Menu

 

A+ A A-

YA ALLAH BIMBINGLAH HAMBAMU KE JALAN YANG LURUS

FIRMAN Allah s.w.t. dalam ayat ke-6 surah al-Fatihah, maksudnya: “Bimbinglah kami ke jalan yang lurus.”

Ayat ini sebenarnya merupakan suatu doa yang dipanjatkan setelah hamba-Nya mempersembahkan segala pujian kepada-Nya (ayat pertama hingga ayat ke-4) diikuti dengan pengiktirafan rasa kehambaan dan ketelusan dalam beribadah (dalam ayat ke-5). Ayat ke-6 dan ke-7 pula adalah akuan permohonan kepada Allah, agar mendapat bimbingan.

Perkara ini merupakan keadaan yang sempurna bagi seorang hamba yang mengajukan permintaan. Setelah dia memuji Allah s.w.t., kemudian memperakui komitmennya sebagai hamba, akhirnya dia memanjatkan keperluannya dan saudara seakidah dengannya yang lain. Selain itu permohonan yang sempurna dapat mempermudahkan pemberian yang dihajatkan itu juga berlaku apabila seseorang hamba memberitahu keadaan dan keperluannya terhadap bantuan Allah..

Contoh Peristiwa

Contoh yang paling tepat ialah peristiwa doa Nabi Musa sewaktu melarikan diri ke Madyan. Nabi Musa a.s. yang masih dihantui rasa bersalah kerana membunuh tanpa niat, berhadapan dengan tempat yang tidak pernah dikenalinya, berjauhan dari negeri asal, tanpa saudara, tanpa kenalan. Pergantungannya mutlak pada Allah. Dalam suasana seperti itu, kata- kata yang terbit dari hati kecilnya hanyalah memohon kepada Allah bantuan ihsan daripada-Nya.

Kata-kata yang menampakkan kehambaan ini diabadikan Allah menerusi ayat ke-24 surah al-Qasas maksudnya: “Maka Musa pun memberi minum kepada binatang- binatang ternakan mereka, kemudian dia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.’”

bimbinglah hambamu

Bimbingan Yang Utama

Berbalik kepada ayat ke-6 surah al-Fatihah, di sini kita dapat fahami bahawa petunjuk yang sebenarnya hanya datang daripada Allah s.w.t. Petunjuk yang mempunyai berbagai bentuk, sesuai dengan peranan seseorang individu itu.

Firman-Nya dalam surah Taha ayat ke-50, bermaksud: “Nabi Musa menjawab: ‘Tuhan kami adalah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu, kejadian semula jadinya yang sesuai dengannya, kemudian Ia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya.’”

Manusia secara dasarnya dibekalkan dengan dorongan untuk mencari perkara yang diperlukan. Namun melalui naluri semata-mata tidak membolehkan manusia mencapai sesuatu yang tidak mampu dilihatnya. Justeru manusia memerlukan bimbingan Allah, agar tidak tersilap lantaran terlalu bergantung pada akal dan naluri semata-mata.

Ikhlas Mengharungi Kehidupan

Sentiasalah berdoa agar dapat mengharungi kehidupan seharian: dengan harta dan rezeki yang diusahakan dari sumber yang halal; ilmu yang dicari secara ikhlas; kesihatan yang dijaga sebaiknya; dan lain-lain, semuanya menyumbang dalam bentuk sebuah pakej yang sempurna ke arah kesempurnaan perjalanan dan melancarkannya.

Seorang sahabat Rasulullah berbangsa Yahudi, Abdullah bin Salam, selepas memeluk Islam, telah bermimpi. Dalam tidurnya beliau terlihat bahawa beliau diperintahkan oleh seseorang agar melalui jalan lurus yang membawanya ke suatu kebun yang damai lagi mengasyikkan keindahannya. Di hujungnya terdapat tiang yang tinggi menjulang ke langit. Setelah memanjatnya seperti yang disuruh, beliau akhirnya berpegang kuat pada rantai daripada emas di bahagian atasnya.

Nabi s.a.w. telah mentafsirkan mimpi itu bahawa jalan yang lurus itu adalah jalan ahli syurga, taman itu adalah kehidupan dalam Islam, tiang itu adalah perlaksanaan rukunnya, dan rantai emas itu adalah akidah yang benar. Demikianlah benarnya fi rman Allah dalam ayat ke-6 ini bahawa di hujung jalan yang benar ini terdapat reda-Nya. Di situlah juga bersemadinya rahmat-Nya dalam taman-taman syurga yang berkekalan nikmatnya. ¤

Ustaz Zahazan Mohamed

Sumber artikel daripada majalah Gen Q Isu Perdana

 


 

Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.

Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

  TBBK1057 TBBK1157TBBK1182

   TBBK1052TBBK1297TBBK1126

    TBBK1214TBBK1052

Kembali ke atas