MULIAKANLAH AL-QURAN
- Ditulis oleh Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed
- Kategori Terkini
- Read 10362 times
LETAK al-Quran dalam Kereta
Apa hukum meletakkan mashaf dalam kereta dengan niat mendapatkan keberkatan?
Jawapan:
Hukumnya harus. Tambahan pula apabila seseorang itu mengambil peluang membacanya apabila memiliki kesempatan. Contohnya ketika menunggu anak keluar dari sekolah dan sebagainya. Adapun meletakkan ayat dengan anggapan dan tujuan supaya dapat terhindar daripada sebarang mudarat, maka ia tidaklah disyariatkan.
Hukum Pertandingan Tilawah
Apa hukum mengadakan pertandingan tilawah al-Quran yang menjanjikan hadiah-hadiah yang lumayan?
Jawapan:
Hukumnya harus. Ini kerana pertandingan ini akan menimbulkan kesungguhan orang ramai mempelajari kitab Allah dan ia adalah suatu matlamat yang mulia.
Orang Kafir Pegang Mashaf
Saya seorang pengedar buku termasuklah mashaf al-Quran di kedai-kedai buku. Saya pernah beberapa kali berhadapan situasi yang mana orang yang mengangkat dan mengalihkan al-Quran daripada saya merupakan orang bukan Islam. Apa hukumnya?
Jawapan:
Haram bagi orang yang tidak berwuduk memegang al-Quran. Maka, apatah lagi bagi si kafir, tentulah lebih lebih lagi tidak dibolehkan. Ini berpandukan firman Allah dalam surah al-Tawbah ayat ke 27 maksudnya: “Sesungguhnya orang musyrik itu adalah najis.” Justeru anda hendaklah berurusan dengan orang Muslim dalam hal ini. Pastikan orang yang bertanggungjawab dalam urusan tersebut seorang Muslim, tidak kira sama ada dia merupakan tuan kedai ataupun pekerja.
Hadiahkan al-Quran kepada Bukan Islam
Apa hukum menghadiahkan mashaf terjemahan al- Quran kepada kawan bukan Islam yang menunjukkan minatnya untuk masuk Islam?
Jawapan:
Hukumnya harus. Bahkan ia termasuk dalam usaha dakwah yang amat digalakkan selari dengan firman-Nya dalam surah Yusuf ayat 108 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Inilah jalanku, aku dan orang yang menurutku; menyeru manusia umumnya kepada agama Allah berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: ‘Maha Suci Allah (dari pada segala iktikad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku daripada golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.’”
Sekiranya keislaman seseorang itu natijah daripada usaha yang kita lakukan, mudah-mudahan kita termasuk dalam maksud hadis sahih riwayat al-Bukhari: “Jika Allah memberikan seseorang itu hidayah-Nya menerusimu, maka itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.”
Membawa al-Quran ke Luar Negara
Apakah hukum membawa al-Quran ke negara bukan Islam? Saya ada mendengar satu ceramah yang mengatakan hukumnya haram kerana ada hadis yang melarang. Jika begitu, bagaimana saya hendak membaca al-Quran nanti? Mohon penjelasan.
Jawapan:
Hukum bermusafir dengan membawa al-Quran ke negara bukan Islam adalah harus. Tidak dinafikan memang ada hadis yang melarangnya. Namun ia hendaklah difahami bersama motif di sebalik larangan Nabi s.a.w. itu.
Hadis tersebut bermaksud: “Jangan lah kamu bermusafir dengan al-Quran ke negara musuh. Ini kerana aku bimbang jika musuh berbuat kejahatan terhadap al-Quran itu.” (Riwayat Muslim)
Maka difahami daripada hadis tersebut bahawa larangan itu adalah untuk mengelakkan sebarang tindakan penghinaan dan pencemaran terhadap al-Quran seperti tindakan membakar al-Quran dan sebagainya.
Dr. Hj. Zahazan Mohamed
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5
Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed
Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.
Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.