Menu

 

A+ A A-

BAGAIMANA MENGHINDARI BISIKAN SYAITAN

DALAM fikiran manusia, sering timbul fikiran-fikiran yang boleh membawa seseorang melakukan perbuatan yang dimurkai Allah. Persoalannya, apdakah hal tersebut akan dihisab di akhirat kelak? Bagaimana solusinya agar kita bebas daripada terus diganggu dengan perkara seperti itu?

Syaitan mempunyai pelbagai cara untuk menyesatkan manusia terutamanya dalam masalah aqidah. Apabila aqidah seseorang telah menyimpang, maka perangai dan perbuatannya juga akan turut menyimpang, sebagaimana yang disebut dalam hadis sahih, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya dalam jasad itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh jasad. Apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah seketul daging itu ialah hati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Nafsu itu umpama padang rumput yang subur untuk menjadi tempat “bercucuk-tanam” bagi syaitan. Boleh jadi nafsu didorong oleh fikiran dan lintasan banyak terlintas dalam hati. Sebahagiannya hanya berada sekejap, dan selepas itu akan berlalu. Sebahagian yang lain pula boleh jadi akan terus berada dalam fikiran manusia sehingga mendorongnya melakukan perkara buruk tersebut.

Jika ini suatu tabiat nafsu yang telah Allah s.w.t. ciptakan untuk manusia, maka Allah s.w.t. Maha Tahu, Maha Lembut dan Maha Mengetahui. Allah memaafkan perkara-perkara yang difikirkan manusia dan hal-hal yang terlintas dalam hati mereka, dan Allah tidak akan menghisabnya kecuali dua perkara berikut: Seseorang itu akan dihisab jika ia telah berazam dengan azam yang kuat dan bertekad untuk melakukannya.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Jika dua orang Muslim saling berhadapan dengan membawa pedang (ingin membunuh), maka yang berjaya membunuh dan orang yang mati dibunuh itu kedua-duanya akan masuk ke dalam neraka jahanam. Lalu Baginda ditanya: ‘Ya Rasulullah, si pembunuh (jelas akan masuk neraka), tetapi mengapa orang yang terbunuh itu (juga masuk neraka)?’ Rasulullah s.a.w. menjawab: ‘Orang yang mati dibunuh itu juga berupaya untuk membunuh orang yang telah membunuhnya itu.’” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Seseorang itu akan dihisab jika ia melakukan perkara yang telah diazamkan untuk melakukannya. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah s.w.t. memaafkan umatku terhadap perkara yang terfikir dan terlintas dalam jiwa mereka, selagi mereka tidak membincangkannya dan tidak melakukannya.” (Riwayat Jama‘ah dalam al-Kutub al-Sittah, hadis sahih)

Sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya: “Seseorang itu akan dihisab dan diseksa kerana berazam untuk melakukan kejahatan, walaupun kejahatan itu belum lagi dilakukannya. Hal ini terpakai apabila yang menegah dirinya daripada melakukan kejahatan itu ialah kerana ia lemah dan berasa takut apabila perbuatannya dilihat oleh orang ramai. Tetapi jika yang menegah dirinya daripada melakukan kejahatan itu adalah rasa takut kepada Allah s.w.t., maka Allah tidak akan menyeksanya, bahkan ia akan mendapat pahala kerana telah bermujahadah dengan dirinya.”

Setelah huraian ini, kami berkata: “Sesungguhnya ini termasuklah kejahatan-kejahatan yang difikirkan atau terlintas dalam hati manusia, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Syaitan mendatangi seseorang antara kamu, lalu ia bertanya: ‘Siapa yang telah menciptakan ini dan itu?’ Sehinggalah ia bertanya: ‘Siapa yang telah menciptakan Tuhan kamu? Apabila soalan telah sampai kepada perkara seperti itu, hendaklah seseorang itu meminta perlindungan kepada Allah s.w.t. dan hendaklah ia menyudahi (daripada berfikir tentang soalan itu).”

Suatu hari Nabi s.a.w. ditanya oleh para sahabat tentang bisikan, Baginda menjawab: “Itu adalah iman yang murni.” Dalam riwayat yang lain: “Iman yang nyata”. Pengertiannya adalah bahawa rasa takut daripada bisikan yang jahat ini adalah sebagai bukti keimanan seseorang yang murni, bukan bermaksud bisikan jahat itu adalah sebahagian daripada iman.

Hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di atas telah menjelaskan ubat mujarab dalam menghadapi bisikan jahat itu adalah dengan meminta perlindungan daripada Allah s.w.t (al-isti‘adzah) dan berhenti daripada terus memikirkan hal itu. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan jika kamu diganggu dengan godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-A‘raf 7: 200)

Jika manusia yang lemah itu meminta perlindungan kepada Allah s.w.t. Yang Maha Kuat, maka ini menjadi bukti penghambaan dirinya yang tulus kepada Allah. Ini kerana Allah s.w.t. telah berfirman kepada syaitan yang telah bersumpah untuk menyesatkan umat manusia yang bermaksud: “Sesungguhnya hamba-hamba-Ku, tidak ada kekuasaan bagimu terhadap mereka, kecuali orang yang mengikut kamu daripada kalangan orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri).” (Surah al-Hijr 15: 42)

bisikan-syaitan-1

Kisah di bawah ini menjelaskan perkara di atas. Sebagaimana yang diceritakan daripada seorang alim salaf yang bertanya muridnya:

“Apa yang akan kamu lakukan terhadap tipu daya syaitan jika ia menggoda kamu untuk melakukan kesalahan?” Murid itu menjawab: “Saya melawannya.” Orang alim itu bertanya lagi: “Jika syaitan kembali menggoda kamu?” Murid menjawab: “Saya akan melawannya.” Orang alim itu bertanya lagi: “Jika ia kembali menggoda kamu?.” Murid menjawab: “Saya melawannya.” Orang alim itu berkata: “Ini akan berpanjangan.”

Orang alim itu pun kembali bertanya: “Apa pendapat kamu, sekiranya kamu berhadapan dengan binatang ternak, kemudian ada anjing daripada binatang ternak itu menghalang kamu daripada beredar dari situ, apa yang akan kamu lakukan?” Murid itu menjawab: “Saya menahan diri dan berusaha menghalaunya sedaya upaya.” Orang alim itu berkata: “Ini akan berpanjangan, bagaimana jika kamu meminta pertolongan daripada si penggembala binatang ternak dan anjing tadi? Sudah tentu ia akan mengawal anjingnya dan kamu boleh melalui kawasan tersebut.”

Oleh sebab itu meminta pertolongan kepada Allah s.w.t. Yang Maha Kuat merupakan cara terbaik untuk mengusir bisikan dan godaan syaitan yang dilaknat, Wallahu a‘lam.

 

--- Petikan daripada kitab fatwa Ahsan al-Kalam yang dikarang oleh Syeikh ‘Atiyyah Saqar dan diterjemahkan oleh Ustaz Muhammad Yusuf bin Abdul Kadir ---

Syeikh ‘Athiyyah Saqar

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.2

 


 

Syeikh ‘Atiyyah Saqar

Nama beliau ialah Sahibul Samahah Fadhilatul Syeikh Atiyyah Muhammad Atiyyah Saqr. Beliau masyhur dengan panggilan Syeikh Atiyyah Saqr. Dilahirkan di perkampungan Behna Bai, Zaqaziq Syarqiyyah pada hari Ahad tanggal 4 Muharram 1333 hijriyyah bersamaan 22 November 1914 masihi.

Antara jawatan yang pernah disandang oleh al-Marhum Fadhilatul Syeikh Atiyyah Saqr sepanjang terlibat sebagai pendakwah ialah beliau pernah memegang jawatan sebagai pensyarah di jabatan pengajian agama Islam dan Bahasa Arab bagi peringkat PHD. Beliau turut diamanahkan sebagai pengarah bagi Jabatan Syeikhul Azhar dan salah seorang daripada ahli jawatankuasa Majma’ Buhuts Islamiyyah (Majlis Kajian Dan Penyelidikan Islam) di Mesir. Beliau juga turut diamanahkan untuk menjadi penasihat kepada Menteri Keagamaan Mesir, juga sebagai Ketua Lajnah Fatwa dan sebagainya.

Al-Marhum Syeikh juga sering terlibat di dalam rancangan-rancangan agama yang disiarkan di corong-corong radio dan di kaca televisyen. Penulisan beliau juga banyak memberi manfaat kepada pembaca. Jawapan beliau terhadap soalan yang diajukan kepadanya adalah sangat kemas, disiplin dan berwibawa. Di Malaysia, Ustaz Azhar Idrus adalah antara tokoh ilmuwan yang mengkagumi Syeikh Atiyyah Saqr, dan sering menyandarkan rujukan jawapannya kepada ulama besar ini.

Pemergian al-Marhum sangat dirasai oleh setiap umat Islam khususnya kepada golongan yang mencintai para ulama. Al-Marhum kembali ke rahmatullah pada pagi 18 Zul Qa'dah 1427 bersamaan 9 Disember 2006 di rumah beliau di St. Theresa, Syubro. Umat Islam telah kehilangan sebutir lagi mutiara yang sangat berharga. Semoga roh beliau ditempatkan bersama para anbiya' dan auliya' al-solihin. Al-Fatihah.

Kembali ke atas