Menu

 

A+ A A-

TEPUK DADA TANYA IMAN

DALAM ARTIKEL LEPAS, UMMI MENULIS MENGENAI TANGGUNGJAWAB REMAJA BELIA UNTUK MEMILIH DAN MEMBUAT KEPUTUSAN YANG BAIK APABILA SUDAH MENCAPAI USIA BALIGH. UKURAN BAIK ATAU BURUK SEBAGAI MUSLIM MESTI DISANDARKAN DENGAN APA YANG DITENTUKAN ALLAH S.W.T. CUMA, MENGAPA AGAKNYA, APA YANG ALLAH SUKA, HATI DAN NAFSU KITA PULA KURANG TERUJA? SEDANGKAN APA YANG ALLAH LARANG, ITULAH YANG TERLIUR SANGAT KITA NAK MENCUBA!

Ada masa kita kuat untuk bergelut dengan hawa nafsu, akhirnya kita berjaya tinggalkan perkara keji tersebut. Tetapi ada masa yang lain, kita tewas dan tidak terdaya untuk melawan keinginan nafsu. Akhirnya kita buat juga perkara yang memang kita tahu berdosa dan membawa keburukan! selepas itu barulah menyesal dan terkilan. Timbul rasa kecewa dalam hati dan berjanji tak akan buat lagi. Tetapi apabila bersua lagi dengan situasi dan godaan yang sama, kita buat sekali lagi, lagi dan lagi. Macam tak serik-serik!

Apa yang menyebabkan kita kuat atau lemah ketika berhadapan dengan nafsu? Tak lain tak bukan, itulah yang dinamakan iman. Keimanan adalah kepercayaan dan keyakinan yang tertanam dalam hati terhadap kewujudan Allah s.w.t. dan hubungan kita dengan-Nya. iman yang memandu arah dan hati berasa yakin Allah memandang kita setiap masa. Tetapi iman ada naik dan turunnya.

Apabila iman seseorang itu teguh dan kuat, dia mampu melawan ajakan hawa dan nafsu yang menyuruh melakukan perkara yang keji. Tetapi, apabila iman itu di tahap rendah, setipis kulit bawang, semua benda haram nak bedal! Jadi jelaslah anak-anak, iman itu sesuatu yang amat berharga, tidak boleh dijual beli. ia mesti dipelihara dan dijaga sebaik mungkin. imam Husain r.a. pernah berpesan: “sesiapa yang memiliki iman, dia memiliki segala-galanya. sesiapa yang kehilangan iman, dia kehilangan segala-galanya.”


Anak-anak Ummi yang dikasihi,

Apabila seorang remaja sudah menjejaki alam balighnya, dia bertanggungjawab menjaga dirinya daripada melakukan perkara yang boleh merosakkan. Bukan yang hanya merosakkan dirinya, bahkan harta benda  dan apa jua milik orang lain. ummi teringat semasa mula-mula baligh dulu, sangat sedih apabila bapak dan emak ummi beritahu, mereka tidak lagi menanggung dosa ummi macam sebelum saat itu. Bapak ingatkan juga ada malaikat yang mencatat segala amalan di kiri dan kanan. Bapak pesan kepada ummi, jangan bagi malaikat kanan “menganggur” tiada kerja, sedangkan malaikat kiri menulis dan mencatat tak habis-habis! Aduh, sinis peringatan tu! ummi lebih berhati-hati dengan tingkah laku dan tutur kata selepas itu.

Tetapi, ummi manusia biasa seperti anak-anak juga. Bertahan jugalah ummi dengan sifat berhati-hati selama seminggu, selepas itu, lupa balik!

Anak-anak Ummi yang dicintai,

Iman inilah yang mesti anak-anak mantapkan dalam hati. Dengan panduan al-Quran dan ajaran Rasulullah s.a.w. melalui sunnah Baginda, anak-anak diajar untuk lebih mengenali Allah sebagai Pencipta yang mempunyai sifat kemuliaan dan kasih sayang. semasa ummi kecil dulu, antara ajaran pertama mengenai sifat Allah s.w.t. yang paling ummi ingat ialah apabila ustaz ummi kata: “Allah itu sayang kepada hamba-Nya lebih daripada ibu dan bapa kita sendiri, itu sebab Allah beri begitu banyak nikmat yang tak mampu kita kira!” Wah, impak maksimatu! saat itu ummi berjanji pada diri: “Kalau begitu sekali Allah sayangkan aku, aku mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk sayangkan Allah, sebab nanti nak sangat bertemu Allah di dalam syurga-Nya!”

Ummi juga diberitahu, Allah amat sedih dan marah apabila kita tidak mempedulikan kasih sayang-Nya, tidak mengikut peraturan dan suruhan-Nya tetapi mengikut apa yang hawa nafsu kita kehendaki, seolah-olah hawa nafsu itu Tuhan kita. Mengapa Allah murka kalau kita mengingkari- Nya? sebenarnya Allah suruh kita buat sesuai dengan fitrah kejadian kita sebagai manusia. Bukankah Allah satu-satunya Pencipta yang mereka bentuk manusia, tentulah Dia sahaja yang tahu apa yang baik dan sebaliknya untuk hidup kita. itulah yang menjadi amalan pahala yang akan diganjari syurga sebagai hadiah Allah bagi hamba-Nya yang patuh.

Tetapi kalau kita buat apa yang Allah larang, sebenarnya kita melakukan perkara yang akan merosakkan hidup kita. Mungkin sekarang tidak nampak kesannya, tetapi lambat laun kita akan rasa juga akibat buruknya. Perkara yang terlarang itulah yang dinamakan dosa, yang akan menyebabkan Allah murka dan balasan pedih di neraka. Pendek kata, Allah memberikan iman sebagai panduan untuk kebaikan kita sendiri semata-mata. Anak-anak, sedarlah sebenarnya Allah tidak memerlukan kita, tetapi kitalah yang perlu kepada Allah dalam semua perkara. Jom kita jadi hamba Allah yang taat dan setia serta dicintai-Nya!

66

 

 

Oleh Prof Madya Dr Harlina Haliza Siraj
Sumber Artikel daripada Majalah Gen Q Isu 7

 


 

Prof Madya Harlina Halizah

Ketua Unit Perkembangan Kendiri & Profesionalisme UKM

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Terkini daripada Prof Madya Harlina Halizah

Kembali ke atas