Menu

 

A+ A A-

HORMAT GURU BERKAT ILMU

Ditulis oleh 

“KENAPA TIDAK BAWA BUKU?” SOAL SEORANG GURU DENGAN AIR MUKA KERUH. PELAJAR YANG DISOAL ITU MENUNDUK, TIDAK BERANI MENGANGKAT MUKA. DIA TAHU SILAPNYA.

Usai kelas, dia berlari anak mengejar gurunya itu. “Cikgu, saya minta maaf! Saya janji tidak buat lagi,” katanya sambil menghamburkan juraian air mata. Sang guru sekadar tersenyum.

Malangnya, itu dahulu. Cerita sekarang begini: “Mana buku kamu?” soal seorang guru kepada pelajarnya yang tidak membawa buku teks.

“Oh, buku saya dicuri tikus, cikgu. Sorrylah,” jawab pelajar itu sambil mengekek. Sudahlah menipu, memperolok-olokkan guru pula. Guru itu terus meleteri. Sebaliknya pelajar itu pura-pura tidak mendengar, bahkan memaki hamun dan mengutuk gurunya pula secara diam-diam.

“Apalah orang tua tu. Berleter macam mak nenek 24 jam!”

Akhlak Mulia yang Terhakis

PELAJAR 2

Kita harus menerima hakikat peredaran zaman yang turut merubah jiwa manusia. Dalam arus kecanggihan teknologi, entah mengapa kita terkapai-kapai dalam lautan fana. Membentuk diri kita menjadi manusia berhati kerikil. Jika dibandingkan masyarakat pelajar hari ini dengan masyarakat di suatu era lama dahulu, golongan salaf umpamanya dalam mencari keberkatan ilmu, mereka amat menghormati guru sehingga diumpamakan duduk mereka ketika sedang belajar bagaikan diamnya seekor burung di atas kepala mereka.  Ini menandakan mereka sangat memberikan perhatian ketika belajar sehingga tidak  bergerak-gerak walaupun sedikit kerana lazimnya burung-burung tidak akan hinggap  kecuali di atas sesuatu yang mati.

Kita juga dapat melihat sikap hormat kepada guru yang ditampilkan oleh imam syafii melalui kata-katanya: “Aku membelek kertas di hadapan imam Malik perlahan-lahan terdengar (bunyi selakan kertas tersebut).” Terlalu banyak kisah tokoh ilmuwan yang sangat menitikberatkan keberkatan ilmu dengan hormat kepada guru. Mereka sedar keredaan para guru boleh mempengaruhi kejayaan dalam hidup kerana kedudukan guru sangat tinggi sehingga setiap ucapannya menjadi doa.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Kelebihan ulama atas ahli ibadat adalah seperti kelebihanku atas orang yang paling rendah antara kamu.”


Kemudian Baginda bersabda lagi, maksudnya: “sesungguhnya para malaikat dan penduduk  langit dan bumi hinggakan semut di dalam lubangnya serta ikan berselawat (berdoa) untuk orang yang mengajar kebaikan kepada  manusia.” (Riwayat al-Tirmizi)

Songsang Jika Tidak Beradab

Hari ini kita melihat kesongsangan berlaku apabila  pelajar mengabaikan aspek adab berguru.  Majoriti pelajar yang lulus cemerlang dalam akademik sekadar memenuhi tuntutan intelek tetapi nihil rohaninya. Mereka cemerlang dalam peperiksaan tetapi gagal sebagai anak yang soleh dan murid yang beradab.

Justeru, selaku pencari ilmu, kita hendaklah sentiasa mencari keberkatan ilmu kerana itulah kunci kebahagiaan hakiki. Caranya adalah dengan menghormati guru dan para alim ulama. Jika raja ialah pemimpin kepada rakyat, maka guru ialah  pemimpin kepada segala raja. Jika raja kita tunduk dan patuhi, maka guru sebagai pemimpin kepada raja lebih patut kita tawaduk dan dengari.

Dalam berguru, wajarlah kita teliti pesanan Sayidina Ali r.a. ini: “Hak seorang  alim (guru) yang wajib atas dirimu adalah memberi salam kepada semua  orang yang berada di dalam majlisnya  dan mengkhususkannya dengan berjabat tangan. Hendaklah duduk berhadapan dengannya, tidak boleh menunjuk jari di hadapannya, tidak boleh mengerling mata dengan orang lain di hadapannya, tidak menyebut kata-kata orang lain di hadapannya, tidak boleh mencaci orang di hadapannya dan sekiranya dia melakukan kesilapan hendaklah memaafkannya. “Muliakanlah dirinya kerana Allah s.w.t., dan sekiranya dia memerlukan sesuatu, hendaklah segera menghulurkan bantuan kepadanya. Jangan memuji-muji orang lain di dalam majlisnya, jangan menarik bajunya, jangan memaksanya jika dia keberatan dan jangan berasa jemu duduk bersamanya. Anggaplah dia laksana lebah dan dirimu menunggu sesuatu yang akan jatuh daripadanya pada bila-bila masa sahaja.”

Wallahua’lam.

PELAJAR

Oleh Juwairiah Md Jamil
Sumber Artikel daripada Majalah Gen Q Isu 07


Read 8498 times
Juwairiah Md Jamil

Lulusan Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.