Menu

 

A+ A A-

PERUNTUKKAN MASAMU BUAT KELUARGA

“MINGGU depan saya ada peperiksaan, saya tidak mahu diganggu kerana ingin mengulang kaji.” Wah, begitu sekali kenyataan yang diberikan kepada ahli keluarga apabila waktu peperiksaan menjelang tiba!

Saat yang paling mencemaskan bagi para pelajar adalah waktu peperiksaan. Persediaan demi persediaan dilakukan agar soalan-soalan yang dikemukakan pada hari peperiksaan dapat dijawab dengan sempurna. Misi kali ini, lulus dengan cemerlang! Sedarlah, ibu bapa bukan mengganggu tetapi mengambil berat dan bersedia untuk mendoakan anak mereka.

peruntukkan-masamu-buat-keluarga-1

Jangan Ganggu Saya!

Meminta orang lain supaya tidak mengganggu sebenarnya mementingkan diri sendiri. Bukankah manusia itu saling memerlukan antara satu sama lain? Lebih-lebih lagi dalam hubungan kekeluargaan. Ayah dan ibu memerlukan anak dan begitu juga anak-anak berkehendakkan kedua-dua orang tua mereka.

Dilema antara anak dengan ibu bapa berlaku apabila kemahuan anak itu sendiri bertentangan dengan kehendak penjaganya. Anak biasanya mempunyai kemahuan yang dapat menyenangkan diri sendiri, manakala ibu dan bapa pula berkehendakkan anak mereka mendapat yang terbaik menurut perancangan yang telah mereka tetapkan.

peruntukkan-masamu-buat-keluarga-2

Sedari kecil, apa yang perlu dilakukan telah ibu bapa tentukan. Bermula daripada pakaian, makanan dan pendidikan semuanya menjadi tugas ibu dan bapa. Anak kecil tadi menginjak dewasa dan membesar tahun demi tahun. Jiwa dan dirinya menjadi seorang yang ingin berdikari dalam setiap perkara. Lebih-lebih lagi seorang anak kini bergelar seorang remaja.

Persediaan Terhadap Tanggungjawab

Permulaan tanggungjawab dalam diri seseorang menjadi lebih serius sebermula zaman remajanya. Ketika ini, remaja tercari-cari siapa idola yang sesuai untuk dicontohi, bagaimana penampilan yang seharusnya ditunjukkan dan apa identiti yang menepati buat dirinya.

Namun, ada satu lagi sudut yang perlu diberi perhatian. itulah, persediaan memikul tanggungjawab pada masa hadapan.

peruntukkan-masamu-buat-keluarga-3

Tanggungjawab terdekat sebagai mahasiswa universiti, pekerja terhadap majikan, suami dan isteri, dan sebagainya. Hakikatnya, tanggungjawab tanpa peringkat adalah tanggungjawab seorang anak kepada ibu dan ayahnya; sering dan seiring.

Benar, dalam usia yang masih muda tiada wang bulanan dapat diberikan kepada ibu bapa. Sesungguhnya, bukan realiti wang ringgit dan barang berharga itu yang didambakan oleh mereka. Zahirkan tanggungjawab tersebut dengan menghubungi mereka. Jika berada jauh di asrama, peruntukkan hanya beberapa minit untuk bertanya khabar dan keadaan mereka.

Lebihan wang saku pemberian mereka pula boleh dibelanjakan untuk membeli makanan kegemaran mereka. Malah, jangan ditunda untuk mengkhabarkan apa-apa berita gembira kepada mereka. Bersedialah untuk bertanggungjawab mulai sekarang kerana bebanan tanggungjawab dan tugasan akan bertambah dari semasa ke semasa. Moga-moga, suatu hari nanti remaja yang menginjak dewasa ini akan konsisten dalam melaksanakan tanggungjawabnya kepada ibu bapa tersayang.

peruntukkan-masamu-buat-keluarga-5

Harapan Ayah dan Ibu

Pernahkah kita bertanya apa harapan ayah dan ibu letakkan kepada kita? Harapan untuk berjaya dan menjadi orang yang berguna itu adalah suatu kepastian. Namun, ketahuilah bahawa mereka berada sangat damai dan bahagia apabila dapat duduk bersama-sama anaknya. Runsing bertukar gembira, sakit beransur pulih dan kekosongan mereka akan terisi. Tanya kepada diri, kukuhkah ikatan kekeluargaan kita?

peruntukkan-masamu-buat-keluarga-4

Khadijah Khalilah Abdul Rashid
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.8


Khadijah Khalilah Abdul Rashid

Khadijah Khalilah Abdul Rashid dilahirkan pada 20 Mei 1987 di Serdang, Selangor. Kini menetap di Sepang, Selangor. Mendapat pendidikan di Sekolah Islam al-Amin Bangi, Sekolah Agama Menengah Hulu Langat, Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya, Universiti Mohammed V, Rabat Maghribi, Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kembali ke atas