Menu

 

A+ A A-

MALU BIARLAH BERTEMPAT

APABILA memperkatakan tentang malu, pelbagai maksud dan andaian tergambar dalam fikiran kita yang biasanya dibayangkan pada sesuatu yang negatif. Berasa aib atau rendah diri misalnya, walaupun bukanlah sesuatu yang terlalu hina tetapi orang yang merasakannya mempunyai jati diri yang lemah. 

Apa jua keadaan pun, biar malu pada sesuatu yang betul seperti malu untuk membuat kesalahan atau sesuatu yang tidak sopan dan menyalahi syariat agama. Tanamkan dalam hati bahawa malu terhadap Allah s.w.t. dengan takut untuk melakukan dosa itu adalah sebagai tanda keimanan kita.

Dalam banyak hal, malu itu biarlah bertempat dan bermanfaat, atau kata lain, “Malu itu biarlah beriman.” Jika kita malu pada tempatnya maka iman kita kuat dan jika sebaliknya pula lemahlah iman kita. Di sini diterangkan beberapa ayat al-Quran yang menerangkan tentang iman dan kaitannya dengan sifat malu:

1.    Tidak malu untuk berbuat kebaikan:
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Anbiya’ ayat 94 yang bermaksud: “Dengan yang demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedang ia beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya; dan sesungguhnya Kami tetap menulisnya.”

2.    Tidak malu untuk berkata benar:
Firman Allah s.w.t. dalam surah al- Ahzab ayat 70 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang benar.”

3.    Tidak malu untuk membantu sesame Islam:
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Nisa’ ayat 85 yang bermaksud: “sesiapa yang memberikan syafaat (pertolongan) ke arah yang baik, nescaya dia akan memperoleh bahagian (pahala) daripada-Nya; dan sesiapa yang memberikan syafaat (pertolongan) ke arah yang buruk, nescaya dia akan memikul (dosa) daripadanya. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

4.    Tidak malu untuk mengingati Allah:
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Zumar ayat 22 yang bermaksud: “Adakah orang  menerima islam, lalu dia tetap dalam cahaya dari Tuhannya, sama seperti orang yang tertutup hatinya? Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras hatinya dari mengingati Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.”

5.    Tidak malu untuk berhijrah peribadi:
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Taubah ayat 20 yang bermaksud: “Orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar darjatnya di sisi Allah; dan mereka itulah orang yang berjaya.”

6.    Tidak malu untuk belajar ilmu agama:
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Taubah ayat 122 yang bermaksud:
“Dan tidaklah patut bagi orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); maka, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari setiap puak di antara mereka, untuk mendalami ilmu agama, dan untuk mengajar kaumnya apabila mereka kembali kepadanya; mudahmudahan mereka dapat berjaga-jaga.”

7.    Tidak malu untuk menghindar sombong:
Firman Allah s.w.t. dalam surah Luqman ayat 18 yang bermaksud: “Dan janganlah engkau memalingkan muka (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takabbur, lagi membanggakan diri.”

Firman Allah s.w.t.
“DAN JANGANLAH ENGKAU MEMALINGKAN MUKA (KERANA MEMANDANG RENDAH) KEPADA MANUSIA, DAN JANGANLAH ENGKAU BERJALAN DI BUMI DENGAN BERLAGAK SOMBONG; SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK SUKA KEPADA TIAP-TIAP ORANG YANG SOMBONG TAKABBUR, LAGI MEMBANGGAKAN DIRI.” {surah Luqman ayat 18}

 

Oleh Azzam Supardi
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu 6

 


 

Azzam Supardi

Pernah mengikuti pengajian di Maahad Buhuth di Kaherah, Mesir. Kini bertugas di Telaga Biru Sdn. Bhd. sebagai editor majalah.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas