Menu

 

A+ A A-

REZEKI HAJI MUDA

Wajib Haji Tidak Berkaitan Umur

Saya melihat jemaah haji kesemuanya orang tua-tua. Adakah orang muda belum digalakkan lagi untuk menunaikan haji?

Dalam surah Ali Imran ayat 97 Allah s.w.t. berfirman dengan maksudnya: “Dan untuk Allah maka wajiblah ibadat haji di Baitullah itu bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

Melalui ayat ini para ulama meletakkan bahawa antara syarat wajib haji adalah seseorang itu mesti mempunyai kemampuan daripada aspek kesihatan dan wang ringgit.

Bagi para muda-mudi, ibadat haji pada usia muda adalah dituntut apabila memenuhi syarat-syaratnya. Oleh yang demikian, jika sudah berkemampuan, maka tiada alasan untuk melewatkan pelaksanaannya.

Jika ibadah haji itu dilakukan dalam keadaan tubuh badan yang sihat sudah tentu ianya lebih disukai oleh Allah. Sabda Nabi yang bermaksud: “Orang Mukmin yang kuat itu lebih baik dan disukai oleh Allah berbanding orang Mukmin yang lemah.” (Riwayat Muslim)

 rezeki haji muda

Jika ibadah haji itu dilakukan dalam keadaan tubuh badan yang sihat sudah tentu ianya lebih disukai oleh Allah. Sabda Nabi yang bermaksud: “Orang Mukmin yang kuat itu lebih baik dan disukai oleh Allah berbanding orang Mukmin yang lemah.” (Riwayat Muslim)

Perkara kedua yang perlu kita ketahui bahawa peluang yang Allah berikan kepada kita bukanlah selalu dan berpanjangan. Maka lebih wajar apabila kita berpeluang dan berupaya untuk melakukan sesuatu, kita melakukannya tanpa bertangguh.

Sabda Nabi yang bermaksud: “Kejarlah lima perkara sebelum datang lima perkara: masa muda sebelum datangnya masa tua, masa sihat sebelum datangnya masa sakit, masa kaya sebelum datangnya masa miskin, masa lapang sebelum datangnya masa sibuk dan masa hidup sebelum datangnya masa mati.” (Riwayat al-Hakim)

Seseorang itu mampu untuk pergi haji pada usia muda kerana kedudukan kewangannya kukuh. Namun dia menangguhkannya dahulu kerana begitu sibuk dengan komitmen kerjaya dan tanggungjawab terhadap keluarga. Apa pandangan Islam dalam situasi sebegini?

Apabila seseorang telah berkemampuan daripada aspek kesihatan tubuh badan, sumber kewangan dan syarat-syarat wajib haji yang lain, maka telah sampai kewajipan baginya untuk menunaikan ibadat haji.

Perlulah diingat bahawa kerjaya bukanlah alasan untuk kita tidak menunaikan ibadat haji. Maka buatlah perancangan dengan sebaik-baiknya supaya kita mempunyai masa dan berpeluang untuk menunaikan ibadat haji di Makkah al Mukarramah. Daftarlah dengan segera jika kita telah mampu dan jangan melengah lengahkan ibadat haji yang mulia ini.

Berkaitan urusan tanggungan keluarga pula, jika kita tidak boleh meninggalkan ahli keluarga atas sebab-sebab yang mendesak, maka kita belum lagi diwajibkan haji. Contohnya kita masih mempunyai anak yang masih kecil dan perlukan penjagaan daripada ibu bapa. Ibu bapa wajib memberikan penjagaan yang sempurna buat anak-anak. Justeru sempurnakan kewajipan yang sedia ada ini dahulu.

Begitulah juga keadaannya jika seorang suami yang sudah berkemampuan namun isterinya masih kurang berkemampuan. Boleh jadi belum cukup perbelanjaan untuk si isteri. Maka pada ketika itu, dia boleh menangguhkan perjalanan haji supaya dapat pergi bersama-sama isterinya.

Status Haji Kanak-kanak

Apakah hukum kanak-kanak yang menunaikan ibadah haji? Adakah ia dikira sah?

Sekiranya kanak-kanak itu belum baligh, maka ibadat haji sah tetapi ia dikira sebagai amalan sunat sahaja. Oleh yang demikian kanak-kanak itu wajib melakukannya sekali lagi setelah mencapai usia baligh dan berkemampuan. Ini kerana ibadat haji bagi kanak-kanak yang belum baligh bukannya kewajipan.

Sabda Nabi yang bermaksud: “Apabila seseorang kanak-kanak yang belum baligh menunaikan ibadat haji, dia perlu mengulanginya sekali lagi apabila telah mencapai usia akil baligh.” (Riwayat al-Tabarani)

Namun bagi ibu bapa yang membawa anak-anak mereka yang sudah sampai usia remaja dan akil baligh, maka haji yang dilakukan itu ialah haji fardu. Maka sudah memadai bagi remaja tersebut dan tidak perlu untuknya mengulangi haji ketika dewasa kelak.

Panduan Bakal Haji Muda

Alhamdulillah saya diberi peluang untuk pergi menunaikan haji pada tahun hadapan. Apa nasihat ustaz untuk bakal haji muda seperti saya ini?

Sesungguhnya peluang yang kita peroleh ini bukanlah selalu datang. Jika pun ada, ia selalunya bukan datang bergolek. Maka gunalah peluang yang diperoleh itu untuk menunaikan haji di Baitullah dengan sebaik mungkin. Jagalah tatatertib kita sepanjang berada di sana. Mudah-mudahan haji kita diterima oleh Allah sesempurnanya.

Sama-sama kita mengingati firman Allah dalam surah al- Baqarah ayat 197 yang bermaksud: “Sesungguhnya haji itu (dilakukan) pada bulan-bulannya yang tertentu. Sesiapa yang memfardukan (melakukan) ibadat haji maka dia tidak boleh melakukan ‘rafas’, kemaksiatan dan juga tidak dibenarkan bertengkar.”

Daripada ayat ini, terdapat tiga perkara yang perlu diberikan perhatian serius:

1. Tidak berlaku rafasKebanyakan ulama tafsir memberikan makna rafas sebagai berjimak. Manakala sebahagian ulama lain antaranya Ibn Abbas mentafsirkan perkataan itu sebagai kata-kata yang lucah.

2. Tidak melakukan kemaksiatan.

Sesungguhnya kemaksiatan yang dilakukan ketika berada di Tanah Suci adalah amat besar dosanya. Kemaksiatan di sini juga membawa makna khas iaitu perbuatan mencela sepertimana yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibnu Umar.

3. Tidak bertengkar.

Inilah ujian yang cukup besar bagi para jemaah haji. Kita digalakkan untuk bersabar dan menjauhi sebarang bentuk pertengkaran walaupun untuk menegakkan perkara yang benar. Cukuplah dengan nasihat yang sopan tanpa perlu menengking dan memarahi jemaah haji yang lain.

Mudah-mudahan ibadat haji yang kita laksanakan mendapat kesempurnaan yang semaksimum mungkin dan dikurniakan haji yang mabrur, insya-Allah.

Imam Muda Muhammad Asyraf Bin Mohd Ridzuan
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.6


Last modified onThursday, 01 September 2016 10:38
Imam Muda Muhammad Asyraf Bin Mohd Ridzuan

Sarjana Muda Usul & Fiqah, Universiti Malaya. Sebelum itu mengambil Diploma Qiraat di Maahad Tahfiz Pulau Pinang. Kini sedang menyiapkan pengajian sarjana juga di Universiti Malaya dalam bidang yang sama. Beliau merupakan Juara Imam Muda Astro musim pertama 2010. Kejayaan beliau mendapat liputan media antarabangsa antaranya CNN, BBC, Reuters dan Al-Jazeera. Dekati beliau di imamudasyraf.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas