Menu

 

A+ A A-

SOLAT JAMAK DAN QASAR: MUKIM DAN SEMPADANNYA

Ditulis oleh 

LATAR BELAKANG: Menentukan kawasan mukim dan sempadannya sangat penting. Ia menjawab persoalan berikut:

i. Di mana seorang musafir itu boleh mula mengqasarkan solatnya?

ii. Di mana seorang musafir itu sudah tidak dibolehkan mengqasarkan solatnya?

Berikut adalah beberapa contoh soal jawab yang berkaitan. Mudah-mudahan ia boleh menjadi panduan umum buat saudara-saudara yang bermusafir.

mukim-dan-sempadannya-1

Tempat Mula Boleh Qasar Solat

Rumah saya di Sri Damansara. Saya akan ke Johor untuk berkursus. Saya akan bertolak dari rumah. Dari mana saya sudah boleh mula mengqasarkan solat? Adakah boleh dilakukan di masjid berdekatan rumah saya?

RINGKASNYA: Prinsipnya, seorang musafir hanya boleh mula mengqasarkan solatnya sebaik sahaja melepasi sempadan kawasan mukimnya. Jika masjid itu masih dalam kawasan mukim, maka saudara masih tidak boleh mengqasarkan solat di situ.

Mukim = Daerah?

Saya ingin dapatkan pandangan kedua. Sebelum ini saya diberitahu bahawa kita hanya boleh mula mengqasarkan solat setelah keluar dari sempadan daerah bagi tempat kita bermukim. Namun ada kawan saya memberitahu bahawa mukim itu bersamaan dengan taman perumahan. Mohon penjelasan.

RINGKASNYA: Tidak ada ketetapan yang tepat berkaitan kadar keluasan satu-satu kawasan mukim. Boleh jadi sebuah mukim itu lebih luas berbanding yang lain. Dengan menghormati pandangan yang berlainan, kami berpendapat mukim bersamaan dengan daerah adalah keterlaluan. Kami lebih cenderung untuk mengatakan bahawa mukim bersamaan dengan satu kampung bagi kawasan luar bandar atau satu taman perumahan bagi kawasan bandar.

HURAIAN: Jumhur ulama sepakat bahawa kita hanya boleh mula mengqasarkan solat setelah keluar dari sempadan mukim. Imam al-Nawawi berkata: “Mazhab kami sesungguhnya apabila seseorang melepasi bangunan pekannya, maka bolehlah dia solat qasar. Dia tidak boleh qasar sebelum melepasinya. Ini juga kata-kata Malik, Abu Hanifah, Ahmad dan jumhur ulama.” (Al-Majmu‘, jil. 4, hlm. 228) Walau bagaimanapun mereka berbeza pandangan dalam penetapan had sempadan mukim tersebut. Ada yang menetapkan bahawa tempat bermula untuk seseorang boleh qasar solatnya mestilah melepasi bangunan terakhir kampungnya. Ada yang menambah, mesti melepasi padang ragut penduduk kampungnya. Bahkan ada juga yang berpendapat, sekiranya kampung kita bersambung terus dengan kampung sebelah, maka mesti melepasi sepenuhnya kampung sebelah itu. Begitu juga ulama semasa juga berbeza kefahaman dalam menterjemahkan sempadan itu dalam konteks realiti hari ini. Mereka berijtihad dan Allah memberi ganjaran atas ijtihad mereka.

Solat Qasar di Hotel

Saya akan berkursus di Terengganu selama seminggu. Jadi sebaik sahaja tiba di sana saya sudah dikira bermukim. Maka saya perlu solat penuh sepanjang seminggu berada di situ. Soalan saya, pada hari terakhir nanti, bolehkah saya mengqasarkan solat di dalam bilik hotel terus? Ini memandangkan hari tersebut ialah hari saya bermusafir.

Dukacitanya tidak boleh. Tuan masih berada dalam kawasan mukim. Ketika itu mukim tuan ialah tempat di mana tuan berkursus itu. Justeru tuan hendaklah membuat perjalanan dahulu hingga keluar dari kawasan tersebut, barulah boleh solat qasar. Keadaan ini sebenarnya samalah dengan situasi tuan yang akan bermusafir dari rumah sendiri. Tuan tidak boleh mengqasarkan solat ketika masih berada di rumah.

Singgah Rumah dalam Perjalanan

Rumah saya di Gombak. Minggu depan saya ada urusan di Ayer Keroh Melaka. Selesai urusan di situ, saya perlu bergerak terus ke Alor Setar pada hari yang sama. Saya bercadang untuk singgah sebentar di rumah saya untuk bertemu anak dan isteri. Bolehkah saya menjamakkan atau mengqasarkan solat di rumah saya ketika itu?

Boleh. Ketika itu saudara berstatus musafir. Saudara singgah di rumah hanya seketika sahaja dan bukannya bermaksud kembali kepada rutin biasa. Jadi rumah saudara itu biarpun pada asalnya merupakan mukim tetap, tetapi ketika itu ia hanyalah tempat persinggahan sebagaimana tempat-tempat lain yang saudara singgah sepanjang perjalanan.

Bermukim Lebih daripada Satu Tempat

Saya menetap di Kuala Kangsar dan bekerja di Kuala Lumpur. Pada hari bekerja saya tinggal di Kuala Lumpur. Pada hari Sabtu dan Ahad saya akan pulang ke Kuala Kangsar. Adakah saya dikira bermusafir sepanjang seminggu berada di Kuala Lumpur? Bolehkah saya melakukan solat jamak atau qasar? Saya hanya menyewa bilik untuk tidur dan mandi sahaja.

RINGKASNYA: Dukacitanya tidak boleh. Sebenarnya saudara juga dikira bermukim di Kuala Lumpur. Bagaimanapun dalam perjalanan antara Kuala Kangsar dan Kuala Lumpur, saudara boleh menjamakkan dan mengqasarkan solat kerana saudara sedang bermusafir ketika itu.

HURAIAN: Kita boleh berstatus bermukim secara tetap di lebih dari satu tempat dalam satu-satu masa sepertimana dalam situasi saudara. Contoh lainnya ialah seperti pelajar-pelajar IPT atau anak-anak yang belajar di tempat yang jauh dari rumah. Mereka mempunyai dua buah mukim iaitu tempat pengajian dan rumah ibu bapa mereka. Sebaik sahaja mereka pulang ke mana-mana mukim tersebut, tamatlah status musafir mereka.

Kampung Halaman Ialah Mukim?

Saya sudah menetap, berkeluarga dan bekerja di Kuala Lumpur selama 10 tahun. Setiap kali saya balik ke kampung di Johor pada hujung-hujung minggu, saya mengqasarkan solat di rumah orang tua saya. Hanya baru-baru ini saya ditegur oleh salah seorang saudara saya. Dia mengatakan bahawa saya tidak boleh mengqasarkan solat di kampung kerana ia tempat asal saya. Saya dikira seorang yang bermukim di sini. Sekarang ini saya keliru.

Memang ada pandangan sedemikian dan kita menghormatinya. Namun saya secara rendah hati berpendapat pandangan tersebut kurang tepat. Di sana sepatutnya ada perincian. Sekiranya saudara sudah berniat untuk menjadi warga tetap di Kuala Lumpur serta tidak berhasrat pun untuk menjadi warga tetap di kampung asal, maka saudara dikira seorang musafir apabila pulang ke kampung. Jadi boleh solat qasar. Tentulah dengan syarat, saudara tidak merancang untuk berada di kampung selama empat hari atau lebih (menurut mazhab Syafi‘i). Namun sekiranya saudara merancang untuk berada di Kuala Lumpur untuk beberapa tahun sahaja sebelum pulang menetap di kampung asal, maka saudara tidak boleh mengqasarkan solat ketika di kampung. Ini kerana kampung itu mukim saudara.

LANJUTAN: Saya bawakan satu contoh sebagai perbandingan: Muawiyah dan Zaid merupakan adik-beradik. Kampung mereka di Kelantan. Kini kedua-duanya tinggal di Gombak. Muawiyah sudah membeli rumah sendiri, berkeluarga dan bekerja di situ. Dia sudah menetapkan diri menjadi warga kota sepanjang hayatnya. Manakala Zaid pula masih belajar di UIA. Setiap cuti semester dia mesti pulang ke kampung. Jadi kedua-dua mereka tidak sama dari segi status musafir-mukim apabila pulang ke kampung nanti.

mukim-dan-sempadannya-2

Jadi tidak semua orang dikira status bermukim apabila pulang ke kampung asalnya.

Sememangnya ada pendapat yang menetapkan bahawa status bermukim di tempat asal kita tidak berubah selagi ada sanak saudara yang tinggal di situ, biarpun kita sudah menetap di tempat lain. Bagaimanapun pendapat ini tidak ada sandaran nas tertentu yang jelas. Ia ijtihad ulama yang lebih berdasarkan prinsip ihtiat (sikap berhati-hati). Tambahan pula, ada hadis yang membawa pemahaman sebaliknya.

HUJAH: Imran bin Husain r.a. meriwayatkan: “Aku bersama Rasulullah semasa Pembukaan Makkah. Baginda tinggal di Makkah selama 18 hari hanya dengan melakukan solat secara dua rakaat-dua rakaat (solat qasar). Baginda bersabda yang bermaksud: ‘Wahai penduduk negeri (Makkah)! Solatlah empat rakaat kerana kami orang musafir.’” (Riwayat al-Timizi dan Abu Daud)

Cucu Balik Kampung Tidak Boleh Qasar Solat

Lanjutan daripada soalan di atas, dikatakan bahawa anak-anak saya juga tidak boleh solat qasar di kampung mereka. Ini kerana mereka secara automatik dikira berstatus orang bermukim di kampung ibu bapa mereka. Padahal kesemua anak saya tidak lahir di situ. Mohon penjelasan.

Sekali lagi diakui adanya pandangan ulama sebegitu dan kita menghormatinya. Bahkan pendapat itu juga menetapkan bahawa kampung isteri atau suami kita juga dikira sebagai mukim kita. Bagaimanapun pendapat ini tidak ada sandaran nas tertentu yang jelas. Ia ijtihad ulama yang lebih berdasarkan prinsip ihtiyat (sikap berhati-hati). Maka sesiapa yang ingin berpegang kepadanya tidak mengapa. Manakala orang yang tidak sependapat dengannya pula tidak boleh dihukum salah. Saya secara peribadi mengambil pendapat bahawa cucu (yang tidak menetap dan membesar di kampung) ialah musafir di kampung datuk nenek mereka. Begitu juga jika seseorang itu bermusafir ke kampung pasangan mereka.

Pindah Rumah Baru

Sekarang saya masih menetap di Pulau Pinang. Saya akan berpindah ke Putrajaya kerana ditukarkan tempat kerja. Apabila saya tiba di rumah baru nanti, adakah saya masih boleh mengqasarkan solat selama empat hari yang pertama? Bukankah saya masih musafir ketika itu?

Dukacitanya tidak boleh. Sebaik sahaja kita merancang untuk singgah atau tinggal di satu tempat selama lebih daripada tiga hari, maka itu sudah menjadi mukim kita pada ketika itu. Jadi sebaik sahaja tiba di tempat itu, kita mula berstatus bermukim, tidak lagi musafir. Justeru kita tidak boleh lagi mengqasarkan solat di situ. Lebih-lebih lagi bagi kes saudara. Putrajaya itu sudah menjadi mukim tetap saudara yang baru.

Berulang-Alik 100 km Setiap Hari

Saya menetap di Kajang dan bekerja di Tanjung Malim. Setiap hari saya berulang-alik yang jaraknya melebihi 100 kilometer sehala. Adakah saya dikira musafir semasa berada di Tanjung Malim lalu boleh mengqasarkan solat?

Dukacitanya tidak boleh. Rumah dan tempat kerja saudara di Kajang dan Tanjung Malim itu, kedua-duanya mukim saudara. Mukim ialah mana-mana tempat yang kita jalani rutin kehidupan seharian secara konsisten di situ. Saudara boleh jamak atau qasarkan solat sepanjang perjalanan antara dua mukim itu, tetapi tidak boleh sebaik saja sampai.

Muhammad Luqman Mokhtar

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Read 145064 times
Muhammad Luqman Makhtar

Sarjana Muda Ilmu Wahyu (Fiqh dan Usul al-Fiqh), UIAM. Pernah berkhidmat di Kolej Komuniti Masjid Tanah dan Selayang. Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

special-4157 special-4099special-3928