Menu

 

A+ A A-

LUPA MATI LEBIH BAHAYA DARIPADA MATI

IMAM Muslim meriwayatkan daripada Anas, dia berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Jangan sekali-kali ada seorang di antara kamu yang bercita-cita untuk mati, di sebabkan oleh sesuatu bencana yang menimpanya. Kalau pun terpaksa menginginkan kematian, maka ucapkanlah; ‘Ya Allah, hidupkanlah aku jika hidup akan lebih baik bagiku. Dan matikanlah aku, jika mati akan lebih baik bagiku’.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis dari Anas, Rasulullah s.a.w. bersabda, bermaksud: “Sekali-kali jangan ada seorang pun daripada kamu yang menginginkan mati, dan jangan berdoa memintanya sebelum ia datang kepadanya. Kerana sesungguhnya, jika seorang dari kamu sekalian mati, bererti terputuslah amalnya. Pada hal sungguh, (bertambahnya) umur seorang mukmin akan menambah kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim)

Hadis riwayat al-Bukhari: “Sekali-kali janganlah ada seorang pun dari kamu sekalian yang menginginkan mati. Jika dia orang baik, barangkali dia akan bertambah kebaikannya. Dan jika dia orang jahat, barangkali dia akan memohon keredhaan Allah (taubat).” (Riwayat Bukhari)

Riwayat al-Bazzar, dari Jabir bin Abdullah, dia berkata: “Bersabda Rasulullah s.a.w.: “Janganlah kamu sekalian menginginkan mati, kerana kedahsyatan di awal kematian amatlah berat. Dan sungguh bahagia, jika seorang hamba diberi panjang umur, lalu Allah mengurniakan taubat kepadanya.” (Hadis Hasan, diriwayat oleh Ahmad dan Id bin Hamid)

lupamati-1

Bahaya Lupa Mati

Menurut ulama, kematian bukan sekadar ketiadaan atau kebinasaan, tetapi sebenarnya mati adalah terputusnya hubungan roh dengan tubuh, terhalangnya hubungan antara keduanya, dan bergantinya keadaan dari suatu alam ke alam lainnya. Mati termasuk musibah terbesar, dan Allah s.w.t.  menyebutnya dengan nama musibah. FirmanNya, bermaksud: “Lalu kamu ditimpa musibah kematian.” (Surah al-Maaidah: 106)

Mati memang musibah yang besar. Namun demikian, para ulama mengatakan bahawa ada musibah yang lebih besar daripada mati. Apakah ia? Yakni lalai terhadap mati, atau tidak ambil peduli, atau jarang memikirkannya, serta tidak beramal baik sebagai persiapan untuk menghadapi kedatangannya. Walhal, mati itu sendiri merupakan pengajaran bagi orang yang mengambil iktibar, sekaligus pemikiran bagi orang yang mahu berfikir.

lupamati-2

Orang yang sentiasa merindu kematian tidak akan sabar menantinya, sebagaimana Salm bin Basyir melaporkan bahawa Abu Hurairah r.a. menangis dalam sakitnya, lalu ada yang bertanya kepadanya apa yang menyebabkannya menangis.

Dia menjawab, “Aku tidak menangis kerana dunia ini, tetapi kerana jauhnya perjalananku dan sedikitnya bekalanku. Aku berjalan mendaki, tempat mendapat adalah syurga dan neraka, aku tidak tahu di antara keduanya di mana aku dimasukkan.” (Ibnu Mubarak, AzZuhd, 38, Siyar, 2/578)

Tiga Golongan Yang Inginkan Kematian

Adapun mengenai siapakah yang menginginkan mati, maka ada riwayat dari Sahal bin Abdullah Al-Tusturi: “Tidak ada yang menginginkan mati kecuali tiga kelompok; Orang yang tidak menyedari tentang hal-hal yang bakal terjadi setelah mati, atau orang yang lari dari takdir Allah yang telah ditetapkan pada dirinya, atau orang yang rindu dan ingin bertemu segera dengan Allah Azza wa Jalla.”

Siapa yang Gembira Bertemu Allah, Dia juga Gembira Bertemu dengannya

Ubadah bin as-Somid menceritakan Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Siapa yang gembira bertemu Allah, Dia juga gembira bertemu dengannya.”

Kemudian Aisyah r.ha., salah seorang daripada isteri Baginda berkata: “Kami benci kematian.”

Nabi berkata, “Bukan itu maksudnya, tetapi Mukmin jika kematian mendatanginya maka diberikan berita gembira berupa redha Allah dan kemuliaanNya, sehingga dia menggemari semua benda yang ada di hadapannya. Maka dia gembira bertemu Allah, dan Allah juga gembira bertemu dengannya. Sedangkan orang kafir jika kematian mendatanginya, dia diberikan berita tentang azab seksa Allah. Sehingga dia membenci semua benda yang berada di hadapannya, maka dia benci bertemu dengan Allah dan Allah juga benci bertemu dengannya.” (Riwayat Bukhari dalam bab Ar-Riqaq, 11/364365)

lupamati-3

Ada riwayat lain mengatakan bahawa ketika Malaikat Maut datang kepada Nabi Ibrahim a.s. untuk mencabut nyawanya, beliau berkata: “Wahai Malaikat Maut, pernahkan kamu melihat seorang kekasih mencabut nyawa kekasihnya?” Atas pertanyaan itu Malaikat Maut bergegas menemui Allah s.w.t. Dan Allah pun berfirman kepadanya; “Katakan kepadanya, pernahkah kamu melihat seorang kekasih yang tidak ingin bertemu dengan kekasihnya?” Malaikat Maut kembali menemui Nabi Ibrahim, dan menyampaikan firman Tuhan. Kali ini beliau (Nabi Ibrahim) berkata: “Cabutlah nyawaku sekarang juga!” ¤

Jaafar Salleh
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu Perdana

 


 

Jaafar Salleh

Dilahirkan di Kg. Merbok, Kedah dan mendapat pendidikan awal di Madrasah Saadatul Islamiah, Pasir Jernih dan Madrasah Saadatuddarain, Batu Hampar. Berpengalaman sebagai Tim. Ketua Pengarang akhbar Mingguan Islam, dan menjadi koresponden di Bangkok selama 2 tahun, di samping menjadi wartawan dan penulis. Beliau juga adalah Setiausaha Yayasan Aminul Ummah Malaysia sejak tahun 2000. Telah menghasilkan lebih daripada 30 buah buku, dan sekarang bergiat sepenuh masa di bidang penulisan.

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

psn1029

Terkini daripada Jaafar Salleh

Kembali ke atas