Menu

 

A+ A A-

BIJAKSANA MENGAJAR AKIDAH

Adna Solehah

Anak perempuan saya yang bersekolah di sebuah sekolah rendah agama sedang membuat latihan akidah pendidikan Islam tahun 2. Kemudian dia berkata: “Walid! Adik peninglah. Kenapa buku ni cakap ‘Semua pokok dan tumbuhan dipegang Allah’?!”. Nampaknya perkataan “pegang” difahami oleh kanak-kanak berusia lapan tahun sebagai suatu persamaan dengan makhluk sedangkan beliau tidak pernah melihat Allah secara zahir.

Ustaz

Puan, “pegang” itu maksudnya jaga. Maksudnya, semua pokok yang ada di dunia ni dijaga oleh Allah.

Adna Solehah

Oh! Barulah saya faham!

Dipetik dari fb: Abdullah Bukhari Abdul Rahim pada 21 Februari 2012.

TAZKIRAH

Pengajaran akidah perlu dimudahkan untuk orang awam lebih-lebih lagi kanak-kanak. Kanak-kanak yang mengenal Allah semenjak kecil akan membesar dengan kekuatan akidah yang utuh. Aspek pengajaran akidah sukar difahami oleh kanak-kanak sekiranya diulas menggunakan bahasa yang sukar. Ibu bapa dan pendakwah perlu memahami matlamat asal pengajaran akidah iaitu mengenal Allah serta menyucikan-Nya daripada sebarang persamaan (dalam apa cara sekalipun) dengan makhluk sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Tiada sesuatu pun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya, dan pentadbiran-Nya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (Surah al-Syura 42: 11)

Antara contoh penyemaian akidah yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. adalah mengajarkan kanak-kanak yang baru pandai bertutur dengan ayat terakhir surah al-Isra’ yang bermaksud: “Dan katakanlah: “Segala puji tertentu bagi Allah yang tidak mempunyai anak, dan tiada bagi-Nya sekutu dalam urusan kerajaan-Nya, dan tiada bagi-Nya penolong disebabkan sesuatu kelemahan-Nya; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakan-Nya dengan bersungguh-sungguh!” (Surah al-Isra’ 17: 111) (Tafsir Ibn Kathir)

Abdullah Bukhari Abdul Rahim
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu no. 4


Abdullah Bukhari Abdul Rahim

Sarjana Usuluddin (Tafsir al-Quran), UM. Kini pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Tulisan beliau kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Tumpuan penulisan beliau ialah kefahaman dan interaksi dengan al-Quran. Dekati beliau di abdullahbukhari.blogspot.com. 

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas