Menu

 

A+ A A-

WUDUK BUKAN SEKADAR AIR YANG MENGALIR

ANTARA perkara yang membezakan Islam dan agama-agama lain ialah Islam mementingkan kebersihan zahir dan batin, luar dan dalam. Tiada siapa dapat menafikan perkara ini dan ia terbukti jelas dan nyata melalui ajarannya. Di kala umat lain yang mementingkan kebersihan  diri semata-mata atau kebersihan luaran sahaja, Islam datang dan menekankan kepentingan hati yang suci berserta tubuh badan yang bersih dan keduanya tidak dapat dipisahkan.

Antara ajaran Islam yang menampakkan dengan jelas tentang kebersihan luaran yang dikaitkan dengan kebersihan dalaman ialah ibadat berwuduk. Imam al-Nawawi di dalam bukunya, Riyadhus Solihin telah mengumpulkan beberapa hadis sahih yang berkaitan dengan amalan berwuduk. Kesemuanya menunjukkan dengan jelas bagaimana ibadat wuduk yang merupakan penentu kepada sah atau tidak ibadat solat itu mempunyai kesan pada hati, bukan hanya pada kebersihan tubuh badan.

Kelebihan Berwuduk

Bab kelebihan berwuduk dalam buku itu dibuka dengan ayat keenam daripada surah al-Maaidah. Ayat ini merupakan hujah yang menjelaskan hukum berwuduk sebagai pra syarat untuk diterima solat seseorang. Seterusnya bab ini diteruskan dengan beberapa hadis seperti hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada sahabat Nabi s.a.w. yang bernama Abu Hurairah. Hadis tersebut bermaksud: “Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari akhirat nanti dalam keadaan putih berseri pada anggota wuduk kesan daripada wuduk.”

wuduk 2

Begitu sekali kesannya pada diri kita pada hari akhirat nanti! Siapa sangka, wuduk yang begitu mudah dilakukan akan berkekalan kesannya sehingga membawa kepada waktu kita dibangkitkan di akhirat?

Begitu juga dalam hadis seterusnya yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah s.a.w. memberikan gambaran bahawa kesan air wuduk di dunia ini akan bertukar menjadi perhiasan di akhirat. Begitulah kesannya yang bakal dilihat oleh setiap orang yang sentiasa berwuduk dan menunaikan solat.

Di dalam beberapa hadis berikutnya kita dapati Rasulullah s.a.w. memberitahu kita tentang kelebihan-kelebihan yang akan diperoleh oleh setiap Muslim ketika dia berwuduk. Di antaranya ialah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim melalui Uthman bin Affan yang bermaksud: “Sesiapa yang berwuduk lalu mengelokkan wuduknya, keluarlah dosa-dosanya dari tubuhnya sehinggakan ia keluar daripada hujung-hujung jari.”

Manakala dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Muslim juga melalui Uthman bin Affan, Rasulullah s.a.w. bersabda – selepas Baginda menunjukkan kepada para sahabat bagaimana cara berwuduk – yang antara lain bermaksud, “Sesiapa yang berwuduk seperti ini, maka akan diampunkan dosanya.”

Begitu juga dalam satu lagi hadis yang diriwayatkan oleh Muslim melalui Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. menjelaskan dengan lebih terperinci bagaimana dosa-dosa yang dilakukan oleh anggota pada wajah kita seperti mata dan mulut akan keluar ketika kita membasuh muka. Begitu juga dosa yang dilakukan oleh tangan dan kaki akan dihapuskan apabila kita membasuh keduanya ketika berwuduk.

Betapa Allah s.w.t. Maha Pengampun, Maha Penyayang dan Maha Mengasihani akan diri kita yang sentiasa tidak lepas dari dosa dan kesilapan! begitu banyak dosa yang dilakukan oleh anggota-anggota wuduk seperti mata yang melihat pelbagai perkara yang dilarang, tangan yang melakukan bermacam-macam perbuatan dosa dan kaki yang sering melangkah ke tempat-tempat yang tidak baik. Kesemuanya akan diampunkan oleh Allah s.w.t. apabila seorang hamba itu ikhlas berwuduk kerana Allah s.w.t.

Imam alNawawi juga memuatkan hadis-hadis lain seperti sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim yang nampak ringkas tetapi mengandungi makna yang amat mendalam. Hadis tersebut adalah potongan daripada sebuah hadis yang panjang bermula dengan kata-kata Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Bersuci itu adalah sebahagian daripada iman.”

 

Perkataan “bersuci” di sini membawa maksud berwuduk dan juga membersihkan diri daripada sebarang kotoran yang menghalang ibadat daripada diterima Allah. Betapa tinggi kedudukan wuduk sebagai separuh daripada keimanan. Terdapat pandangan yang menyatakan bahawa “iman” di sini merujuk kepada “solat” seperti dalam ayat 143 surah alBaqarah yang bermaksud, “Dan Allah tidak akan menghilangkan (ganjaran) iman (solat) kamu.”

Imam alNawawi mengakhiri bab kelebihan wuduk dengan dua hadis tentang bacaan yang digalakkan untuk kita membacanya selepas berwuduk iaitu yang pertama, sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim berbunyi:

ayat 1

“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu hamba dan pesuruh-Nya.”

Manakala bacaan kedua pula ialah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam alTirmidzi yang berbunyi:

ayat 2

“Ya Allah, jadikan aku daripada kalangan orang-orang yang banyak bertaubat, dan jadikan aku dari kalangan orang-orang yang menyucikan diri.”

Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita segala kelebihan yang telah disebutkan ini setiap kali kita membasahkan anggota wuduk.

Marilah kita berdoa agar kita dikurniakan kebersihan luaran (dengan mengalirnya air wuduk pada tubuh) dan juga kebersihan dalaman dan hati (dengan mengalir keluarnya dosa-dosa kita).

Sesungguhnya ini adalah satu peringatan bagi manusia agar kembali kepada ajaran sebenar  Islam yang membawa kesucian zahir dan batin serta kejayaan di dunia dan akhirat. Ingatlah….wuduk bukan sekadar air yang mengalir! ¤.


Ust Adlan Abd Aziz
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu 10

 


 

Ustaz Adlan Abdul Aziz

Lulusan Ijazah dalam bidang Pengajian Bahasa Arab, Universiti Al al-Bayt, Jordan. Mendapat ijazah penyampaian hadis bersanad dari Muhaddis Jordan terkemuka, Al-Arnaut. Kini berkhidmat sebagai guru di SMK Segambut Jaya, Kuala Lumpur.

Kembali ke atas