Menu

 

A+ A A-

AMBILLAH 40 TAHUN DARIPADA UMURKU, BERI KEPADANYA!

MENURUT para ulama ahli tafsir al-Quran seperti Ibn Jarir, Ibn Abi Hatim, Ibn Athiyyah dan Ibn Kathir, Allah telah mengeluarkan keturunan manusia daripada tulang sulbi mereka dalam keadaan mentauhidkan Allah. Dalam erti kata yang lebih jelas, manusia mengakui (bersaksi) bahawa Allah merupakan tempat pergantungan yang mutlak, serta untuk beribadah, tanpa mensyirikkan-Nya dengan yang lain.

Demikianlah Allah menjadikan fitrah dalam diri manusia yang memperakui dengan sepenuh hati dan jiwa kebenaran itu. Terdapat sebuah hadis yang berperanan menjelaskan konteks keimanan sang anak waktu dilahirkan ke muka bumi. Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim ini mengemukakan satu bandingan yang menarik berdasarkan pengamatan tentang kelahiran makhluk.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua-dua orang tuanya yang membentuk peribadinya sama ada mengikuti perlakuan orang Yahudi ataupun Nasrani ataupun Majusi.” Perkara ini serupa haiwan ternak yang dilahirkan sebagai haiwan ternak juga, dalam keadaan sempurna anggota tubuhnya.

Apakah anda mendapati ada antaranya yang terputus telinga, hidung ataupun anggota yang lain daripadanya? Selain itu, hadis sahih yang terdapat dalam Sahih Muslim menerusi riwayat Iyadh turut menyokong hujah hadis di atas.

Nabi bersabda, maksudnya: “Allah berfirman: Sesungguhnya Aku menciptakan para hamba-Ku dalam keadaan Islam (hanif), lalu syaitan datang kepada mereka lantas menyesatkan mereka daripada agama mereka dan mengharamkan atas mereka apa yang Aku halalkan bagi mereka.” Dalam hadis riwayat al-Tirmizi yang dinilai sebagai sahih olehnya, Nabi s.a.w. pernah menceritakan setelah Allah mengusap belakang Nabi Adam maka jatuhlah daripada tulang sulbinya setiap jiwa yang akan diciptakan sebagai keturunannya hingga ke hari kiamat.

Kemudian Allah meletakkan seberkas cahaya antara kedua mata manusia yang diperlihatkan itu. Nabi Adam bertanya tentang mereka. Maka Allah memberitahunya, “Itulah keturunanmu.” Nabi Adam terpegun melihat seberkas cahaya yang mengagumkannya menyebabkan dia bertanya identiti manusia itu. Allah memberitahunya itulah zuriatmu yang bernama Daud. Nabi Adam bertanya lagi kepada Allah: “Berapa lama Engkau memberinya untuk hidup?” Allah menjawab, “Enam puluh tahun.” Kemudian Nabi Adam meminta agar diambil empat puluh tahun daripada peruntukan hayatnya untuk diberikan kepada zuriatnya itu agar menjadi seratus tahun.

Apabila tiba ajalnya, Nabi Adam mempersoalkan kedatangan Izrail dengan mengatakan: “Bukankah aku masih memiliki baki empat puluh tahun lagi?” Beliau terlupa tentang hadiah umur yang telah dihulurkan kepada Daud itu. Dalam hadis ini Nabi s.a.w. memberikan ulasan: “Adam terlupa, lalu keturunannya pun terlupa. Adam ingkar maka keturunannya pun ingkar.” Para ulama dalam kalangan pentafsir al-Quran berbeza pandangan tentang kaedah pengeluaran zuriat yang berlaku. Mengeluarkan dalam konteks ayat mengisyaratkan adanya pemisahan daripada yang asal.

Terdapat banyak hadis yang menunjukkan bahawa Allah mengeluarkan keturunan Adam dari sulbinya, lalu membezakan antara mereka golongan yang akan memasuki syurga daripada golongan yang akan menjadi ahli neraka. Tapi pada masa yang sama ia berbeza daripada pengambilan yang menyebabkan kekurangan. Mengambil air dari dalam takungan bererti mengurangkan kuantiti air dari tempat asal.

Kata kerja “mengambil” ini juga berbeza daripada perbuatan mengambil manfaat daripada kuliah yang didengari seseorang. Demikian pula perkataan mengambil hati yang digunakan dalam percakapan umum yang merujuk kepada perasaan terusik disebabkan sesuatu. “Ambil” yang digunakan dalam firman Allah ini mempunyai kesamaan dengan penggunaan bahasa umum yang merujuk pada ambilan yang tidak memberi kesan kepada struktur asal. Mafhum daripada ayat ini Allah mengeluarkan zuriat yang masih belum dikeluarkan sebagai manusia untuk menerima penyaksian bahawa Dia telah memberikan kepadanya tanggungjawab apabila dia mukalaf kelak.

Dia hendaklah mematuhi perjanjiannya dengan Allah bahawa dia mestilah mentaati-Nya dan memenuhi segala perkara yang telah dipersetujui itu. Kerana itu ayat di atas lebih tepat difahami sebagai suatu ilustrasi tentang beraneka ragam pembuktian kekuasaan Allah yang telah disebatikan dengan pembawaan diri menerusi fitrah dan akalnya.

Maksud ayat berdasarkan hadis-hadis yang dikemukakan di atas, dikeluarkan daripada keturunan asal, namun tidak mengurangkan sedikitpun daripada ayahandanya. Sebagaimana Dia tidak mengurangkan sedikit pun kejadian ayahandanya, demikian juga kedua-dua pihak tersebut tidak akan dihukum atas salah laku pihak yang lain. Ayat ini menjelaskan dua sebab mengapa penyaksian tersebut diambil oleh Allah.

Pertama supaya manusia pada hari kiamat kelak tidak berkata: “Sesungguhnya kami adalah orang yang lengah terhadap ini, kerana Allah tidak mengemukakan sebarang petunjuk untuk kami berpegang padanya.” Tentulah tidak wajar bagi Allah untuk menghukum manusia yang tidak diberitahu tentang kesinambungan hidup akhirat selepas dunia.

Perkara yang kedua adalah supaya golongan ini tidak mengatakan di akhirat kelak: “Kami mencontohi amalan datuk nenek moyang kami kerana kami adalah keturunan mereka. Maka hukumlah mereka bukannya kami, kerana kami hanyalah anak-anak mereka yang tidak boleh dipersalahkan.” Kesimpulannya ialah setiap manusia telah dibekalkan dengan fitrah beragama serta pengakuan akan keesaan Allah.

Hakikat ini adalah selari dengan pengiktirafan Firaun waktu dia meyakini dia akan lemas karam menyebabkan dia melafazkan kalam yang terakhir yang direkodkan oleh Allah dalam surah Yunus ayat 90, maksudnya: “Sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): ‘Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah daripada orang yang berserah diri (menurut perintah)’.” Kerana itu jika ada golongan yang masih mengingkari kewujudan Allah dan keesaan-Nya, sebenarnya mereka berada dalam satu kehidupan yang bersifat kepura-puraan.

Apabila sampai ajalnya kelak, sebelum berpisah roh dari jasadnya, dia pasti mengakui tentang kesilapannya. Manusia selalu menangguhkan keperluan dan hajatnya ke suatu masa yang dirasakan wajar, termasuk masa untuk berehat, makan dan bergembira. Namun manusia pasti akan kesal setelah sekian lama dikurniakan kehidupan, dia telah menangguhkan satu perkara yang paling penting, lebih penting daripada udara, makanan, air yang diteguknya saban waktu. Dia telah menangguhkan keimanannya kepada Allah, sedangkan dia telah berjanji mentaati-Nya suatu masa dahulu! ¤

  

Ustaz Zahazan Mohamed 

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.4

_______________________________________________________________________

Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.

Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

  TBBK1057 TBBK1157TBBK1182

   TBBK1052TBBK1297TBBK1126

    TBBK1214TBBK1052

Kembali ke atas