program Pengajian Islam, lazimnya bermula dengan mempelajari subjek ‘Al-Madkhal’ atau pengenalan. Antara teks yang lazim digunakan di universiti adalah kitab Al-Madkhal ila al-Syariah al-Islamiyyah oleh Dr. Abdul Karim Zaidan. Subjek Pengenalan ini mendedahkan pelajar di awal-awal pengajian mereka tentang pelbagai aspek Pengajian Islam. Pelajar akan belajar terlebih dahulu tentang ciri-ciri Islam yang Rabbaniyyah, Syumuliyyah, ada tawazun (keseimbangan) dan sebagainya.

Dalam subjek ini juga pelajar akan berkenalan dengan prinsip-prinsip utama di dalam Fiqah, Muamalat, Jinayat, Munakahat dan sebagainya. Ia semacam crush course untuk keseluruhan program Pengajian Islam itu sendiri. Sama juga dengan bidang perubatan. Sebelum seseorang itu masuk ke peringkat klinikal di tahun tiga, mereka akan belajar dahulu ilmu alat dalam bidang perubatan. Mereka akan mempelajari anatomi, malah statistik. Sama ada belajar mengikut sistem lama, atau secara integrasi, ada ilmu satu dan dua, sebelum ilmu tiga.

Tafsir

Sebelum kita mempelajari Tafsir pula, terlebih dahulu belajar Ulum al-Quran. Dalam subjek ini pelajar berkenalan dan faham tentang prinsip-prinsip “Nasakh Mansukh”, ayat mana yang turun lebih awal, Asbab al-Nuzul, Qiraat dan 7 Huruf al-Quran dan sebagainya. Untuk memperkemaskan lagi, pelajar akan belajar mengenal Manhaj Ahli Tafsir dan kitab-kitab Tafsir yang utama, di dalam subjek Al-Tafsir wa al-Mufassirun. Selesai semua ini, barulah subjek Tafsir boleh diambil.

Ilmu Hadis

Tentu sahaja contoh ini lebih jelas jika kita teliti ilmu Hadis. Sebelum kita menganalisa hadis di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim, kita harus kenal terlebih dahulu perbezaan antara hadis Mutawatir dan hadis Ahad, hadis Sahih, Hasan dan Dhaif, serta ilmu menilai Rijal Hadis. Sudah ada senduk, periuk dan bahan masak, barulah boleh mula menghidang. Pernah terjadi, seorang pemuda suka sangat mempertikaikan hadis yang orang hujahkan, dengan katanya, “Apa, hadis tu mutawatir ke? Kalau tak mutawatir, jangan cakap.” Akhirnya orang menyangka yang dia hanya mempercayai hadis mutawatir dan menolak hadis Ahad.

Lantas dibahaskan dengan panjang lebar tentang kedudukan hadis Ahad dalam aqidah Islam! Sungguh membuang masa, sebab pemuda itu bukannya menolak hadis Ahad, tetapi dia sendiri tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan Mutawatir dan Ahad, Sahih dan Dhaif. Sangkanya, hanya Mutawatir sahaja yang sah dijadikan dalil. Sungguh membuang masa!

Fiqah

Dalam masalah Fiqah, tentunya pelajar akan berkenalan dengan Usul Fiqah terlebih dahulu. Mereka perlu faham tentang kaedah istinbat (ekstrak hukum dari teks al-Quran dan al-Hadis), bagaimana ayat larangan berfungsi sebagai menghukum haram atau makruh, mafhum mukhalafah dan sebagainya. Subjek Usul Fiqah juga akan memperkenalkan kepada kita tentang perbezaan pendekatan setiap mazhab, merujuk kepada banyak sebab. Mazhab yang berkembang dalam suasana yang dekat dengan sumber hadis seperti mazhab Maliki, mempunyai pandangan yang berbeza terhadap amalan penduduk Madinah dan memberikan nilai tertentu kepadanya.

Mazhab yang berkembang di dalam suasana yang ramai pendusta hadis, memberikan keutamaan kepada ijtihad berbanding dengan soal berlembut dalam menerima hadis yang bermasalah. Hal-hal ini selesai terlebih dahulu, sebelum pelajar masuk ke subjek Fiqah. Malah subjek Fiqah juga bermula dengan Fiqah yang bertaraf personal sebelum menyentuh bahagian yang membabitkan muamalah seorang dengan seorang yang lain, dalam Munakahat, Muamalat, Jinayat, Hubungan Antarabangsa dan sebagainya. Tanpa Usul Fiqah, seorang pelajar yang menyelami dunia Fiqah akan menerima kejutan elektrik berkali-kali, setiap kali beliau terserempak dengan pandangan yang berbeza-beza. Dia akan berserabut dengan perbezaan mazhab, apatah lagi mahu pergi kepada isu perbandingan dan talfiq.

Aqidah

Sama juga dalam masalah aqidah. Pelajar mempelajari terlebih dahulu tentang aqidahnya, sebelum mengkaji dan meneliti aqidah kumpulan-kumpulan Islam yang banyak. Masakan dalam keadaan aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah belum jelas, seseorang itu sudah sibuk menganalisa dan mengkritik aqidah Syiah, Khawarij, Muktazilah, malah Kristian, Buddha dan Hindu.

Isu Popular dalam Internet

Misalnya soal Ibn Ishaq yang dilabel Syiah. Seorang itu perlu faham tentang beza melaksanakan disiplin hadis ke atas perawi Tarikh dan Sirah, berbanding mengimplimentasikannya ke atas perawi hadis. Isu itu adalah subjek yang memerlukan seseorang itu faham di antara matlamat Muhaddith berbanding Muarrikh pada zaman seperti Ibn Ishaq. Begitu juga dengan pengkritik Muhammad bin Abdul Wahhab yang menjaja celaan Nabi s.a.w. ke atas Najd (tempat kelahiran Muhammad ibn Abdul Wahhab itu). Soalnya Najd yang mana? Adakah Najd di Semenanjung Tanah Arab, atau Najd di Iraq? Untuk menyelesaikan hal ini, buku Geografi Islam seperti Mu’jam al-Buldan perlu dilibatkan. Bukan hanya artikel dan buku yang melengkapkan permusuhan.

Amalan vs Perdebatan

Saya tidak bermaksud mahu memperlihatkan seolah-olah Islam itu susah dan hanya “orang tertentu” sahaja yang boleh mempelajarinya. Islam memang mudah, boleh dipelajari oleh siapa sahaja. Tetapi untuk berkelakuan seperti pengkaji Islam, kenalah berpengetahuan seperti pengkaji Islam. Ada atau tidak orang yang arif tentang Islam, tanpa ada penat dan lelah sebelumnya? Jawapannya tiada. Saya menjawab dengan 100% yakin. Orang tua-tua kita pun sudah berpesan, “Berakit-rakit dahulu berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian.” Tak mahu susah, jangan susahkan orang lain.

No Pain No Gain!

Mempelajari Islam untuk menjadi pegangan hidup, berbeza dengan mempelajari Islam untuk campur tangan dalam isu-isu umat Islam. Apabila seorang mendatangi permasalahan Syiah melalui pintu politik, tentu sekali dia akan memulakan langkah dengan kekaguman yang menjulang tinggi terhadap keupayaan Khomeini menumbangkan kezaliman Shah Iran. Tetapi politik tetap politik.

Allah s.w.t. mempertimbangkan kesahihan ubudiyyah hamba-Nya bermula dengan pintu aqidah dan seterusnya ibadah, sebelum siasah (politik). Jika politik hebat, namun aqidahnya sulit, menumbangkan kezaliman pemimpin yang zalim tiada makna jika gagal menumbangkan kezaliman syirik yang diistilahkan sebagai sebesar-besar kezaliman oleh al-Quran. Aqidah dahulu, baru ibadah dan siasah. Sama jugalah dengan isu-isu yang lain.

Maka jika keliru dengan Islam dan isu-isunya, periksalah kembali, anda sebenarnya berada di dalam kekeliruan ini kerana Islam yang mengelirukan, atau anda sendiri keliru antara tingkap dan pintu? Jika makanan segera bias membunuh, Islam segera atau pintas juga apa kurangnya! 

 

Hasrizal Abdul Jamil

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No. 2


 

Hasrizal Abdul Jamil

Lahir di Ipoh, Perak dan mendapat Ijazah Sarjana Muda (Hons) Syariah dan Pengajian Islamic, dari Universiti Mu’tah, Jordan. Berpengalaman sebagai guru, pengetua dan imam sambilan di Northen Ireland, dan pernah menjadi Pen. Pengarah Penyelidikan dan Modul Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Sedang menyambung pelajaran di peringkat Sarjana, Sains Kemanusiaan (Sejarah dan Tamadun) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Di samping sebagai kolumnis beberapa majalah, beliau kini beliau sebagai kaunselor pesakit di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. Beliau aktif di dalam laman web beliau, www.saifulislam.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

gb0043 gb0043

Kembali ke atas