Menu

 

A+ A A-

KEKUATAN UMAT TERLETAK PADA ILMU

‘‘Hunting for knowledge atau “memburu ilmu”. Itulah istilah yang digunakan oleh para pencinta ilmu dan pencinta buku menjelang event yang paling ditunggu-tunggu setiap tahun. Tidak kurang juga para orientalis yang turut menyelidik setinggi mana kecintaan umat Islam terhadap ilmu.

Pada 28 Februari yang lalu, bertempat di Stadium Istora Bung Karno, Jakarta Pusat, Indonesia, telah berlangsung acara yang dimaksudkan iaitu Islamic Book Fair Jakarta.

Aku dan kakakku, Tatak, memang sejak pagi bercadang untuk ke “pesta ilmu” itu dengan niat tidak lain ingin mengutip mutiara-mutiara ilmu yang dapat dipersembahkan buat anak bangsa apabila kami pulang ke Malaysia nanti. Namun sebelum itu, kami harus ke Bandara (Bandar Udara – lapangan terbang) Seokarno-Hatta, Cengkareng untuk menjemput seorang sahabat dari Malaysia.

Tepat jam 1 tengah hari, setelah selesai mendaftar masuk di hotel, kami bergegas ke Stadium Istora. Panas yang menyengat ubun-ubun mulai terasa ketika kami keluar dari kereta yang disewa.

kekuatan-umat-terletak-pada-ilmu-2

“Silakan non, bapak-bapak… Book Fairnya ada di dalam.” Pak Amin mengalu-alukan kedatangan kami. Pak Amin merupakan supir (pemandu) yang kami sewa khusus untuk membawa kami sepanjang misi “Hunting for knowledge” di Islamic Book Fair kali ini.

Kami bergegas masuk ke dalam stadium. Hawa dingin mula menerpa seiring dengan alunan bacaan al-Quran daripada Syeikh Sudais, tentunya datang daripada salah satu gerai peserta pameran. Hilang sudah panas yang kami rasakan.

Kami berpecah membawa haluan masing-masing dan berjanji akan bertemu kembali di hadapan stadium tepat jam 6 petang. Jika kaum wanita ramai yang rambang mata ketika masuk ke kompleks membeli-belah, kami rambang mata ketika melihat buku-buku yang diperagakan. Nama-nama seperti Habiburrahman El-Shirazy, A.Salim Fillah, Asma Nadia, Pipiet Senja dan sebagainya mengisi pesta ilmu ini dengan buku-buku karya mereka yang menggugah jiwa.

Tidak kurang juga buku-buku terjemahan dari Timur Tengah seperti kitab-kitab Sahih al-Bukhari, al-Muwatta’, Fath al-Bari, al-Mughni, Subul al-Salam, Tafsir Ibn Kathir dan banyak lagi yang membanjiri Book Fair kali ini.

Subhanallah… sesungguhnya umat ini ialah umat yang mencintai ilmu. Itu terbukti dengan bertebarannya ratusan malah beribu khazanah ilmu yang ditulis oleh para penulis Muslim Indonesia. Kagum! Itulah yang berdecak di hatiku. Bagaimana dengan negaraku yang tercinta saat ini?

kekuatan-umat-terletak-pada-ilmu-3

Namun, ada sesuatu yang bermain di benakku sewaktu berkeliling di Book Fair. Hati mula tertanya-tanya, di manakah letaknya kualiti setiap ilmu yang ditumpahkan dalam bentuk buku atau kitab ini? Kita berilmu tetapi apakah cukup dengan kita tumpahkan ia dalam bentuk buku lalu kita lari daripada tanggungjawab?

Ada beratus buah buku yang mendedahkan tentang kelemahan-kelemahan umat Islam zaman kini. Antara kelemahan kita ialah berilmu tetapi tidak beramal. Beramal namun tidak dengan ilmu. Itulah perumpamaan daripada Sufyan bin Uyainah. Beliau menyatakan bahawa orang yang berilmu namun tidak beramal adalah seperti kaum Yahudi. Orang yang beramal tanpa ilmu seperti orang Nasrani, nauzubillah. Sudah tentu kita sebagai umat Islam beramal dengan ilmu yang sahih dan benar. Tidak seperti kaum Yahudi dan Nasrani!

Inilah Kekuatan Umat

Sedikit flashback. Masihkah anda semua ingat tragedi berdarah pada akhir 2008 dan pembuka tahun 2009. Saudara kita di Palestin diganyang tentera laknatullah Israel tanpa sedikit belas kasihan pun. Saya ingin mengemukakan fakta di sini, tahukah kita bahawa 3500 daripada 6000 (termasuk mereka yang syahid, insya-Allah) ialah anak-anak yang duduk di bangku sekolah yang menghafal 30 juzuk al-Quran!

kekuatan-umat-terletak-pada-ilmu-1

Ini fakta umum, bukan saya karang sendiri. Mengapa Israel laknat meletakkan target utama mereka kepada anak-anak yang masih belia ini yang tidak mengerti sama sekali apa yang terjadi di tanah air mereka? Ini kerana al- Quran yang tertanam di hati anak-anak suci ini lebih berbahaya daripada ratusan roket yang menghujani mereka.

Mereka (Israel) tidak dapat menggambarkan bagaimana jika anak-anak ini membesar 10 atau 20 tahun lagi. Roh al-Quran yang meresap dalam jiwa anak-anak ini pasti akan membinasakan Israel tanpa jejak sedikit pun!

Lihatlah, musuh terbesar kita juga tahu kekuatan umat Islam sebenarnya terletak pada ilmu. Sesungguhnya al-Quran ialah Kitab yang sangat sempurna kerana ia turun langsung daripada Allah s.w.t. melalui perantaraan Jibrail a.s. kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk disampaikan kepada umat seantero dunia. Bukan seperti yang didakwa oleh para orientalis Barat yang menyatakan bahawa al-Quran tidak lebih daripada kata-kata yang dikarang oleh Nabi Muhammad.

Malah wahyu yang pertama turun, surah al-Alaq juga merupakan anjuran bagi kita untuk berilmu kerana sesungguhnya menulis dan membaca itu merupakan kunci bagi ilmu pengetahuan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan.” (Surah al-’Alaq 96: 1)

Ini membuatkan saya kembali teringat akan kata-kata daripada Dr. Aidh al-Qarni:

“Anda harus membunuh kala jengking-kala jengking yang bersemayam pada hati anda dengan pisau kesabaran, kelembutan dan kemurahan hati. Anda harus menyembelih serigala nafsu anda yang selalu mengajak kepada kejahatan dengan pedang keimanan. Anda harus membersihkan halaman jiwa anda daripada sampah-sampah fikiran yang jahat dan hina. Anda juga harus menanam dalam kebun anda dengan pokok-pokok hikmah, bunga-bunga pengetahuan dan mawar-mawar ilmu.”

Sesungguhnya sejarah kebangkitan Islam telah mengajar kita sesuatu yang amat berharga. Bacalah sejarah para sahabat Nabi s.a.w. Mereka ialah manusia yang kurang bercakap, namun ilmu dan amal mereka tidak terkira luasnya! Tidak hairanlah ketika zaman Sayidina Umar al-Khattab menjadi khalifah, agama Islam tersebar hingga ke hujung dunia.

Menjadi Muslim yang Berilmu

Bangkitlah teman! Kita sudah lama terlena dengan permainan musuh. Mereka melenakan kita dengan permainan demi permainan yang melekakan. Mereka telah merompak khazanah Islam yang amat berharga ketika tragedi pembunuhan umat Islam oleh tentera Barbar dari Mongolia di bawah pimpinan Genghiz Khan. Bukan saja merompak, namun mereka turut menghapuskan seluruh khazanah ilmu tersebut dengan mencampakkan kitab-kitab ke dalam Sungai Dajlah dan Sungai Furat, sehingga sejarah mencatatkan warna air sungai yang jernih bertukar menjadi hitam pekat akibat daripada warna dakwat daripada ribuan kitab-kitab itu.

kekuatan-umat-terletak-pada-ilmu-4

Mari kita semak wasiat seorang ulama yang juga mujahid ini. Beliau mewasiatkan sesuatu yang berharga untuk tatapan para penuntut ilmu. Mari muhasabah, apakah kita sudah mempunyai karakter-karakter penuntut ilmu yang dikatakan.

Antara karakter seorang penuntut ilmu ialah apabila seseorang alim mengamalkan ilmunya, kata-katanya selari dengan perbuatannya.

Seperti yang diberitakan Nabi Muhammad s.a.w., maksudnya: “Tidak akan berganjak kedua-dua kakinya pada hari kiamat sehingga dia ditanya mengenai empat hal. Pertama tentang umurnya, untuk apa dihabiskannya? Kedua tentang masa mudanya, untuk apa dia gunakan? Ketiga tentang hartanya, dari mana dia perolehi dan digunakan untuk apa? Dan terakhir tentang ilmunya, apa yang telah dia perbuat dengan ilmunya?” (Riwayat al-Tirmizi) Orang yang berilmu dan memerintahkan kepada amar makruf nahi mungkar namun tidak beramal dengan apa yang dia ketahui akan dicampakkan ke dalam neraka dengan usus perut yang terburai-burai, kemudian dia berputar-putar seperti keldai yang berpusing-pusing menarik alat penggiling.” (Kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim)

Menjelaskan Ilmu dan Berani Menyuarakan Kebenaran

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa-apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan dan petunjuk (yang jelas), setelah kami menerangkannya kepada manusia dalam al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknat (pula) oleh semua makhluk yang dapat dilaknati.” (Surah al-Baqarah 2: 159)

Setiap ilmu yang dipelajari bukanlah bertujuan untuk dihafal dan disimpan, namun perlu dibicara dan disampaikan apa yang hak dan benar. Kemudian ilmu-ilmu tersebut hendaklah diamalkan agar kita tidak menjadi seperti pohon yang tidak berbuah. Seorang penuntut ilmu harus mempunyai sifat takwa dan takut kepada Allah s.w.t. Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah, apakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sebenarnya hanya orang yang berakal sihat yang dapat menerima pelajaran.” (Surah al-Zumar 39: 9)

Allah s.w.t. juga berfirman, maksudnya: “Sesungguhnya yang takut kepada Allah di mata hamba-hamba-Nya hanyalah para ulama.” (Surah al-Zumar 39: 28)

Inilah wasiat berharga seorang mujahid sekali gus ulama yang telah mengamalkan apa yang beliau pelajari dalam kehidupan. Beliau ialah Syeikh Abu Umar al-Saif, seorang Mufti Mujahidin di Chechnya.

Jika di Indonesia, saya mendapati bahawa Muslim di sini sangat mencintai ilmu. Saya juga sangat berharap saudara-saudara saya di tanah air tercinta, Malaysia dapat bersikap seperti itu. Sudah tentu kita tidak mahu menjadi seperti ayam-ayam daging di dalam reban yang hanya menunggu disuap oleh tuannya dan kehidupan berakhir di tempat penyembelihan.

Seperti yang dikatakan oleh Dr. Abdullah Azzam, seorang mujahidin yang syahid di Afghanistan: “Jadikanlah rumah kalian sebagai kandang singa, bukan kandang ayam. Kerana ayam apabila sudah gemuk akan disembelih oleh para musuh-musuh Islam. Tanamkan dalam jiwa anak-anak kecintaan untuk berjuang di jalan Allah. Itulah kemanisan yang dinikmati oleh para mujahid terdahulu.”

Semoga akan lahir daripada kaum Muslimin hanya insan yang berilmu, beriman dan Beramal serta berani menyatakan yang hak Sehingga akan gentarlah hati-hati mereka yang sangat membenci agama yang hanif ini. Kitalah umat yang kuat.

“Ya Allah, Kuatkanlah kami dengan ilmu agar kami tidak dikalahkan oleh musuh-Mu yang benci tertegaknya Islam di bumi ini! Amin ya Rabbal alamin…” 

Ummu Sakinah Hj Muhammad

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.6


Ummu Sakinah Hj. Muhammad

Penuntut Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Jakarta.

Terkini daripada Ummu Sakinah Hj. Muhammad

Kembali ke atas