AGAR ANAK-ANAK CINTAKAN NEGARA DEMI AGAMA
- Ditulis oleh Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif
- Kategori Terkini
- Read 6688 times
SOALAN :
Pada hari ini, anak-anak diasuh supaya cintakan tanah air dan ditanam semangat patriotisme dalam diri mereka sejak di sekolah. Apa pandangan ustaz dalam hal ini?
JAWAPAN :
Nabi Muhammad s.a.w. selalu menegaskan rasa cinta sebegini dan sering membangkitkannya. Contohnya dalam proses pembentukan bala tentera Islam ke sesuatu peperangan. Rasulullah akan menghimpunkan setiap sahabat mengikut sukunya.
Sahabat-sahabat daripada suku Aus dalam satu barisan dan suku Khazraj dalam satu barisan yang lain. Begitulah juga kabilah-kabilah yang lain seperti kabilah Hamdan, Bani Abdul Rahman, Bani Haman,al-Harits dan selainnya dikumpulkan dalam platun tersendiri. Jadi, setiap pasukan mewakili keluarga dan keturunan mereka.
Maka mereka pasti akan merasa sangat bertanggungjawab untuk membela keluarga dan tanah air. Keadaan ini tidaklah bercanggah dengan hakikat bahawa mereka berjuang mempertaruhkan nyawa demi Islam.
Tindakan Baginda itu bukannya disebabkan fanatik kesukuan tetapi atas dasar kecintaan kepada tanah air dan keluarga. Sepanjang hayat Rasulullah mendidik sahabat-sahabatnya dan mengarahkan mereka mendidik anak-anak untuk menyuburkan rasa cinta ini.
Kesannya ada anak-anak sahabat yang datang meminta izin daripada Rasulullah untuk turut serta dalam peperangan seperti Ibn Umar. Namun Baginda menolak permintaannya kerana masih kanak-kanak.
Hanya setelah beliau berusia lima belas tahun, barulah Rasulullah mengizinkannya. Pendek kata, Rasulullah sendiri menanamkan semangat dan roh tanggungjawab, cinta dan intima’ (penggabungan dan penglibatan diri) terhadap Islam dalam diri anak-anak.
Sehingga apabila dewasa kelak, mereka akan menjadi tentera Islam yang terbaik. Maka kita hendaklah mengajarkan anak-anak kita dan menanamkan benih intima’ dalam diri mereka. Anak-anak kita hendaklah memahami makna jihad fisabilillah dengan betul. Adalah menjadi kewajipan bagi setiap Muslim untuk mengajar dan mendidik mereka tentang hal tersebut.
Kembali kepada Asas
SOALAN :Anak-anak pada hari ini dilihat semakin rendah adab dan akhlaknya. Saya sangat bimbang keadaan ini turut terjadi kepada anak-anak saya yang sedang membesar ini. Mohon nasihat ustaz tentang panduan menanam adab dan akhlak ke dalam jiwa anak-anak?
JAWAPAN :
Kembali kepada asas. Saya ingin membawa satu contoh adab yang dijelaskan dalam al-Quran yang sering dianggap remeh. Dalam surah al-Nur ayat 58, Allah melarang anak-anak masuk ke dalam bilik ibubapanya kecuali setelah mendapat keizinan. Hal ini untuk menghindari mereka daripada melihat aurat ibubapa. Seorang bayi akan mudah terpengaruh atau berbekas dalam dirinya mengikut apa yang dia lihat dan dengar ketika sejak berusia tiga bulan. Maka kita tidak boleh berkata sebarang ucapan yang tidak baik di hadapannya. Namun ramai yang menganggap bahawa anak ini masih kecil dan tidak memahami apa-apa. Masih kecil atau tidak bukan perkiraannya. Islam mengajar kita untuk mendidik anak supaya tidak melihat aurat atau sebarang perkara yang tidak baik.
Sebagai ibu bapa, kita hendaklah mendidik dan mengajar anak tentang adab serta mengawasi kata-kata yang keluar dari bibirnya. Tindakan ini hendaklah dilakukan dengan penuh kesungguhan, belas kasihan dan kasih sayang yang membawa kepada akhlak yang mulia.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, hendaklah hamba-hambakamu dan orang yang belum baligh daripada kalangan kamu meminta izin daripada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu) pada tiga waktu iaitu sebelum sembahyang Subuh, ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan pada waktu tengahhari dan sesudah sembahyang Isyak. Itulah tiga waktu bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya).
“Kamu dan mereka tidaklah bersalah pada masa selain daripada tiga masa tersebut (kerana mereka) orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu sama lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surahal-Nur:58) Keluarga yang tidak menjalankan dan menegakkan kewajipan yang diperintahkan Islam, tidak berakhlak sebagai seorang Muslim, maka anak-anaknya akan mudah terjerumus kedalam lembah kehinaan yang dilarang oleh syariat. Akhirnya anak-anak tersebut mempunyai fikiran dan ideologi yang menyimpang.
Malangnya masih banyak terdapat keadaan di mana satu keluarga tidur dalam ruang atau bilik yang sama. Kadang-kadang sepuluh orang anak yang bercampur lelaki dan perempuan bersama dengan kedua-dua orang tuanya tidur dalam satu tempat. Hal ini akan menyukarkan keluarga tersebut untuk mendidik anggota keluarga dan anak-anaknya dengan akhlak yang mulia dan etika Islam yang sesuai dengan syariat.
Wallahu a‘lam.
Ustaz Mohamad Wahid bin. Abd. Hanif
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08
Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif
Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.