Menu

 

A+ A A-

SOLAT ANUGERAH PENGAMPUNAN TUHAN

“Dan dirikanlah solat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan yang baik itu menghapuskan perbuatan-perbuatan dosa.”

Bagi sebahagian kaum Muslimin, menunaikan solat lima waktu mungkin hanya perkara biasa. Malah ia dianggap oleh sebahagian lain sebagai satu perkara rutin harian yang dilakukan sehari-hari tanpa ada impak yang ketara dalam hidup. Apatah lagi jika dilihat kedudukan solat di sisi orang yang sesekali melakukannya atau jarang-jarang menunaikannya!

Namun bagi Muslim atau Muslimah yang benar-benar menyedari apa erti solat dan cuba menghayatinya, solat sememangnya merupakan sesuatu yang amat berharga dalam hidupnya, malah tanpa solat, tiada erti hidup ini bagi dirinya!

Imam al-Nawawi dalam bukunya Riyadh al-Solihin telah mengkhususkan satu bab khusus dengan tajuk “Kelebihan Solat” yang merujuk kepada solat lima waktu sehari semalam. Mungkin sekiranya disoroti kembali hadis-hadis ini, jiwa-jiwa kita akan mula menghayati dan menghargai pentingnya solat ini untuk kita.

Imam al-Nawawi memulakan bab ini dengan sepotong ayat al-Quran daripada surah al-Ankabut, ayat 45 yang sering kita dengar dan temui iaitu ayat yang bermaksud:
“Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.” Itulah solat yang benar-benar menjadi pelindung kepada orang yang melakukannya dengan sempurna syarat, rukun dan penghayatan.

Seterusnya Imam al-Nawawi memuatkan beberapa hadis yang jelas menunjukkan kepada kita betapa solat lima waktu mempunyai kelebihan dan ganjaran yang amat besar. Alangkah baiknya jika ganjaran ini dapat dihayati dengan sebenar-benarnya oleh saya dan anda serta seluruh umat Muslimin. Kesudahannya, kita akan berlumba-lumba untuk menunaikan solat sebagai sesuatu yang amat penting dan menggembirakan, bukan menunaikannya kerana terpaksa dibuat malah meletihkan!

Ibarat Mandi Lima Kali Sehari
Hadis pertama dan kedua yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi menceritakan kepada kita tentang pengampunan yang disediakan oleh Allah s.w.t. melalui solat lima waktu. Hadis pertama ialah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim melalui sahabat Nabi s.a.w. yang bernama Abu Hurairah.

Hadis ini menceritakan bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w. berbual dengan sahabat-sahabatnya lalu bertanya kepada mereka:
“Apa pandangan kamu semua sekiranya ada sebatang sungai di depan pintu rumah salah seorang daripada kamu dan dia mandi di sungai itu lima kali setiap hari? Adakah masih ada kotoran pada dirinya?”

Maka para sahabat sudah tentu menjawab:
“Tidak ada lagi kotoran pada dirinya.”

Lalu Rasulullah s.a.w. menyambung:
“Begitulah perumpamaan solat lima waktu. Allah s.w.t. menghapuskan dosa-dosa dengannya.”

Maha Suci Allah yang telah menganugerahkan kita dengan pengampunan dosa yang sebegini besar pada setiap hari! Semoga diri kita bersih kembali selepas dibersihkan dengan solat lima waktu, anugerah daripada Allah s.w.t. Yang Maha Pengampun. Hadis yang kedua juga membawa maksud yang sama dan ia diriwayatkan oleh Imam Muslim melalui sahabat Nabi s.a.w. yang bernama Jabir.

Hadis seterusnya, yang diriwayatkan juga oleh al-Bukhari dan Muslim, melalui seorang sahabat bernama Abdullah Bin Mas’ud.

Beliau menceritakan: Pada suatu hari datang seorang lelaki bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dan mengakui tentang satu dosa yang telah beliau lakukan. Dosa itu ialah beliau telah terlanjur bermesra dengan seorang wanita namun tidaklah sampai melakukan zina. Lelaki yang menyesal dan ingin bertaubat ini datang bertanyakan Rasulullah s.a.w. dan berharap agar beliau dapat menebus kembali dosa yang dilakukannya itu.

Maka ketika itu juga turun wahyu daripada Allah s.w.t. iaitu ayat 114 daripada surah Hud yang bermaksud:

“Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan yang baik itu menghapuskan perbuatan-perbuatan dosa.”

Maka difahami daripada ayat ini betapa pentingnya solat sebagai penghapus dosa.

Lalu lelaki itu bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Adakah perkara ini khas untuk diriku?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Ia untuk seluruh umatku.” Alhamdulillah, segala puji bagi Allah s.w.t. yang telah memberikan rahmat-Nya dan pengampunan-Nya untuk kita semua melalui solat lima waktu!

Pengampunan Dosa
Hadis seterusnya pula ialah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada sahabat yang bernama Abu Hurairah iaitu sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

“Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga solat Jumaat selepasnya merupakan pengampunan dosa di antaranya selama tidak dilakukan dosa besar.”

Hadis ini memberi maksud yang mengukuhkan lagi maksud hadis sebelumnya iaitu solat lima waktu yang didirikan dengan baik lagi sempurna akan menghapuskan dosa. Apatah lagi dosa yang dilakukan di antara dua solat. Begitulah rahmat dan keampunan Allah s.w.t. yang amat luas dan tiada penghujungnya.

Hadis terakhir yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi ialah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim melalui Uthman bin Affan, khalifah ketiga Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Tiada seorang Muslim pun yang bertemu dengan waktu solat fardu, lalu dia mengelokkan wuduknya, khusyuk dalam solat, menjaga rukuknya (syarat dan rukun solat), melainkan solat itu akan menjadi penghapus dosa sepanjang hayatnya selagi dijauhi dosa besar.”

Begitulah kita dapati Rasulullah s.a.w. mengkhususkan ganjaran sebegini dengan menghuraikan syarat-syaratnya – menyempurnakan rukun dan syarat solat serta menyempurnakan khusyuk dalam solat.

Semoga kita bersama-sama dapat menghargai segala ganjaran dan keampunan yang disediakan oleh Allah s.w.t. melalui solat lima waktu sehari semalam. Sesungguhnya sebahagian umat Islam kadangkala terleka hingga mereka tidak merasai kelazatan solat lima waktu. Bersamalah kita berusaha dan bersungguh untuk mendapatkan kelazatan solat lima waktu sebagaimana yang dirasai oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat sehinggakan solat itu menjadi penyejuk mata dan penenang jiwa untuk mereka setiap hari.

Semoga kita diberikan pengampunan oleh Allah s.w.t. sebagaimana dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w. bagi orang yang menunaikan solat lima waktu dengan sempurna, insyaAllah!

HADIS - SOLAT ANUGERAH PENGAMPUNAN TUHAN Ustaz Adlan Abd Aziz - SOLUSI 9

Oleh Ustaz Adlan Abd Aziz
Sumber artikel daripada majalah Solusi 9

 


 

Ustaz Adlan Abdul Aziz

Lulusan Ijazah dalam bidang Pengajian Bahasa Arab, Universiti Al al-Bayt, Jordan. Mendapat ijazah penyampaian hadis bersanad dari Muhaddis Jordan terkemuka, Al-Arnaut. Kini berkhidmat sebagai guru di SMK Segambut Jaya, Kuala Lumpur.

Kembali ke atas