Menu

 

A+ A A-

AYAT PALING AGUNG DALAM AL-QURAN

ADAKAH ayat yang paling agung dalam surah al-Baqarah?

Ya, ada. Bahkan ia ayat paling agung dalam al-Quran. Ini berdasarkan kepada hadis-hadis Baginda Nabi s.a.w. Antaranya ialah: Ayat yang paling utama di dalam surah al-Baqarah ialah ayat al-Kursi. (Tafsir Ibn Kathir, jil. 1, hlm. 509)

Dalam satu riwayat Baginda Nabi s.a.w. menyatakan bahawa ayat yang paling agung dalam al-Quran ialah ayat al-Kursi. Imam Ahmad meriwayatkan daripada Ubay bin Ka‘ab r.a. bahawa Baginda s.a.w pernah bertanya kepadanya, “Apakah ayat yang paling agung dalam Kitab Allah?” “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui,” sahut Ubay bin Ka‘ab. Maka Nabi s.a.w mengulang-ulang pertanyaan tersebut, dan kemudian Ubay bin Ka‘ab menjawab: “Ayat al-Kursi.”

Lalu Baginda mengatakan: “Engkau akan dilelahkan (dipenatkan, dalam erti kata disibukkan) oleh ilmu, hai Abu Mundzir (gelaran kepada Ubay Bin Ka’ab). Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya ayat al-Kursi itu mempunyai satu lidah dan dua bibir yang sentiasa menyucikan al-Malik (Allah s.w.t.) di sisi tiang Arasy.” Hadis ini juga telah diriwayatkan oleh Imam Muslim tanpa adanya tambahan “…Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya ayat al-Kursi itu mempunyai satu lidah dan dua bibir yang sentiasa menyucikan al-Malik (Allah s.w.t.) di sisi tiang Arasy…”

ayat-paling-agung-dalam-alquran-1

Adakah surah al-Baqarah mempunyai nama yang banyak seperti surah al-Fatihah dan kenapa ia dinamakan sedemikian?

Ya. Surah al-Baqarah mempunyai nama-nama yang lain. Ini adalah seperti yang disebutkan dalam kitab-kitab tafsir dan telah dikumpulkan sebahagiannya dalam Kitab Perbendaharaan al-Qur’an, jilid 2 seperti berikut:

Al-Baqarah

Ini adalah nama yang masyhur bagi nama surah ini. Ia bermakna lembu betina. Surah ini dinamakan al-Baqarah kerana kisah lembu betina yang terdapat dalam surah ini merupakan kisah yang paling menonjol, paling unik dan aneh. Kisah tersebut diterangkan dalam ayat 67 hingga 74 surah ini.

Al-Zahra’

Nama ini membawa makna sesuatu yang indah bercahaya atau bergemerlapan. Nama ini berdasarkan isyarat yang terdapat dalam hadis Nabi s.a.w. yang menyebut: “Bacalah al-Zahrawain (dua surah yang indah) iaitu al-Baqarah dan Ali ‘Imran.”

Al-Zahrawain adalah kata nama yang menunjukkan dua (muthanna) yang mana kata tunggalnya ialah al-Zahra’.

Sanam al-Qur’an

Sanam bermaksud tempat yang tinggi atau kemuncak sesuatu tempat atau benda atau perkara. Ia berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud r.a. yang berbunyi: “Setiap benda mempunyai puncak (yang mulia), dan puncak yang mulia al-Qur’an ialah surah al-Baqarah. Dalamnya ada satu ayat yang menjadi penghulu kepada ayat-ayat al-Qur’an iaitu ayat al-Kursi.

ayat-paling-agung-dalam-alquran-2

Fustat al-Qur’an

Fustat bermakna astaka atau balai yang membawa maksud khemah besar yang dibina daripada bulu atau kain yang diperbuat daripada bulu. Ia satu kiasan tentang surah al-Baqarah yang diibaratkan seumpama sebuah khemah atau rumah besar yang terdapat di dalam al-Quran. Ini berdasarkan isyarat yang terdapat dalam hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri r.a. “Mengajar (manusia) surah al-Baqarah akan memperoleh keberkatan dan meninggalkannya (membiarkannya) akan menyebabkan timbul perasaan sesal dan kecewa dan ahli sihir tidak akan mampu menumpaskannya (iaitu dengan surah al-Baqarah, perbuatan sihir mampu dibatalkan). Ia adalah fustat al-Qur’an.”

Ashraf Suwar al-Qur’an

Nama ini membawa maksud surah al-Quran yang paling mulia. Nama atau sifat ini diambil daripada kata-kata Ibn Abbas r.a. “Daripada Ibn Abbas r.a. bahawa al-Baqarah ialah surah al-Qur’an yang paling mulia, dan dalamnya ada ayat al-Qur’an yang paling mulia dan paling agung iaitu ayat al-Kursi”.

Don Daniyal Don Biyajid
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4


Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajid

Lulusan Maahad Qiraat Syubro, Mesir. Kini bertugas sebagai pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Beliau aktif berdakwah terutamanya dalam TV al-Hijrah. Antara program TV yang dikendalikan olehnya iaitu 30 minit Ustaz Don.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi produk penulis ini di Addeen Online Store.

  

Kembali ke atas