Menu

 

A+ A A-

SENYUM ITU INDAH, SALAM ITU MUDAH

Ditulis oleh 

MUDAH tetapi payah. Itulah yang boleh disimpulkan tentang sikap memberi salam dan senyum dalam kalangan kita. Senyum itu mudah kerana mengikut ahli sains, kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 otot muka untuk mengerutkan dahi. Menurut saintis juga, senyum mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan penyakit.

Mudah tetapi Sukar

Namun senyum itu payah kerana ia melibatkan soal hati. Hati adalah raja dalam kerajaan diri kita. Apabila hati tidak mahu, seseorang tidak akan mampu senyum walau semudah mana pun ia dilakukan. Kata orang; hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. Apabila hati dalam keadaan marah, gundah dan bimbang seseorang tidak akan senyum. Bukan kerana tidak mampu, tetapi kerana tidak mahu.

Begitu juga dengan salam. Memberi salam itu mudah. ucapan salam hanya sepatah yakni “Assalamualaikum”. Anak-anak yang baru belajar bercakap pun boleh menuturkannya.

Malah burung kakak tua pun boleh dilatih mengucapkannya. Tetapi salam ada kalanya terlalu payah kerana ia melibatkan soal iman dan hati. Hanya apabila iman berada dalam hati, barulah mulut boleh menuturkan salam. Tetapi apabila iman rapuh, seseorang tidak akan mampu memberi salam sekalipun kepada orang yang rapat dengannya, apatah lagi kepada orang yang tidak dikenalinya.

Senyum dan salam merupakan budaya hidup di dalam syurga. Di syurga nanti penghuninya sentiasa tersenyum dan saling memberi dan menjawab salam antara mereka. Justeru, jika kita ingin memasuki syurga, maka cara hidup ahli syurga itu hendaklah kita amalkan terlebih dahulu di dunia.

senyum-itu-indah-1

Islam, Iman dan Kasih Sayang

Dalam islam, iman dan kasih sayang itu saling berkaitan. Seseorang yang kuat imannya, pasti akan kuat juga nilai kasih sayangnya.

Maksudnya, mereka yang akrab dengan Allah, insya-Allah sangat intim hubungannya dengan manusia lain. Iman di hati itulah yang menggerakkan diri pemiliknya untuk mencari ruang dan peluang bagi membina kasih sayang sesama manusia. Orang beriman akan terkesan dengan sabda Rasulullah s.a.w ini, maksudnya: “Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu panggillah ia dengan nama yang paling disenanginya.” (Riwayat al-Tabarani)

Rasulullah s.a.w. juga telah bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu meremehkan kebaikan apa pun, walau sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (wajah ceria dan senyuman).” (Riwayat Muslim)

Senyuman itu ada dua jenis. Pertama, senyum kerana gembira. Kedua, senyum untuk menggembirakan orang lain. Orang beriman lebih terkesan untuk senyum jenis yang kedua. itulah jenis senyuman yang dinilai sebagai sedekah yang boleh mengeratkan ukhuwah. Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, amar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah.” (Riwayat al-Tirmizi dan Abu Dzar)

Budayakan Amalan Ahli Syurga

Malangnya, senyum dan salam semakin kurang dibudayakan dalam hidup seharian terutamanya dalam kalangan para remaja. Senyum digantikan dengan simbol tangan yang berbagai-bagai kerana meniru budaya hidup Barat. Manakala ucapan salam yang mulia sudah diganti dengan ucapan ‘hello’, ‘hai’, ‘how are you’ dan sebagainya. Ucapan salam pada sesetengah remaja dirasakan ketinggalan zaman dan hanya sesuai diucapkan oleh dan kepada ‘orang agama’ dalam majlis-majlis ceramah, tazkirah dan khutbah di masjid atau surau sahaja.

senyum-itu-indah-2

Manusia kini terlalu mementingkan diri dan hidup dalam dunia personalnya sahaja tanpa mementingkan lagi nilai kasih sayang dan persaudaraan. Ramai yang tenggelam dengan masalah, cita-cita, angan-angan dan agenda hidup diri sendiri tanpa memikirkan lagi nasib atau keadaan saudara islamnya yang lain. Orang yang hanya memikirkan dirinya, tidak akan sempat memikirkan orang lain. ini menyebabkan dia begitu sukar untuk senyum dan memberi salam apabila berdepan, terserempak atau berselisih jalan dengan orang lain.

Alangkah ruginya apabila senyum dan salam ini tidak dibudayakan lagi dalam kehidupan. Itu petanda iman rapuh, ukhuwah lumpuh. Apabila ini terjadi, tidak ada lagi keindahan dalam hidup di dunia ini. Bukankah kata orang tua dahulu: “Yang kurik itu kendi, yang merah itu saga. Yang cantik itu budi, yang indah itu bahasa.” Tanpa salam dan senyum, tanduslah budi, pupuslah bahasa.

Ustaz Pahrol Mohamad Juoi
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.8


Read 13684 times
Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267