Menu

 

A+ A A-

BERTANGGUH TUNAI HAJI

APA hukum bagi orang yang telah cukup syarat untuk menunaikan haji tetapi masih bertangguh atas pelbagai alasan antaranya tidak bersedia dan sibuk?

RINGKASNYA: Tidak boleh bertangguh dalam menunaikan haji sekiranya dia telah cukup syarat dan tiada faktor penghalang lain.

HURAIAN: Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Idah berkata: “Jika didapati syarat-syarat wajib haji, maka haji wajib secara tarakhi. Justeru, dia boleh menangguhkannya selama mana dia tidak bimbang terkena ‘adhab. Jika dibimbangkannya terjadi ‘adhab, maka haram ke atasnya takhir haji mengikut pendapat yang asah (lebih tepat). Inilah pendapat mazhab kita.” Imam Malik, Abu Hanifah, Ahmad dan al-Muzani berkata: “Haji wajib dilakukan segera.” Kemudian di sisi kami, siapa yang takhir haji kemudian mati, nyatalah bahawa dia mati dalam keadaan derhaka mengikut pendapat yang asah kerana kecuaiannya.

Imam Ibn Hajar mengemukakan banyak hadis bagi menerangkan kesalahan orang yang enggan pergi haji setelah ia berkemampuan. Sebahagiannya hadis riwayat yang bermaksud, “Sesiapa yang tidak dihalang oleh sesuatu hajat (kepentingan lain yang perlu didahulukan), sakit atau sultan yang zalim namun dia tidak pergi menunaikan haji, maka biarlah dia mati jika dia suka mati dalam keadaan Yahudi atau mati dalam keadaan Nasrani.” (Riwayat al-Baihaqi)

Bolehkah ustaz terangkan kelebihan kota Makkah? Mudah-mudahan ia membuka hati bagi mereka yang berat hati untuk ke Makkah sedangkan mereka mampu.

Kota Suci Makkah mempunyai banyak nama. Ini antara tanda kemuliaannya. Imam al-Nawawi berkata: “Ketahuilah bahawa banyaknya nama menunjukkan kepada kebesaran bagi perkara yang dinamakan itu. Hal ini sebagaimana banyaknya nama bagi Allah s.w.t. dan nama rasul- Nya s.a.w. Kita tidak mengetahui satu tempat yang mempunyai banyak nama lain selain daripada Makkah dan Madinah.

Ini kerana kedua-duanya merupakan sebaik baik tempat di bumi, disebabkan kerana banyaknya sifat yang boleh dinamakan kepada kedua-duanya.” Menurut buku Khasa’is Jazirah al-Arab (bermaksud, keistimewaan Semenanjung Tanah Arab), karya Syeikh Bakar bin Abdullah Abu Zaid ada mencatatkan beberapa keistimewaan kota suci Makkah al-Mukarramah antaranya:


1.       Ibn Qayyim berkata, “Allah s.w.t. memilih tempat dan negeri yang terbaik, iaitu al-Balad al-Haram. Begitu juga untuk Nabi s.a.w. dan dijadikan sebagai manasik sehingga mereka datang ke kota suci Makkah.”
2.    Sesiapa yang datang ke Kaabah bertujuan melakukan ibadat dan tidak membuat perkara yang tidak baik, nescaya dia pulang seolah-olah baru dilahirkan oleh ibunya.
3.    Masjidilharam ialah sebaik-baik tempat di muka bumi. Kita digalakkan bersungguh-sungguh musafir kepadanya sama ada untuk menunaikan ibadat haji atau umrah.
4.      Kaabah di Kota Makkah menjadi kiblat penduduk bumi Antara keistimewaannya lagi, haram menghadap atau membelakangkan kiblat ketika buang air.
5.      Masjidilharam merupakan masjid yang pertama di muka bumi ini, seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim.
6.      Tidak boleh memasuki Makkah bagi yang tidak mempunyai hajat secara berulang kecuali dengan ihram.
7.      Dihukum berdosa kepada orang yang bercita-cita melakukan kejahatan, sekalipun belum melaksanakannya, sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesungguhnya (amatlah zalim) orang yang kafir serta menghalangi manusia dari jalan Allah (agama Islam) dan daripada memasuki Masjidilharam (Makkah) yang Kami jadikan dia tempat beribadat untuk seluruh umat manusia (yang beriman) sama ada yang tinggal menetap di situ atau yang datang berziarah, dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan yang dilarang dengan cara yang zalim, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Hajj 22: 25)

Ibadat yang dilakukan di sana akan digandakan pahalanya. Contohnya satu solat menyamai 100,000 solat. Tempat lahir Rasulullah s.a.w. Terdapatnya Kaabah, Hajarulaswad, Maqam Ibrahim dan  lain-lain. Tempat yang mudah dimakbulkan doa Makkah tidak akan dimasuki oleh Dajal. Hal ini berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Semua negeri akan dimasuki oleh Dajal kecuali Makkah dan Madinah. Semua jalan masuk dikawal oleh para malaikat yang berbaris-baris, kemudian Madinah akan bergoncang sebanyak tiga kali dan Allah s.w.t. akan mengeluarkan semua orang kafir dan munafik darinya.”

 Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri 

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 3


 

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Dilahirkan di Terengganu. Melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Madinah dalam bidang Syariah. Berpeluang belajar secara talaqqi dengan beberapa ulama tersohor di sana. Kemudian melanjutkan pelajaran ke Jordan dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana (Masters) di Syria, seterusnya berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah bertugas di Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan. Kini beliau bergerak secara bebas sebagai penulis. penceramah, penasihat agama dan pakar rujuk. Di samping itu, beliau ialah AJK Fatwa Terengganu (sejak 2005). Antara jawatan terkini beliau ialah ahli Panel Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji, ahli Panel Syariah dan Aqidah JAKIM dan ahli Panel Syariah Bank Muamalat. Beliau juga dikenali sebagai Muryid dalam rancangan al-Daurah di Radio IKIM.FM.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  

 

Kembali ke atas