Menu

 

A+ A A-

BERBAHAGIA DENGAN APA YANG ADA

SETIAP apa yang berlaku, pasti ada pengertiannya bagi seseorang. Kadangkala, untuk suatu peristiwa yang sama, pengertiannya berbeza antara seorang dengan seorang yang lain.

Ada orang menganggap kemelesetan ekonomi ialah peristiwa yang menjadikan dirinya lemah dan tidak ada harapan untuk menjadi lebih baik. Dalam masa yang sama, ramai juga yang mendapat kelebihan dan keuntungan semasa zaman kemelesetan ekonomi.

MAHIR - BERBAHAGIA DENGAN APA YANG ADA Ahmad Fadzli Yusuf - SOLUSI 6 2

Ada orang menganggap dibuang kerja ialah titik noktah kepada kehidupan yang bahagia. Mereka merasakan bahawa itulah permulaan kepada penderitaan. Dalam masa yang sama, ada orang yang baru dibuang kerja, kemudian terus merancang untuk menjadi lebih baik, kerana dia melihat bahawa dibuang kerja adalah peluang untuk memulakan sesuatu yang baru, sesuatu yang lebih baik.

Ada orang yang berkeluh-kesah apabila ditimpa ujian, tetapi ada orang yang tenang dan bersahaja. Orang berkeluh-kesah kerana tidak yakin dengan janji Tuhan dan ada yang tenang dan bersahaja kerana bersangka baik dengan Tuhan. Cara mereka “membingkaikan” (framing) dunia ini berbeza. Mereka boleh memilih makna dan pengertian terhadap sesuatu.

Setiap kesusahan, pasti ada kesenangan

Kita selalu membaca ayat ini semasa solat. Surah al-Insyirah dengan jelas memberitahu kita satu prinsip yang mudah, pada setiap kesukaran, pasti ada kesenangan. Dan ayat itu diulang dua kali untuk memberi penekanan, betapa pentingnya kita semua memahami hukum tersebut. Dalam peradaban China, ada konsep “Yin dan Yang”, iaitu setiap satu ada yang berlawanan. Panas lawannya sejuk, tinggi lawannya rendah, panjang lawannya pendek, besar lawannya kecil, tajam lawannya tumpul, lembut lawannya keras dan seterusnya.

Ini mengingatkan saya kepada satu konsep yang dikembangkan daripada prinsip tersebut. Ia dinamakan sebagai “Hukum Polariti/Satah Berlawanan” (The Law of Polarity). Hukum ini menyatakan bahawa, jika anda mengalami sesuatu yang sangat negatif, jika “dibingkaikan semula” secara positif; perkara itu akan menjadi sangat positif.

Dalam kehidupan kita, ada perkara yang menggembirakan dan ada perkara yang mengecewakan. Ada perkara yang sedikit mengecewakan dan ada perkara yang sangat mengecewakan. Jika anda cekap membuat reframing positif kepada sesuatu yang sangat mengecewakan, ia boleh bertukar menjadi sesuatu yang sangat menggembirakan! Menarik bukan?

Situasi Sangat Negatif ––> Reframing secara positif ––> Situasi Sangat Positif

BAHAGIAMr. Trump, awak dipecat!

Siapa tidak kenal dengan bilionair popular, Donald Trump. Ramai orang yang teruja dengan “gaya orang kaya” yang ditampilkan dalam siri realiti TV, The Apprentice. Saya teringat dalam salah satu siri rancangan tersebut, Trump ada menyebut bahawa beliau sentiasa percaya bahawa sifat “bangkit daripada tekanan” (resilience) amat penting untuk berjaya dalam perniagaan, bahkan berjaya dalam kehidupan.

Bagaimana untuk bangkit daripada kesusahan? Salah satu kaedah yang paling berkesan adalah dengan melakukan reframing. Donald Trump adalah antara orang yang sangat mahir melakukannya.

Pada tahun 1980-an sehingga 1990-an, Donald Trump telah mengaut keuntungan besar, terutamanya dalam bidang hartanah di Amerika Syarikat. Dianggarkan harta peribadinya pada ketika itu melebihi USD1,000,000,000.00 (satu bilion dollar).

Lewat 1990-an, berlaku krisis ekonomi di seluruh dunia, yang menyebabkan kebanyakan nilai hartanah merosot begitu mendadak sekali, termasuk hartanah milik Donald Trump. Lebih teruk lagi, kemerosotan harga hartanah menyebabkan nilai saham syarikat juga merudum, dan dalam masa beberapa hari sahaja, Donald Trump terpaksa menanggung hutang tidak kurang daripada USD900 juta!

Sudah jatuh, ditimpa tangga pula. Apabila isterinya menelefon Donald Trump, beliau menyangka akan mendapat simpati daripada orang yang dikasihi. Namun, sebaliknya yang berlaku. Tujuan isterinya menghubunginya adalah untuk mendesak Donald Trump memberikan kesemua baki harta yang dimiliki kepadanya, sebagai kos penyelesaian perceraian.

Jika anda berada dalam situasi Trump, apakah perasaan anda? Kebanyakan orang pasti akan rasa sangat tertekan, tidak mustahil juga ada yang boleh jadi gila. Mungkin juga terasa serik dan hilang keyakinan diri sepanjang hayat. Mungkin itulah penamat buat segala-galanya.

Namun tidak bagi seseorang yang mempunyai “teknologi sukses” seperti Donald Trump. Beliau enggan menyerah kalah. Beliau tidak melihatnya sebagai satu pengakhiran. Ia bukan satu kegagalan. Sebaliknya beliau melihat situasi itu sebagai “peluang” untuknya mendapatkan yang lebih baik. Beliau memanipulasi Hukum Polariti dengan Teknik Reframing (walaupun mungkin beliau tidak pernah mendengar istilah tersebut).

BAHAGIA1Donald Trump meneruskan usaha membangunkan empayar hartanahnya. Beliau belajar daripada kesilapan, dan mencari ruang dan peluang di sebalik kemelesetan ekonomi itu. Dalam tempoh enam bulan selepas itu, beliau telah mengaturkan satu urus niaga hartanah yang sungguh besar, mungkin yang terbesar dalam sejarah. Dalam masa 3 tahun sahaja, beliau telah mengumpulkan kekayaan melebihi tiga bilion Dollar Amerika, jauh lebih banyak berbanding sebelum ini! Beliau ada berkongsi pengalamannya secara detail dalam buku The Art of Coming Back.

Bahkan dalam sirah Rasul, terdapat banyak contoh pengalaman sukar yang dihadapi oleh Rasulullah, tetapi akhirnya menjadi suatu titik yang sungguh positif, setelah Baginda dan para sahabat menempuhnya dengan positif. Peristiwa Taif, Tahun Kesedihan, Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandaq, Perjanjian Hudaibiyah dan banyak lagi adalah antara titik sejarah yang menunjukkan hal ini kepada kita.

Erti dan makna sesuatu peristiwa yang kita tempuhi amat dipengaruhi oleh “bingkai persepsi” minda kita. Jika kita menukar bingkai tersebut, kita akan menukar erti dan makna peristiwa tersebut. Apa yang menariknya ialah apabila kita melihat sesuatu dengan pengertian yang berbeza, maka kita akan membuat keputusan yang berbeza, strategi yang berbeza, dan tindakan yang juga berbeza. Bukankah begitu?

Jadi, amatlah penting untuk kita “membingkaikan” pengalaman kita secara positif, tidak kira di mana, dengan siapa, ataupun bila-bila masa. Bersangka baiklah dengan Allah dan carilah bahagia daripada setiap kejadian. Anda boleh memilih sama ada untuk menderita atau berbahagia. Selamat menikmati kebahagiaan hakiki!

 Ahmad Fadzli Yusuf

Sumber artikel daripada majalah Solusi 6

 


 

Ahmad Fadzli Yusof

Professional Trainer/Speaker di RK Training & Management. Mendapat ijazah sarjana muda dan kemudian menyambung sarjana (Master) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Kini sedang menyiapkan kajian PhD dalam bidang pembangunan insan Universiti Malaya. Beliau merupakan Certified NlP Practitioner dan mendapat tauliah daripada National Federation of Neuro Linguistic Programming yang berpusat di California, Amerika Syarikat. Beliau juga adalah kolumnis tetap majalah e-Siswa dan sering muncul di tv, antaranya TV3, TV9 dan RTM. Lawati laman web beliau di www.fadzliyusof.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas