Menu

 

A+ A A-

SOLAT TARAWIH 8 ATAU 20?

SAYA masih keliru tentang jumlah rakaat solat tarawih. Ada yang mengatakan bahawa lapan rakaat itu lebih menepati sunnah. Jika demikian kenapa masih banyak lagi masjid melakukan solat tarawih sebanyak 20 rakaat termasuklah di Masjidilharam? Mohon penjelasan dalam hal ini.

Jawapan:

Rasulullah tidak menetapkan bilangan tertentu. Sebenarnya, ulama telah pun membincangkan permasalahan ini sejak dari dahulu lagi. Imam al-Suyuti mengatakan: “Berdasarkan kepada hadis-hadis sama ada yang sahih, hasan dan juga yang daif serta targhib (galakan), tidak ada pun yang menetapkan bilangan yang khusus.

“Begitu juga tidak sabit bahawa Nabi s.a.w. melakukan solat tarawih sebanyak 20 rakaat. Adapun Nabi melakukan solat pada waktu malam tanpa menyebut bilangannya. Kemudian Baginda tidak keluar (untuk solat) pada malam yang keempat kerana bimbang akan difardukan ke atas umatnya dan bimbang mereka tidak mampu melaksanakannya.” (Al-Masabih fi Solat al-Tarawih, hlm. 14-15)

Ibn Hajar al-Haithami pula mengulas: “Tidak sahih bahawa Nabi solat tarawih sebanyak 20 rakaat. Kesemua hadis yang meriwayatkan bahawa Nabi melakukan solat tarawih sebanyak 20 rakaat adalah hadis yang sangat lemah (tidak boleh dijadikan hujah)!” (Al-Fatawa al-Kubra, jil. 1, hlm. 194)

solat-tarawih-8-atau-20-1

Tarawih 20 Rakaat Amalan Para Sahabat

Jumhur ulama mazhab Hanafi, Syafi‘i, Hanbali dan sebahagian ulama Maliki berpendapat bahawa jumlah rakaat solat tarawih adalah sebanyak 20 rakaat. Manakala sebahagian ulama Maliki pula mengatakan rakaatnya sebanyak 36 rakaat (khusus bagi penduduk Madinah sahaja). (Nihayah al-Muhtaj, jil. 2, hlm. 123) Ini berdasarkan riwayat Malik daripada Yazid bin Ruman dan al-Baihaqi daripada al-Sa’ib bin Yazid: “Umat Islam mendirikan solat tarawih pada zaman Umar sebanyak 20 rakaat. Beliau menghimpunkan manusia atas bilangan ini secara berterusan.”

Al-Kasani berkata: “Sayidina Umar menghimpunkan para sahabat Rasulullah pada bulan Ramadan di belakang Ubay bin Ka‘ab r.a. dan beliau mengimami mereka sebanyak 20 rakaat. Tidak ada seorang sahabat pun yang mengingkarinya. Maka hal ini telah menjadi ijmak daripada mereka tentang perkara itu.” (Bada’i‘ al-Sana’i‘, jil. 1, hlm 288)

Manakala al-Dusuki berkata: “Solat tarawih 20 rakaat adalah amalan sahabat dan tabiin.” (Hashiyah al-Dusuki, jil. 1, hlm. 288) Begitu juga Ibn Abidin berkata: “Solat tarawih 20 rakaat ialah amalan umat Islam di sebelah timur dan barat.” (Radd al-Muhtar, jld. 1, hlm. 474) Pendapat ini turut disokong oleh Ali al-Sanhuri dengan mengatakan bahawa ini adalah amalan manusia dan ia berterusan sehingga zaman kita sekarang.” (Sharh al-Zarqani, jil. 1, hlm. 284)

Daripada 11 rakaat kepada 20

Ada juga riwayat yang menyebut bahawa Sayidina Umar memerintahkan Ubay bin Ka‘ab dan Tamim al-Dari untuk menjadi imam kepada orang ramai sebanyak 11 rakaat. (Riwayat Malik) Sebenarnya hal tersebut adalah pada peringkat permulaan. Selepas itu Umar melihat kesukaran yang dihadapi oleh orang ramai kerana imam membaca ayat yang panjang pada satu-satu rakaat. Lalu beliau memerintahkan supaya solat tarawih dilakukan sebanyak 20 rakaat dengan memendekkan bacaan bagi meringankan mereka daripada berdiri lama. (al-Muntaqa, jld. 2, hlm. 208)

Al-Adawi berkata: “sebelas rakaat adalah permulaan arahan. Kemudian beliau berpindah kepada 20 rakaat dan Ibn Habib juga berpendapat sedemikian.” (Hashiyah al-Adawi ‘ala Kifayah al-Talib, jil. 1, hlm 153)

solat-tarawih-8-atau-20-2

Nasihat

Sama ada kurang daripada 20 rakaat atau lebih, tunaikanlah mengikut kemampuan masing-masing. Kudrat manusia berbeza. Ada yang mampu melakukannya dalam jumlah yang banyak. Ada juga sebaliknya seperti orang tua dan wanita yang sarat mengandung atau mempunyai anak yang sedang menangis.

Bagi orang yang tidak melakukannya sebanyak 20 rakaat, mereka masih lagi termasuk dalam janji Nabi: “Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jangan pula kerana bilangan rakaat solat tarawih, kita menuduh orang lain yang tidak sependapat dengan kita tidak mengikut sunnah, melakukan perkara bidaah atau sebagainya. Ini adalah perkara sunat sahaja dan termasuk dalam isu cabang dalam agama. Oleh sebab itu, isu ini tidak terlepas daripada khilaf ulama.

Fuad Ismail

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Fuad Ismail

Sarjana Muda Syariah di Universiti Al-Bayt, Jordan. Berpengalaman dalam bidang penulisan buku-buku agama dan bahasa Arab untuk sekolah rendah agama (SRA), KAFA, j-QAF dan untuk sekolah menengah. Kini menjawat jawatan sebagai Editor di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Kembali ke atas