Menu

 

A+ A A-

RIBA PUNCA KRISIS KEWANGAN GLOBAL

PERSOALAN riba tidak dapat dipisahkan daripada membicarakan krisis kewangan yang melanda dunia dewasa ini. Sebelum kita membicarakan isu krisis kewangan ini marilah sama-sama kita melihat peringatan serta amaran daripada Allah s.w.t. agar umat manusia menjauhkan diri mereka daripada riba.

Pengharaman riba ini telah “digazetkan” oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran, dalam surah al-Baqarah ayat 275, 276 dan 279. Firman Allah yang bermaksud:

“Orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: ‘Bahawa berniaga itu sama sahaja seperti riba.’ Padahal Allah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu, siapa yang sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu dia berhenti (daripada mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya dan perkaranya terserahlah kepada Allah dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Baqarah 2: 275)

“Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa.” (Surah al-Baqarah 2: 276)

“Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: Akan adanya peperangan daripada Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat) dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.” (Surah al-Baqarah 2: 279)

Rentetan ayat ini cukup menarik untuk kita renung bersama terutamanya dalam suasana muram akibat krisis kewangan global. Krisis ini perlu dinilai dan disoroti melalui kaca mata Islam. Ini perlu dilakukan agar kita segera kembali kepada fitrah yang diciptakan Allah s.w.t. demi kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Riba bukan sahaja sesuatu yang diharamkan bahkan disusuli dengan amaran “penyusutan” dan “perang” oleh Allah s.w.t. kepada golongan terlibat. Imam al-Qurtubi memetik daripada Malik bin Anas dalam mentafsirkan ayat ini menyatakan:

“Aku telah menyelak helaian Kitab Allah dan sunah nabi-Nya tidak didapati sesuatu pun yang lebih buruk daripada riba, kerana Allah s.w.t. mengisytiharkan perang terhadapnya.

Marilah kita semua merenung sejenak huraian ayat 279 dari surah al-Baqarah ini agar dapat dihayati betapa kemurkaan Allah s.w.t. terhadap golongan yang mengamalkan riba dalam urusan atau aktiviti mereka.

Krisis Kewangan Global

Persoalan mungkin timbul di benak kita, bagaimana hubung kait krisis ini dengan riba yang dibincangkan di atas. Bagi mencari jawapannya kita semua perlu melihat kepada struktur kewangan yang dilanda krisis ini. Krisis ini dikenali sebagai Krisis Gadai Janji Subprima yang timbul daripada rentetan:

  • Penguncupan kecairan dalam sistem perbankan.
  • Kemerosotan dalam pasaran perumahan Amerika Syarikat.
  • Amalan memberikan pinjaman dan meminjam.
  • Kadar hutang individu dan korporat.

Bagi memudahkan kefahaman pembaca sekalian, kita gambarkan satu proses yang mudah seperti berikut:

Pihak bank menyediakan kemudahan pinjaman perumahan kepada para pelanggan yang berisiko tinggi iaitu golongan yang berpendapatan rendah atau golongan yang mempunyai sejarah kredit yang tidak baik.

Bagi mengimbangi risiko kadar ingkar atau ketidakmampuan membayar balik pinjaman, pihak bank mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi berbanding peminjam biasa (prima). Para pelanggan pula berharap mereka mampu membuat pinjaman semula (refinance) dengan kadar faedah yang lebih baik apabila harga rumah telah meningkat pada masa hadapan.

Bank yang mengeluarkan pinjaman telah menstrukturkan hutang tersebut melalui satu bentuk kejuruteraan kewangan yang dipanggil “pengsekuritian”. Sekuriti ini dijual di pasaran kewangan kepada pelabur pihak ketiga dan seterusnya.

Krisis kewangan ini mula menampakkan wajahnya apabila pelanggan tidak mampu membayar ansuran hutang rumah mereka dan dalam waktu yang sama para pelabur pihak ketiga tidak mampu menjual sekuriti yang mereka miliki. Ini menyebabkan institusi kewangan yang merupakan pelabur pihak ketiga mengalami kerugian yang besar.

Betapa dahsyatnya kemelut ini dapat dibayangkan dengan meneliti perkara berikut:

1. Terlingkupnya dua bank pelaburan gergasi seperti Lehman Brothers yang ditubuhkan 158 tahun lalu dan Merill Lynch yang dibina 94 tahun dahulu.

2. Pengumuman pelan penyelamatan besar-besaran oleh Kerajaan Amerika Syarikat ke atas syarikat insurans gergasi dengan Rizab Persekutuan dengan pinjaman USD85bilion (RM289 bilion).

3. Pakej bantuan untuk memulihkan kemelut kewangan oleh Perbendaharaan Amerika Syarikat berjumlah USD700 bilion (RM2,452 bilion).

4. Pengumuman peruntukan Perdana Menteri British Gordon Brown berjumlah $50 bilion untuk memiliki negara sebahagian daripada kepentingan ekuiti dalam lapan bank utama Negara itu.

5. Pasaran saham sejagat mengalami kejatuhan yang amat ketara. Nilai unitunit saham utama mengalami kemerosotan.

6. Kenyataan Presiden Sarkozy yang dipetik oleh Utusan Online pada 19 Oktober lalu menggesa agar dirombak seluruh sistem kewangan antarabangsa yang dibina selepas Perang Dunia Kedua pada persidangan Bretton pada tahun 1944.

Pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan negara terbabit namun masih belum menampakkan hasil yang membanggakan. Analisis menunjukkan kesan krisis ini amat besar kepada dunia.

Krisis Sistem Riba

Mungkin ada yang mengatakan krisis ini adalah kebiasaan yang berlaku dalam kitaran ekonomi. Ini adalah fenomena biasa yang perlu dihadapi dengan perancangan yang rapi untuk mengatasinya.

Namun begitu, cuba kita sejenak menggunakan logik akal yang mudah. Jika semua pihak yang terlibat diberi peluang, pastinya tidak ada sesiapa pun yang mahu dan tidak menjangkakan nilai rumah di Amerika Syarikat akan menjunam jatuh, jika tidak pastinya pihak bank tidak akan memberikan pinjaman dan pihak pelabur juga tidak akan membeli sijil sekuriti yang dikeluarkan. Namun begitu realitinya adalah sebaliknya.

Siapakah yang mengatur situasi ini? Semestinya umat Islam merenung dengan mendalam dan teliti dalam menilai krisis ini dan menghubungkaitkan pengisytiharan perang dan amaran kehancuran sistem riba oleh Allah s.w.t. Marilah sama-sama kita renung dan kaitkan krisis ini dengan amaran Allah s.w.t. tersebut dengan rasa penuh kehambaan.

Krisis ini perlu dinilai dengan kembali merujuk amaran Allah s.w.t. terhadap pengamalan riba serta larangan Islam ke atas jual hutang dengan hutang (bay al-dayn bi al-dayn) dalam urusan jual beli sijil sekuriti seperti yang dibincangkan sebelum ini. Pengharaman riba jelas termaktub dalam al-Quran. Manakala pengharaman jual beli hutang dengan hutang juga telah diputuskan haram oleh Nadwah ke-17, Akademi Feqah Islam Antarabangsa yang diadakan di Amman, Jordan pada 24-28 Jun 2006.

2Riba Punca Krisis Kewangan Global

Perbaiki Perbankan Islam

Tiga golongan yang perlu bertindak dalam usaha mengambil iktibar dan tindakan proaktif daripada kemelut ini iaitu:

  • Masyarakat awam.
  • Usahawan/Korporat.
  • Pihak berkuasa.

Masyarakat awam semestinya menyedari dan menyakini bahawa amaran Allah s.w.t. itu benar. Riba adalah kemusnahan. Umat Islam juga perlu berusaha membangun dan menyokong sistem kewangan Islam yang ada dengan bersungguh-sungguh. Usaha ini semata-mata kerana kepatuhan dan ketaatan kepada Allah s.w.t.

Tidak dinafikan terdapat pelbagai kekurangan dalam sistem kewangan Islam dewasa ini, namun kita mesti berusaha bersama-sama mengukuhkannya dengan menyumbangkan idea, tenaga dan usaha. Kita jangan hanya tahu melontarkan komentar tentang kepincangannya tetapi tidak mengemukakan cadangan penambahbaikan.

Usahawan Muslim semestinya menjadikan sistem kewangan Islam sebagai pilihan wajib bukannya alternatif. Ini semua mesti dilakukan demi ketaatan kepada Allah s.w.t.

Manakala pihak berkuasa perlu menyediakan segala infrastruktur demi membangunkan sistem kewangan Islam agar ia setanding dengan sistem konvensional. Sebarang halangan kepada pelaksanaan sistem kewangan Islam perlu dirombak dan disesuaikan. Akta-akta atau undang undang perlu dinilai agar ia selaras dengan keperluan kewangan Islam. Ini sewajarnya dilaksanaan dengan kadar yang segera demi mencapai tahap piawaian kewangan Islam antarabangsa. Keadaan memudahkan pencapaian hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub kewangan Islam antarabangsa.

Ayuh kita semua berganding bahu dan bangkit bersama-sama demi ketaatan dan rasa kehambaan kepada Allah s.w.t.¤

 

Mohd Zamerey Abd. Razak

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3

 

Mohd Zamerey Abd. Razak

Mohd Zamerey Abd Razak adalah Penolong Naib Presiden, Jabatan Syariah/Setiausaha Majlis Penasihat Syariah, Asian Finance Bank Bhd. (Konsortium Qatar Islamic Bank, RUSD Investment Bank-Arab Saudi & Global Investment House-Kuwait).

Terkini daripada Mohd Zamerey Abd. Razak

Kembali ke atas